Itu tarikh lahir guru kami, dan guru ramai orang – Datuk Hj Asmali Bachi.

Banyak benar jasanya kepada saya sendiri terutama tentang al-Quran.

Dialah mendedahkan kepada kami kaedah menghafaz al-Quran yang betul. Antaranya beliau mengajar kami agar menghafaz tidak manja dengan masa dan suasana.

Ada orang yang menghafaz pada waktu subuh, sunyi, sendirian dan segar. Itu baik. Tetapi mesti dipelbagaikan.

Kami diajar menghafaz waktu pagi, tengahari, petang dan malam. Menghafaz berdiri, duduk dan baring. Menghafaz ketika sunyi dan bising. Menghafaz ketika sendirian dan di khalayak.

Jangan manja, kata Ustaz Asmali.

Ketika kami tasmi’ di hadapannya setiap hari, sesekali dia akan menceritakan kisah satu-satu ayat dan kelebihan ayat-ayat tertentu dari segi perubatan Islam.

Orang memanggilnya dengan panggilan Imam Asmali. Kami pula memanggilnya dengan nama ustaz Asmali. Katanya, semasa belajar tahfiz di KL dulu, dia dipanggil dengan gelaran Ustaz Sabah.

Dia pernah bercerita, merekalah kumpulan pertama yang dibuatkan peperiksaan diploma tahfiz. Kalau tidak salah, pengetua mereka ialah Dato’ Salahuddin Omar. Pelajar-pelajar terdahulu dari mereka, dianugerahkan saja diploma berkenaan tanpa ada peperiksaan.

Satu lagi pencapaian Ustaz Asmali ialah, beliau adalah satu-satunya orang Sabah yang pernah dapat nombor dalam majlis menghafaz al-Quran kebangsaan. Dapat no 3.

Saya lupa tahun bila. Tetapi zaman itu kategorinya bukan macam sekarang – 5 juzu’, 15 juzu’ dan 30 juzu’. Kalau tidak salah ketika itu kategorinya 8 juzu’.

Ust Zaidi Edward, Datuk Hj Asmali dan Ust Hj Muchlish. Ketiga-tiga mereka adalah tenaga pengajar awal di Maahad Tahfiz Negeri Sabah. Gambar lama ini pada tahun 1998, ketika sambutan Maulidur Rasul SAW di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Ustaz Asmali adalah pengetua pertama Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah. Ketika itu kelas kami di Masjid Negeri Sabah. Dia cukup sabar dengan karenah kami terutama dalam soal menghafaz al-Quran.

Dia boleh beri kami peluang berkali-kali untuk menghafaz semula walaupun dalam keadaan sangkut yang teruk benar.

Ketika kami tinggal di no 7 rumah kakitangan MUIS bersebelahan dengannya, terkenang pada zaman Ramadhan 1996.

Ustaz Asmalilah menjadi tukang masak kami. Pukul 3-4 pagi kami bergilir-gilir setiap hari membantu beliau menyediakan bahan masakan.

Saya bukan reti masak masa tu. Sekarang pun sama juga. Heheh.

Ada masa terluang, kami bersama-sama main badminton di Wisma MUIS. Bahkan pergi memukat di Sungai Kinarut, Karambunai dan sebagainya.

Beliau begitu rapat dan mesra dengan kami. Oleh itu, apabila orang berkata tidak baik tentangnya, saya tidak suka mendengarnya.

Orang yang tidak mengenalinya menganggap dia sombong dan kasar, sedangkan apabila didekati, mesra orangnya.

Saya sendiri terlalu rapat dan selalu tidur di rumahnya. Cuma sekarang kerana hambatan tugas, jarang berhubung dan berziarah.

Jasanya terhadap kami bukan sedikit. Kami kumpulan pertama pelajarnya di maahad dulu memang dianggap anak emasnya.

Kini kami masing-masing sudah berkerjaya. Ada yang bergaya dengan rumah dan kereta masing-masing.

Tapi Ustaz Asmali masih lagi di no 8, rumah panjang kakitangan MUIS, berhadapan dengan SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, rumah yang hanya punya dua bilik itu. Cuma dulu dia hanya jalan kaki ke Masjid Negeri, sekarang sudah ada kereta kancil.

Semoga beliau terus diberikan kesihatan dan umur yang panjang. Berbakti mengajar al-Quran dan membimbing masyarakat.