Sebelum balik bercuti ke Labuan tempohari, saya menerima dua jemputan ceramah tajuk yang sama, majlisnya sama tetapi di tempat yang berlainan.
Kedua-dua ceramah itu bertajuk PERSIAPAN MENYAMBUT RAMADHAN, dalam majlis kenduri sekampung.
Ceramah pertama diatur oleh bapa saya di masjid kampung kami, dijadualkan pada sabtu lepas.
Saya mengiyakan jemputan itu dan gembira kerana sudah lama tidak berceramah di gelanggang sendiri.
Ceramah kedua diatur oleh pihak jawatankuasa surau an-Nur Taman Limauan di Kinarut.
Dijadualkan pada maghrib ahad, iaitu keesokan harinya dengan tajuk dan majlis yang sama.
Jawapan saya kepada jemputan itu ialah saya belum pasti dapat hadir kerana bimbang tidak sempat tiba di rumah sebelum jam 6.30 petang.
Ini kerana saya berkira-kira balik pada petang ahad dari Labuan.
Jawatankuasa surau terpaksa menyediakan pengganti jika saya benar-benar tidak hadir, dan dalam masa yang sama mereka masih mengharap saya mengisi ceramah yang mereka sudah jadualkan.
Setelah di Labuan, pada rabu lepas, saya ke kaunter feri untuk membeli tiket balik ke Menumbok dan seterusnya ke Kota Kinabalu pada tarikh yang saya fikirkan.
Di kaunter itu, staf memberitahu tiket ke Menumbok untuk perjalanan ahad sudah penuh. Yang ada hanya pada sabtu, itu pun sebelah malam, jam 7.
Saya tiada pilihan dan terpaksa membeli tiket pulang bertarikh 23 Ogos.
Akibatnya, jemputan ceramah di kampung sendiri saya terpaksa tolak, sedangkan jemputan pada ahad pula yang akhirnya saya terima semula.
Demikian Allah SWT menyusun ketentuan untuk hambaNya.
Firman Allah : “..boleh jadi kamu benci sesuatu perkara sedang itu lebih baikuntuk kamu. Boleh jadi kamu suka satu perkara, sedang itu buruk bagi kamu, (kerana) Allah tahu, sedang kamu tidak tahu”.