Sekitar jam 6 petang 8 Sept, kami bergerak ke Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Sejak awal Ramadhan kali ini, saya belum pernah lagi meninjau-ninjau mana-mana gerai bazar Ramadhan walaupun di seluruh Kota Kinabalu berlambak dengan bazar-bazar ini.

Bahkan di ruang legar Wisma MUIS sendiri yang menempatkan banyak gerai-gerai Ramadhan itu pun saya tidak singgah, hanya semata-mata ingin membeli makanan sungkai.

Di kawasan Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV, puluhan gerai teratur dikunjungi umat Islam.

Di samping itu terdapat saranan dan iklan-iklan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengajak pembeli memilih penjual yang menjaga kebersihan makanan.

Kami tidak meronda terlalu lama, hanya melalui beberapa gerai sebelum memilih untuk membeli pizza tempatan berjenama ‘zan’s pizza’ yang dimasak secara langsung oleh penjual tersebut di hadapan para pelanggannya.

Sementara pizza tempahan kami siap, saya berlegar-legar di kawasan gerai melihat jenis-jenis masakan yang ada di Kota Bharu ini sambil mengambil foto-foto menarik.

Sementara deretan gerai berkenaan masih dikunjungi ramai umat Islam, bersebelahan denganya, pihak penganjur menyediakan sebuah khemah besar. 

Khemah ini yang boleh memuatkan lebih seribu jamaah muslimin dan muslimat bagi kemudahan bersolat maghrib, isyak dan tarawih di dalamnya.

Mengadakan khemah tarawih ala-ala di Arafah di tengah-tengah Kota Bharu itu adalah sebahagian daripada program Ihya Ramadhan.

Menurut sejarahnya, ia sudah berlangsung sejak 1994 lagi iaitu 14 tahun yang lalu.

Khabarnya ketika ia dimulakan dahulu, hanya dengan khemah kecil untuk memudahkan musafir dan orang yang tidak sempat pulang ke rumah.

Ia semakin berkembang dan mendapat sambutan masyarakat. 

Kini, khemah itu diperbesarkan sehingga mempunyai penghawa dingin bagi keselesaan jamaah.

Malahan bukan setakat untuk tarawih, menjelang tengah malam sehingga subuh, diadakan qiyamullail dan tadarrus al-Quran secara relay @ terus menerus oleh anak-anak tahfiz.

Manakala menjelang sahur, penganjur juga menyediakan jamuan sahur kepada para jamaah.

Solat tarawihnya pula setiap malam dipimpin oleh 2 orang imam dari Mesir secara bergilir dan disiarkan secara langsung melalui www.kelantan.tv pada setiap malam.

Manakala selepas 2 salam diadakan tazkirah bertemakan ayat yang telah dibaca oleh imam tarawih.

Di belakang khemah besar itu, disediakan pula ruang untuk berbuka puasa, sama ada dengan makanan yang turut disediakan secara percuma oleh pihak MPKB atau dibeli dari gerai bazar Ramadhan.

Oleh kerana program tidak henti-henti sepanjang hari di kawasan ini, ia dinamakan dengan qaryah Ramadhan atau perkampungan Ramadhan.

Menarik juga bannernya ditaja oleh syarikat telekomunikasi DIGI.

Selepas berbuka dan solat maghrib, kami tidak menanti di sana, kerana berhajat untuk bertarawih di tempat lain.