Selepas solat Jumaat, diadakan majlis akad nikah antara Sdr Mohd Sofian Hj Ag Damit, 26 dan Rosmawati Azhar, 23 tahun.

Mereka berdua dinikahkan dengan sekali lafaz sahaja oleh Tuan Imam Hj Ajamain Hj Abd Mujib.

Akad nikah diadakan di dalam Masjid as-Sobirin Kg Takis yang hanya terletak berhadapan dengan rumah pengantin lelaki yang berasal dari kampung ini.

Sementara pengantin perempuan pula berasal dari Kg Nagapas Papar.

Acara berjalan lancar dengan saya memerhatikan kebijaksanaan imam meminta semua yang hadir bersama-sama beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah, sebelum akad nikah dilangsungkan.

Hanya perkara yang sering saya  kesalkan ialah penampilan sebahagian kaum wanita  (bukan sahaja di tempat ini – sebenarnya di banyak tempat) dalam majlis pernikahan.

Apabila pernikahan dilangsungkan di dalam masjid, terdapat di kalangan mereka yang tidak menutup aurat.

Fahamilah bahawa masjid, – walaupun tarafnya masjid kampung – adalah rumah Allah yang mesti dihormati dan dimuliakan.

Sebab itu dituntut mendirikan 2 rakaat terlebih dahulu sebagai penghormatan kepada masjid.

Tidak solat tahiyyatul masjid sahaja, adab dan penampilan ketika berada di dalamnya pun mesti diambil kira.

Sekiranya mereka yang hadir tidak takut dosa membuka aurat sekalipun, hormatilah masjid kerana ia adalah rumah Allah, di mana solat dan sujud dilakukan di dalamnya.

Sekiranya kepada pelancong bukan Islam kita boleh kenakan peraturan dengan menyediakan pakaian tertentu,  sudah tentu kepada tetamu di kalangan muslimat sendiri boleh mengenakan pakaian yang menurut syara’.

Kadang-kadang pengiring pengantin beraksi lebih ‘daring’ berbanding pengantin sendiri. Ini belum lagi diketahui jika ada yang sembarangan masuk dalam keadaan haid atau berhadas besar.

Pihak JK masjid terutama para imam dan ustaz serta mereka yang berkaitan mesti memberikan kefahaman kepada mereka yang bakal hadir.

Nikah di masjid adalah satu yang baik, tetapi memuliakan masjid sudah tentu lebih utama.

Apapun tahniah kepada kedua-dua pengantin, semoga menjadi pasangan yang baik. Jangan tinggal solat, saling komunikasi dan menutup aurat apabila keluar rumah.

Seringlah berdoa kepada Allah, mohon dikurniakan petunjuk daripadaNya.