Selesai makan-makan di rumah Ust Hj Nahar di Likas, kira-kira 20 minit kemudian saya minta izin tuan rumah untuk ke Kg Lok Kawi Baru.

Saya ada berjanji dengan Saudara Suraip Hassan, bilal di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru untuk hadir ke rumahnya selepas asar Ahad. 

Beliau menjemput saya ke majlis  kenduri kesyukuran sempena kelahiran cucu beliau.

Dari Likas pada jam 3.50 petang, kami tiba setengah jam kemudian.

Lambat 20 minit sebagaimana janji awal.

Saya terharu melihat penduduk kampung khususnya tuan rumah sabar menanti kehadiran saya dan enggan memulakan majlis walaupun mereka menanti sejak selepas solat Asar lagi.

Sepertimana di tempat-tempat lain, majlis kesyukuran yang dipanggil ‘potong jambul’, dimulakan dengan bacaan barzanji.

Saya diberi penghormatan memulakan bacaan rawi pertama.

Heh.. sumbangnya. Lama sungguh saya meninggalkan barzanji ni.

Dahulu zaman sekolah adalah juga belajar dengan Ust Hj Ghazali Sulaiman.

Rasanya tahun ini baru sekali inilah saya ‘menyumbangkan’ barzanji.

Dulu-dulu pun sumbang juga.

Selepas itu marhaban sambil si baby comel bernama Muhammad Aqil Asyraf dibawa menghadap semua hadirin untuk dipotong rambut.

Aqil kini baru berusia sebulan lebih.

Sebelum doa dibaca, saya dipohon mentahnik atau melakukan upacara ‘belah mulut’.

Sambil kami makan, sekumpulan anak muda kampung ini yang menamakan diri mereka ‘REMAJA KOMPANG NURUL IKHLAS KAMPUNG LOK KAWI BARU’ mengambil tempat, menghiburkan kami dengan paluan kompang.

Saya hargai kesungguhan anak-anak muda ini, sambil mereka berkompang, mereka juga adalah tonggak harapan kampung yang selalu menghadirkan diri ke masjid setiap hari. Alhamdulillah.

Saya bisikkan kepada bapa baru seorang muallaf – yang namanya serupa nama saya – agar membotakkan rambut bayinya menurut sebagaimana yang disyariatkan.

“Ya Allah, fahamkan dia dalam urusan agama, dan mahirkan dia dalam ilmu ta’wil”. Amin.