Tiada siapa mempertikaikan kepentingan bendera. Ia adalah lambang dan maruah.

Sebagai seorang Islam, kita tidak lupa kisah di dalam perang Mu’tah.

Perang Mu’tah yang berlangsung pada Jamadil Awwal, 8 hijrah bersamaan bulan Ogos atau September tahun 629 Masihi itu adalah peperangan paling hebat berlaku yang dialami oleh tentera Islam ketika baginda SAW masih hidup.

Ia berlaku di satu kampung bernama Mu’tah yang berdekatan dengan wilayah Balqa di Syam. Jaraknya dengan Baitul Maqdis hanya sekitar 2 marhalah sahaja.

Tentera Islam yang seramai 3 ribu orang itu akan berhadapan dengan tentera musuh sejumlah 2 ratus ribu.

Rasulullah SAW melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dalam misi ini. Baginda juga berpesan, jika Zaid terbunuh, penggantinya adalah Jaafar bin Abi Tolib. Jika Jaafar terbunuh,  penggantinya adalah Abdullah bin Rawahah

Lalu baginda menyerahkan bendera kepada Zaid bin Harithah sebagai tanda melepaskan pemergian ketumbukan perang Islam.

Di dalam perang itu, Zaid yang memegang bendera bertarung dengan hebat sehingga ditusuk dengan lembing-lembing musuh.

Zaid gugur lalu Jaafar datang mengambil bendera, berjuang dengan tangkas.  Jaafar turun dari kudanya dan bertarung sehingga terputus tangan kanannya. Bendera beralih ke tangan kirinya.

Jaafar terus berjuang sehingga tangan kirinya pula putus, bendera dipeluknya dengan kedua-dua lengannya. Saat Jaafar terbunuh, ia masih mengangkat bendera itu. Seorang tentera Rum mencantas tubuh Jaafar sehingga terbelah dua.

Allah telah mengganti untuknya dengan dua sayap untuk terbang di dalam syurga. Oleh itu, Jaafar digelar dengan Jaafar at-Tayyar (yang terbang).

Ibnu Umar menceritakan, mereka mengira terdapat lebih 90 tusukan lembing dan panah di tubuh Jaafar.

Bendera beralih ke arah Khalid al-Walid yang digelar pedang Allah. Khalid bercerita, di dalam perang itu sembilan pedangnya telah patah ketika bertarung, dan pedang terakhirnya sebilah pedang lebar buatan Yaman.

Pertolongan Allah telah memberikan kemenangan kepada tentera Islam sehingga musuh berundur. Tentera Islam yang terkorban adalah seramai 12 orang, manakala tiada angka pasti di pihak musuh. Tetapi berdasarkan perjalanan perang, angka korban mereka juga ramai.

Itu kisah bendera dalam perang Mu’tah.

Oleh itu bendera bukan sekadar dikibar dan digantung begitu sahaja. Menjadi rakyat yang bertanggungjawab itulah yang utama.

Bukan pelik pada hari ini, ada orang yang mengibarkan bendera di rumah, di pejabat, di kereta kononnya dialah patriotik dan cinta negara. Tetapi rupanya dia seorang perasuah, perompak duit rakyat, pembunuh dan sebagainya.

Mengibar bendera bukan sekadar itu. Ia mesti disertai dengan tanggungjawab dan ruh perjuangan.

Selamat menyambut hari kebangsaan.