Bagi para pendakwah atau ustaz ustazah yang sudah lama berada dalam medan ini, ia adalah sesuatu yang biasa saja. Dakwah dilakukan di mana-mana.

Bagi bagi orang baru seperti saya, dijemput berceramah ke penjara buat julung kalinya merupakan satu pengalaman hidup yang sangat berharga.

Minggu lepas, saya dihubungi oleh seorang ustaz yang sering mendengar kuliah saya di kampung Lok Kawi Baru. Ust Nanip bertugas di Jabatan Penjara Pusat di Kepayan, K.Kinabalu.

Sebenarnya, ini bukan pertama kali beliau mempelawa saya untuk ‘masuk penjara’. Tetapi tarikh yang diminta sering bertembung dengan program yang sudah diatur lebih awal.

Jadi kali ini, apabila beliau menghubungi saya dan bertepatan tiada program khusus pada pagi 17 Sept, saya langsung bersetuju.

Sebenarnya, betapa berdebarnya hati ini sebelum masuk ke dalam kawasan penjara. Perasaan bersemangat, bimbang, takut, semuanya bercampur baur.

Ketika masuk dalam bangunan penjara, saya dikehendaki mencatat nama dan meninggalkan telefon bimbit di kaunter. Badan juga diperiksa oleh pegawai bertugas.

Sambil masuk dalam ruang penjara yang sebenar, Ust Nanip yang sentiasa mengiringi saya memberikan beberapa maklumat berharga.

Penjara Pusat Kota Kinabalu ini katanya dihuni oleh lebih seribu banduan, sedangkan muatan yang standard hanyalah sekitar 800 banduan, dan sebahagian besar -kira-kira 800 daripada 1000 – terdiri daripada banduan muslim.

Sementara sampai ke surau, di mana ceramah diadakan, saya melihat beberapa banduan dalam belasan orang yang hanya memakai cawat sedang duduk mencangkung.

Menurut Ust Nanip, mereka adalah banduan Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang bakal menunggu giliran untuk menerima sebatan sebentar lagi.

Melihat keadaan itu, dada saya berdebar dan jantung saya bergerak laju.

Saya teringat dan langsung terbayang kepada sebuah video klip berkenaan rakaman hukuman sebat yang dijalankan di Jabatan Penjara Negeri Sembilan yang heboh satu ketika dulu.

Klip itu menayang penuh banduan yang disebat di punggung mereka mengikut kesalahan yang telah dilakukan.

Tidak jauh dari tempat sebatan itu, kami tiba di bangunan surau.

Jumlah banduan yang hadir di hadapan saya seramai 115 orang. Pihak penjara tidak akan membenarkan hadirin terlalu ramai bagi tujuan keselamatan.

Banduan yang hadir terdiri daripada pesalah-pesalah bagi kesalahan rogol, rompak, pengedaran dadah dan sebagainya.

Saya menarik nafas panjang sebelum memulakan ceramah bertajuk Nuzul al-Quran. Pada awal ini saya sangat berhati-hati, bimbang mereka berkecil hati dengan ceramah saya.

Saya mulakan ceramah yang dipengerusikan oleh seorang banduan itu dengan membacakan sepotong ayat al-Quran. Firman Allah :

“Boleh jadi kamu suka benci sesuatu perkara, sedangkan itu baik bagi kamu. Boleh jadi kamu suka sesuatu perkara, sedangkan itu buruk bagi kamu. (Kerana) Allah mengetahui dan kamu tidak tahu”.

Allah SWT telah mentakdirkan mereka berada di satu kawasan yang dikeliling oleh tembok yang memisahkan dengan dunia luar dengan suatu hikmah yang sangat besar.

Tanpa menafikan bahawa mungkin ada yang tidak bersalah, hanya kerana terfitnah dan sebagainya, ia memberi peluang kepada mereka membuat muhasabah diri dalam satu tempoh yang tertentu.

Dalam masa yang sama, Allah SWT telah menentukan bahawa doa orang yang dizalimi itu tidak ditolakNya.

Sementara mereka yang benar-benar melakukan kesalahan itu, saya katakan bahawa pada satu sudut ia merupakan satu keuntungan buat mereka.

Manakan tidak, jika di luar sana, mereka tidak akan mendengar ceramah, tidak akan ke masjid dan surau, bahkan tidak mungkin akan bertemu ustaz.

Di sini semua aktiviti itu ada.

Para ustaz disediakan sama ada daripada pihak penjara sendiri atau dari luar seperti kami. Mereka mendengar kuliah dan ceramah, belajar mengaji, belajar kembali berkenaan agama Islam dan sebagainya.

Sebagaimana yang disarankan oleh para ustaz yang senior kepada saya, ceramah di penjara seharusnya lebih menekankan kepada taubat, penyesalan, keinsafan dan kaedah kembali ke pangkal jalan.

Saya sempat memberitahu mereka tips dalam berdoa, waktu mustajab dan sebagainya.

Saya lihat di kalangan banduan itu, ada yang menitiskan air mata. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa dan kesalahan mereka. Amin.