Menurut peraturannya, setiap al-Quran yang hendak dijual dan dipasarkan di Malaysia, ia hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh Lembaga Kawalan Teks al-Quran.

Manakala sebelum ia diluluskan, pruf akhir al-Quran akan disemak terlebih dahulu oleh Lajnah Tashih al-Quran.

Lajnah ini akan menyemak dan kemudian akan memberikan pandangan terhadap bahan yang telah disemak dan dikemukakan kepada lembaga untuk membuat keputusan.

Wakil lajnah akan membentangkan pandangan dan cadangan, membentangkan hujjah kenapa satu-satu bahan ditolak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Sebagaimana saya sebutkan terdahulu, lajnah ini berada di satu unit dalam Kementerian Dalam Negeri, iaitu Unit Kawalan Teks al-Quran.

Unit ini kini dipimpin oleh Ust Abd Rani Osman, selaku Ketua Penolong Setiausaha.

Manakala di atas unit ini ialah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran yang diketuai oleh Tuan Che Din bin Yusoh.

Unit ini akan menerima permohonan penerbit atau pengedar, dan kemudiannya memanggil kami selaku ahli lajnah untuk memeriksa bahan-bahan yang dikumpul.

Kebiasaannya, setahun empat hingga lima kali mesyuarat penyemakan akan dilakukan, bergantung kepada banyak atau sedikit bahan yang diterima oleh unit ini.

Setiap bahan sama ada teks, digital atau vcd disediakan sebanyak dua set.

Oleh itu, setiap juzu’ yang sama disemak dua kali. Semakan pertama dan semakan kedua.

Misalnya, bahan teks al-Quran 30 juzu’, terbitan syarikat A.

Syarikat A dikehendaki menyediakan dua mushaf pruf akhir untuk disemak.

Setiap juzu’ 1 hingga 30 akan diceraikan untuk disemak oleh ahli lajnah.

Satu orang satu juzu’. Itu semakan pertama.

Kemudian diedarkan pula bahan yang sama tetapi pruf akhir yang kedua.

Setiap ahli akan menerima semakan kedua dalam juzu’ yang berlainan.

Itu baru terbitan syarikat A. Belum syarikat B, C… kebiasaannya sehingga 20 bahan ke atas, sehingga setiap ahli menyemak sekitar 20 juzu’ ke atas.

Bahan yang berbentuk mushaf, apabila menyemaknya, ditanda dengan pen merah di bawah kalimah atau huruf menandakan ia sudah disemak.

Setiap huruf, baris, titik, syaddah, muka surat, surah dan juzu diperhati satu demi satu.

Jika bertemu kesalahan, sama ada besar atau kecil akan dibulatkan dan kemudian dikira sesudahnya untuk dijumlahkan.

Termasuk kesalahan ialah apabila terdapat sebarang bentuk, ukiran, tanda atau tulisan yang tidak perlu dan tiada kaitan dengan al-Quran atau rasm uthmani perlu ditanda bulatkan.

Semua yang dinamakan kesalahan itu sudah distandardkan dalam buku manual.

Cuma apabila timbul kekeliruan, mesyuarat akan berbincang dan memutuskan secara muafakat, apakah penemuan itu dikira kesalahan atau tidak.

Jika ia satu kesalahan, adakah kesalahan besar atau kecil.

Pada hujung mesyuarat, setelah semua bahan siap disemak, dilapor dan diserahkan, kesemua kesalahan jika ada akan dijumlahkan.

Jika ia bersih daripada kesalahan, maka ia diterima. Jika terdapat kesalahan, maka dilihat, berapa kesalahan besar dan kecil.

Jika berlaku kesalahan minimum, (saya lupa jumlahnya yang tepat) ia diterima dengan pembetulan.

Ertinya, penerbit hendaklah membetulkan kesilapan yang ditandakan, kemudian mengemukakan bahan yang sama untuk disemak semula, adakah kesalahan sebelum itu sudah dibetulkan atau belum.

 Jika sudah, maka bahan itu akan dicadang untuk diluluskan.

Sementara jika kesalahan terlalu banyak, maka bahan berkenaan ditolak.

Jika penerbit masih berminat, ia hendaklah mengemukakan bahan baru.

Perlu diingat, ahli lajnah tidak sewenang-wenang menerima atau menolak satu-satu bahan, dan tidak berkompromi dengan satu kesalahan sekalipun, demi menjaga kesucian al-Quran.

Begitu juga akhir-akhir ini, banyak bahan dalam bentuk digital dikemukakan.

Walaupun ahli lajnah memahami kemajuan teknologi zaman moden serta kepentingan dakwah, tidak bermakna bahan-bahan bentuk baru ini diterima dengan mudah.

Kebanyakannya ditolak kerana mempunyai banyak kesalahan.

Dalam kita memanfaatkan teknologi sekalipun, kesahihan al-Quran dari segi tulisan, atau bacaan mestiah diutamakan.

Kemudian, semua keputusan di peringkat lajnah akan dibawa ke mesyuarat lembaga untuk diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.

Maka, apabila lulus, keputusan berkenaan akan dimaklumkan kepada penerbit atau pengedar terbabit.

Maka, akan kelihatanlah cop Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang ditandatangani oleh pengerusi di belakang mushaf.

Demikianlah kisah ringkasnya.