Sebelum berangkat pulang pagi 9 Sept, kami menunaikan solat di Masjid Muhammadi.

Masjid ini merupakan lambang kesungguhan raja ketika itu untuk melihat agama Islam subur di negeri ini.

Beberapa sumber mengatakan bahawa kerajaan Islam di Kelantan wujud sejak awal abad ke-12 masihi lagi.

Menjelang abad ke-19, satu perang saudara meletus akibat perebutan takhta selepas kemangkatan Long Yunus pada 1784 antara Tengku Muhammad – menantu Long Yunus dengan Long Muhammad – Putera Long Yunus.

Long Muhammad berjaya mengalahkan Tengku Muhammad dan akhirnya diisytiharkan sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I.

Disebutkan dalam sejarah bahawa baginda adalah seorang yang patuh dengan ajaran Islam.

Tengku Long Senik Mulut Merah kemudian dilantik Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad II.

Pada zaman baginda inilah telah dibina sebuah masjid besar pada 1867 bersebelahan dengan istana dan diberi nama Masjid al-Muhammadi.

Pembinaan ini melambangkan keprihatinan sultan terhadap kepentingan umat Islam dalam menunaikan kewajiban agama.

Sejak itu masjid ini menjadi pusat pembangunan Islam khususnya dalam bidang pendidikan.

Para guru dijemput mengajar dan mendapat sambutan baik penduduk. Akhirnya ajaran Islam semakin meluas dan diamalkan dalam kehidupan mereka.

Bertolak dari inilah, lahir pula institusi pendidikan yang dikenali sebagai institusi pondok.

Pagi itu, tidak kurang 500 orang jamaah menunaikan solat subuh di masjid ini.

Saya tinggalkan masjid ini dan ‘mewaqafkan’ selipar buruk saya untuk berkhidmat di sini. Mudah-mudahan ada pahala dan kebaikannya.