Archive for 28 Ogos 2008


NOR MUHAMMAD ABDULLAH (III)

Petang selasa 26 Ogos, saya meluangkan masa menziarahi Nor Muhammad di SMC setelah ziarah terakhir kalau tidak salah pada 10 Ogos.

Pada ziarah terakhir kami, ketika itu bersama Cikgu Hashim, Cikgu Yusuf, Ridhuan dan Mahmud, kami membacakan doa angin ahmar yang panjang.

Tetapi semuanya dengan izin Allah SWT, kami meninggalkan Muhammad dalam keadaan dia dapat menjawab salam kami, walaupun agak payah lidahnya berkata-kata. Itu 10 Ogos.

Selasa lepas, saya pergi sendirian.

Satu perubahan yang mengejutkan tetapi semuanya dengan kuasa Allah SWT, Muhammad sudah boleh bertutur seperti biasa.

Walaupun tangan dan kaki kirinya masih belum pulih, tetapi kemampuannya bertutur hampir 100% sangat menggembirakan.

Setelah beberapa kali berziarah dengan hanya berinteraksi dengan kertas dan pen, saya bercerita panjang dengannya.

Dalam keadaan mulutnya tidak putus mengucap syukur, tahmid, syahadah dan takbir, dia sempat menceritakan saat-saat mudanya yang nakal, sehingga ia jatuh cinta dengan Islam dan Allah SWT pada 20 April 2004 di hadapan Ust Mas Daud di Petronas Labuan.

Muhammad juga bercerita berkenaan pergaulannya dengan saudara-saudara dari Jamaah Tabligh sepanjang bertugas di Bintulu.

Bercerita soal keluarga, dia sangat menghormati mereka walaupun orang tua dan ahli keluarganya belum memeluk Islam.

Katanya, walaupun ahli keluarganya masih lagi memujuk-mujuknya agar kembali ke agama asal sehingga saat ini, dia tetap bertahan dengan aqidahnya.

Katanya agama bukan perkara main-main. Bahkan di hatinya selalu mendoakan mereka turut memeluk Islam sepertinya juga.

Walaupun ada petugas SMC menyatakan hairan dengan perkembangan positif Muhammad, tetapi tidak ada yang susah bagi Allah SWT.

Jika Ia boleh menjadikan Adam dan Hawa tanpa ibu bapa, menjadikan isteri Nabi Ibrahim dan Zakaria hamil dalam usia mereka sudah tua, menjadikan Maryam hamil tanpa suami, mengangkat DS Nizar menjadi MB Perak dalam keadaan kerusi PAS hanya 6 kerusi, apalah susahnya bagi Allah menjadikan Muhammad boleh bertutur seperti biasa, sedangkan ketika kali pertama kami berziarah awal bulan ini keadaannya sangat membimbangkan.

Sebelum berpisah, Muhammad berpesan agar saya menyampaikan terima kasihnya kepada mereka yang berziarah dan mendoakan kesejahteraannya dari jauh.

Teruskan doa saudara, semoga dia bertahan dengan Islamnya.

Jika di kampung kita, atau di taman tempat tinggal kita, bakal dikunjungi personaliti terkenal, sudah tentu persiapannya juga dibuat secara terperinci.

Lagi besar status individu itu, lebih banyak persiapan dan persediaan sebelum kehadirannya.

Sewajarnya, begitulah juga yang sepatutnya kita lakukan sebelum hadirnya Ramadhan.

Di dalam al-Quran, perkataan Muharram tidak disebut walaupun ia bulan yang pertama dalam kalendar hijrah. Perkataan Rabiul Awwal tidak disebut walaupun ia bulan kelahiran baginda SAW.

Perkataan Sya’ban juga tidak disebut walaupun masyarakat kita mengenalinya sebagai bulan kenduri dan bulan makan. Perkataan Syawal juga tidak disebut walaupun orang kita sebulan penuh berhari raya di dalamnya.

Tetapi Allah menyebut Ramadhan di dalam al-Quran, menandakan kemuliaan dan kelebihan yang ada di dalamnya. 

Lihatlah pula praktikal ramai umat Islam hari ini.

Belum lagi Ramadhan tiba pun, sudah sibuk berkira-kira pasal hari raya. Tempahan baju raya sudah dibuat sebulan dua lalu. Ada yang sudah berkira-kira membeli langsir dan sofa baru.

Media tv kita pula sudah sibuk membuat rakaman lagu-lagu sempena hari raya. Tidak lupa drama, sitkom dan sebagainya.

Ke mana ditinggalkannya Ramadhan?

Bagi saya,  banyak persediaan sebelum kita bertemu Ramadhan. Tetapi secara umumnya saya bahagikan kepada tiga :

Pertama, persediaan dari sudut ilmu. Perkara yang berkait dengan puasa seperti syarat sah dan batal, rukun, sunat dan makruh, adab dan akhlak berpuasa.

