Dari Likas ke Lok Kawi Baru, pulang ke rumah sebentar untuk bersalin pakaian, saya keluar kembali menuju ke Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka, Likas.

Programnya ceramah Idul Fitri bersama masyarakat kampung.

Saya hanya mengambil masa antara maghrib dan isyak, menyebut ringkas sedikit tentang harapan Ramadhan, huraian idul fitri dan rukun Islam yang menjadi dasar fitrah itu sendiri.

Memahami falsafah syahadatain bukan semata perakuan di lidah keesaan Allah dan kerasulan Muhammad, bahkan menjadikan Islam sebagai cara hidup daripada perkara yang kecil hingga perkara yang besar.

Daripada urusan tandas sehingga ke pemerintahan dan hubungan antarabangsa, daripada bangun tidur hingga tidur semula, Islamlah kesemuanya.

Ada orang hanya Islam ketika di masjid, tetapi keluar masjid ‘sapu’ kasut orang, merempit di jalanraya, merasuah polis trafik lalu menipu pula di pasar.

Keduanya, bab solat yang tidak boleh ditinggal langsung. Biarlah solat kita ditunaikan dalam keadaan apa sekalipun, tak kiralah buat permulaan, lambat atau qadha tetapi jangan langsung tak buat.

Lepas tu perbaikilah sehingga ia benar-benar sempurna.

Puasa, zakat dan haji tidak sempat dihurai. Sambung tahun depan, tu pun kalau sudi dijemput lagi.

Kira-kira 50 orang hadir termasuk kaum ibu di ruang sebelah kanan masjid.

Terima kasih kepada Pengerusi, Imam Qaryah dan seluruh jamaah yang mendengar ceramah.

Semoga ada manfaatnya.