Setelah 6 hari berada di Labuan, akhirnya menjelang sabtu, 7 malam kami kembali ke tanah besar Sabah.

Seingat saya, cuti kali ini agak kosong dari sebagaimana biasa percutian-percutian sebelum ini.

Mana tidaknya, kebiasaannya malam-malam saya dipenuhi dengan jemputan kuliah, ceramah dan tazkirah.

Bahkan pernah satu ketika dulu, percutian itu penuh dengan ceramah dari pagi ke malam.

Pernah juga kuliah maghrib di tempat lain, dan solat isyak di masjid lain kerana tazkirah selepasnya.

Kali ini, dalam tempoh enam hari, hanya sekali ceramah dan sekali khutbah jumaat. Saya merasa agak rugi masa, berbanding kuliah hampir setiap malam di KK. 

Masa itu banyak saya luangkan di rumah, sama ada tidur seharian atau membaca buku.

Manakala selainnya, saya membawa ahli keluarga keluar, sama ada ke bandar, atau berkunjung ke rumah saudara mara.

Berziarah ini adalah aktiviti wajib apabila saya balik kampung, walaupun hanya sehari.

Pelayaran pulang ke Menumbok pula buat pertama kali kami sertai pada waktu malam.

Feri malam itu tidak penuh, tetapi banyak disertai oleh lori-lori membawa gas petronas.

Cuaca hujan lebat ketika dalam pelayaran tidak mengizinkan penumpang berada di koridor feri. Sangat berbahaya terutama kepada kanak-kanak kerana laluan yang licin.

Di kesempatan ini, abang saya mencadangkan agar saya menulis dalam ruang ini agar pihak yang berkenaan dapat menyediakan sedikit ruang solat di dalam feri tersebut.

Ada penumpang tertentu tidak cukup jarak untuk solat jamak kerana tinggal berdekatan sama ada di tanah besar Sabah atau di Labuan.

Lagi satu, walaupun pelayaran hanya sejam setengah, kebanyakan penumpang terpaksa stand-by di dalam kereta lebih awal, kadang-kadang sejam sementara menunggu laluan masuk ke dalam feri.

Ada juga wajarnya difikirkan ruang solat berkenaan, dan dalam masa yang sama pihak feri menyediakan juga kompas kiblat, kerana feri yang sentiasa bergerak tidak memungkinkan ia sentiasa tetap dalam haluannya.