Khamis 21 Ogos, saya meluangkan masa lebih sejam berada di dalam Muzium Labuan.
Muzium ini berada di pusat bandar Labuan, berhadapan dengan Dataran Labuan, di kanannya pejabat pos, di sebelah kiri bangunan TM Point manakala di belakangnya Perpustakaan Labuan.
Muzium ini telah dirasmikan pada 8 Okt 2004 oleh Datuk Seri Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia ketika itu.
Bangunan ini mempunyai dua aras.
Aras bawah memuatkan pengenalan kepada sejarah Labuan, bermula pada zaman pra-sejarah iaitu zaman Neolitik.
Di sebuah pulau berhampiran, iaitu Pulau Burong yang termasuk dalam kawasan Labuan juga, ditemui artifak seperti tulang manusia, sisa makanan seperti tulang binatang, pecahan tembikar yang lazim ditemui pada zaman batu akhir, kira-kira 2000 tahun sebelum masihi.
Selain itu, dimuatkan juga serba sedikit sejarah Labuan dalam era pemerintahan Kesultanan Brunei, pentadbiran Kerajaan British, dalam Negeri Sabah dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
Di aras ini, pengunjung seolah-olah akan merasai zaman tersebut satu-persatu apabila melalui ruang-ruang berkenaan mengikut urutan sejarah sehingga sekarang.
Sementara di aras atas, pengunjung dibawa menyaksikan gambar-gambar personaliti mengikut kategori seperti pejuang kemerdekaan, tokoh politik, tokoh masyarakat dan ahli sukan.
Ada di kalangan mereka yang masih hidup, tetapi kebanyakannya sudah kembali kerahmatullah.
Di ruang seterusnya ialah segmen-segmen suku kaum yang berada di Labuan seperti suku kaum Brunei, Kedayan, Kadazandusun, Cina dan India.
Selain memuatkan perihal sejarah Labuan, bangunan ini juga mempunyai kemudahan ruang solat yang boleh memuatkan kira-kira 6-7 orang dan bilik air yang selesa.