Sebentar tadi, mulai jam 6.30 petang saya dijemput ke SK Bahang Penampang. 

Hajat mereka ialah saya  memimpin solat maghrib, bacaan yasin, tazkirah dan solat hajat untuk anak-anak darjah enam yang bakal menduduki UPSR mulai 9 Sept akan datang.

Terdapat 100 orang murid tahun enam dengan hanya 35 orang beragama Islam.

SK Bahang terletak di Penampang, bersebelahan dengan SMK Bahang dan berhadapan dengan deretan kedai yang menempatkan Servay Hypermarket yang baru terbakar minggu lepas.

Walaupun pernah berkunjung ke sini beberapa tahun lepas, petang tadi saya hampir terlimpas simpang sekolah, rasanya tiada papan tanda yang menunjukkan sekolah ini.

Sekali lalu, sekolah ini tidak begitu kelihatan dari tepi jalan besar. Kedudukannya masuk ke dalam sedikit. Jadi ketiadaan papan tanda menyukarkan tetamu seperti saya untuk ke sekolah tersebut.

SK Bahang kalau tidak salah mula beroperasi pada 1995. Sesudah 13 tahun, kini ia mempunyai 600 pelajar, dengan satu pertiganya adalah beragama Islam.

Terdapat 45 orang guru termasuk 8 orang guru agama Islam, yang kini dipimpin oleh Puan Sabariah Hj Haris selaku Guru Besar.

Katanya tadi, beliau berasal dari Kg Kelanahan Papar.

Setinggi tahniah untuk sekolah yang melakukan aktiviti bermanfaat ini.

Mungkin ada baiknya juga kalau pihak sekolah terutama guru agama memikirkan agar solat hajat ini diadakan setiap bulan bermula Januari sehingga menjelang peperiksaan.

Anak-anak ini bagi saya mesti diajar memohon pertolongan kepada Allah daripada awal, bukan hanya menjelang peperiksaan.

Melakukan sekali, mungkin menyukarkan mereka melakukan sendiri pada masa lain.

Tetapi jika dilakukan lebih kerap, seperti setiap bulan atau lebih kerap lagi, sudah tentu mereka mempunyai pengalaman dan ilmu yang lebih baik untuk melakukannya sendiri di rumah.

Apa pun, kita sama-sama mendoakan kejayaan mereka semua.

Terima kasih ust. Mad.