Jumaat lepas, saya diminta menyampaikan khutbah di kampung sendiri, Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang.

Malam sebelum itu, saya diunjukkan himpunan Khutbah Jumaat bagi bulan Ogos 2008 untuk Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Saya memilih untuk mengambil semangat kemerdekaan untuk dihurai di dalam khutbah itu. Saya belek-belek, saya baca dan teliti teks tersebut.

Di dalam teks berkenaan, antara lain disebut secara ringkas tentang tiga fahaman yang menular dalam masyarakat – sekularisma, liberalisma dan pluralisma.

Fikir saya, jika disebut begitu sahaja, jamaah di kampung saya ini tidak akan faham maksud ketiga-tiga fahaman ini.

Mungkin penyusun khutbah ini hanya mengambil suasana di sebelah Kuala Lumpur dan Putrajaya, tetapi tidak mengambil kira keadaan masyarakat Labuan terutama orang kampung, yang saya fikir tidak begitu memahami apa benda sekular, liberal dan plural itu.

Saya mengambil keputusan untuk menghurai konsep merdeka melalui jawapan Rabiah bin Amir RA yang juga terdapat di dalam teks berkenaan.

Merdeka itu ialah apabila kita bebas daripada penyembahan hamba kepada menyembah Allah SWT.

Menyembah Allah bukan dengan makna yang sempit, iaitu sembahyang puasa saja. Menyembah Allah ialah melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya.

Menyembah Allah SWT sepenuh masa, bukan masa-masa tertentu, bukan memilih-milih perintah dan larangan tertentu sahaja, bahkan seluruh kehidupan ini mesti menyembah Allah SWT.

Ada orang berpegang Islam ketika bulan Ramadhan saja, ada orang berpegang Islam ketika di dalam masjid saja, ada orang berpegang Islam ketika di tikar sejadah saja.

Ada orang yang berpegang Islam ketika menunaikan haji atau umrah saja, ada orang yang berpegang Islam ketika ada kematian saja.

Begitulah antara perangai-perangai manusia terhadap perintah agama, sama ada ia jahil atau mempermain-mainkan hukum Allah.

Lalu kita memahami, bahawa Islam itu adalah cara hidup yang sempurna. Dari perkara yang kecil hingga perkara yang besar. Dari urusan bilik tidur hingga urusan pemerintahan dan hubungan antarabangsa.

Dari bangun tidur pada waktu pagi, sehinggalah tidur semula pada waktu malam. Semuanya mesti berpegang dengan Islam.

Tiba-tiba ada pula manusia termasuk orang Islam mengajar, dalam Islam tiada politik. Politik dan Islam mesti dipisahkan. Dalam masjid tidak boleh bercakap soal politik.

Pelik sungguh.

Sedangkan dalam wirid solat kita selalu membaca ayat-ayat politik. Firman Allah :

“Katakanlah wahai Muhammad, ya Allah Pemilik segala kerajaan, Engkau beri kuasa sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau tarik kuasa sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau hina sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tanganMu segala kebaikan, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Para Nabi dan Rasul adalah ahli dan pemimpin politik. Bahkan Nabi SAW bercakap soal politik di dalam dan di luar masjid. Jadi apa masalah?

Masalahnya ialah apabila orang Islam berpolitik secara sekular. Tidak berpolitik menurut Islam.

Liberalisma merujuk kepada satu fahaman menyamakan ajaran Islam dengan selain Islam. Misalnya ada yang berkata, Islam dan Kristian sama saja, sama-sama baik, sama-sama ke syurga.

Sedangkan menurut Nabi SAW, Islam adalah tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam, dan orang yang menganut selain Islam tidak akan diterima oleh Allah pada hari kiamat nanti.

Pluralisma pula merujuk satu fahaman yang mencampur adukkan antara ajaran agama Islam dengan fahaman atau ajaran agama lain.

Untuk memahamkan orang kampung, saya terangkan dalam konsep yang luas, kerana biasanya orang kampung ini dia takkan beribadah dengan mencampur ajaran Islam dengan kristian atau agama lain misalnya.

Tetapi yang banyak berlaku mencampur adukkan perkara halal dan haram dalam satu perkara ibadah.

Contohnya, dalam majlis perkahwinan, di mana kenduri perkahwinan adalah satu perkara yang dituntut dalam Islam, dan menjadi ibadah apabila melakukannya.

Manakala orang yang dijemput wajib menghadirinya dengan syarat-syarat tertentu.

Tetapi dalam masyarakat kita, masih banyak lagi majlis-majlis kenduri sebegini bercampur dengan perkara-perkara haram sama ada berkait dengan aqidah, kepercayaan, syariat atau adat-adat khurafat.

Contohnya percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, bersalaman antara bukan mahram, majlis tari menari, karaoke dan kugiran.

Selain itu terdapat beberapa adat yang agak meragukan kebenarannya, seperti majlis berbedak, tepung tawar, pengantin lelaki mengelilingi tiang berpayung sebanyak 3 kali dan sebagainya.

Jika ia dikaitkan dengan apa-apa kepercayaan kononnya boleh membawa manfaat terhadap masa depan pengantin, sudah tentu ia dibimbangi merosakkan aqidah umat Islam.

Tetapi jika tidak berkait dengan masalah aqidah pun, ia merupakan perbuatan yang sia-sia, membazir dan menunjukkan kejahilan pelakunya sendiri.

Demikian ulasan saya dalam khutbah jumaat lepas berkenaan merdeka yang sebenar.