Selain ibadah puasa, baik juga ilmu-ilmu perkara lain ditinjau sama. Solat berjamaah, iktikaf, tadarrus dan tilawah al-Quran, qiyamullail, lailatul qadar, sedekah, tarawih, dan sebagainya.

Kedua, persediaan dari sudut kesihatan. Kesihatan yang baik membolehkan kita beribadah dengan selesa. Ada yang berkata, kalau sakit, boleh buka dan qadha lain kali.

Tetapi agama mengajar kita, berpuasa di luar Ramadhan tidak sama pahala berpuasa di dalamnya. Menjaga kesihatan termasuklah soal pemilihan dan penjagaan makanan, tidur yang cukup dan lain-lain.

Orang yang bertenaga boleh bertahan membaca al-Quran, solat tarawih lengkap 20 rakaat bahkan sempat qiamullail pada waktu sahurnya. Adalah faktor-faktor lain, bukan kesihatan semata.

Ketiga, persediaan dari sudut kewangan. Bagi yang bekerja makan gaji, simpanlah sedikit gaji Ogos ini untuk bersedekah di dalam bulan Ramadhan.

Sedekah seringgit di luar Ramadhan nilainya tidak sama di sisi Allah dengan sedekah seringgit di dalam Ramadhan. Bersedekahlah dengan memberi makan orang berbuka puasa, atau mewaqafkan sesuatu yang lebih berkekalan.

Ada duit lebih, bersedekahlah segulung sejadah kepada masjid atau surau yang memerlukan. Atau kitab suci al-Quran kepada sekolah-sekolah agama. Atau menyumbang pembangunan pusat-pusat pendidikan seperti PASTI dan sebagainya.

Banyak lagi persediaan sebelum bertemu Ramadhan, tetapi rasa saya, inilah yang penting.

Marilah kita berazam supaya menjadikan ibadah kita pada Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lalu. Puasa, solat, sedekah, tadarrus dan semuanya sekali.

Jam 9.30 pagi tadi, kami dari Bahagian Penyelidikan & Informasi (BPI), JHEAINS mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Penyiaran Sabah di Karamunsing.

Rombongan kami seramai 17 orang diketuai oleh Pengarah JHEAINS, Tuan Hj Amri Suratman; sementara pihak tuan rumah yang meraikan kami diketuai oleh Pengarahnya, Datuk Jumat Engson bersama 10 pegawainya yang lain.

Sesi pertama di bilik mesyuarat itu ialah tayangan video klip  pengenalan sejarah Jabatan Penyiaran  khususnya RTM di Sabah.

Sesi berikutnya ucapan pembukaan kedua-dua pengarah sebelum perbincangan kedua-dua pihak bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang penyebaran maklumat dan dakwah Islam.

Beberapa pandangan dan cadangan kedua-dua pihak bakal diteliti di peringkat pegawai selepas ini.

Ini termasuk cadangan pengarah JHEAINS agar ada warga BPI yang diberikan peluang berkursus atau seumpamanya secara berkala di RTM bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang penerbitan.

Selain itu, pendakwah-pendakwah JHEAINS juga akan digiatkan lagi ke udara di stesen radio Sabah FM dan Sabah V FM bagi menyampaikan dakwah Islam melalui pelbagai bahasa seperti bajau, murut, kadazandusun, cina dan inggeris, selain bahasa Melayu sendiri.

Bagi saya sendiri, turut mencadangkan agar diwujudkan beberapa segmen penyampaian maklumat  dakwah dan program di masjid-masjid.

Saya berhujjah, kalaulah kita selalu mendengar di radio laporan trafik, cuaca dan sebagainya, mengapa kita tidak wujudkan laporan mingguan pagi jumaat, senarai khatib-khatib bertugas dan tajuk khutbah di masjid-masjid utama seperti Masjid Negeri, Masjid Bandaraya, Masjid Nurul Hikmah, Masjid UMS dan sebagainya.

Untuk laporan harian pula, saya mencadangkan setiap petang pihak JHEAINS atau masjid membuat laporan jadual kuliah di masjid-masjid terpilih, siapa pengkuliah dan tajuk atau bab yang akan disentuh pada malam berkenaan.

Alhamdulillah, pihak RTM memberikan respon yang baik di peringkat ini. Mudah-mudahan menjadi kenyataan dan berkembang dari semasa ke semasa.

Apa yang saya perhatikan, ruang dakwah melalui RTM ini sangat terbuka luas, selama kita ikhlas dan bersungguh-sungguh menunaikannya.

Selepas jamuan, kami dibawa melawat ke konti Sabah FM dan Sabah V FM serta studio bilik berita.

Di bilik berita inilah lintas langsung Warta Negeri jam 5 petang diadakan.

Masing-masinglah rombongan kami ini, bermula dari pengarah, duduk di hadapan kamera, cuba membaca berita.

Lawatan berakhir sekitar 11.40 pagi dengan sesi bergambar di pentas perkarangan bangunan jabatan berkenaan.

%d bloggers like this: