Lebih 24 jam terperap di rumah, anak-anak dan isteri sudah terasa keboringan.

Petang selasa kami meluangkan sedikit masa ke Taman Permainan Pancur Hitam, Kg Pohon Batu kira-kira 3km dari rumah.

Kenapa saya memilih tempat ini, kerana ia terletak hanya di tepi jalan, tidak terlalu ramai pengunjung, dan lebih privacy.

Selain itu, terdapat taman permainan untuk anak-anak bawah 12 tahun, pemandangan cantik di tepi pantai serta beberapa gerai untuk para tetamu menghilangkan dahaga.

Sebelum ini, sudah beberapa kali saya membawa keluarga ke tempat ini.

Anak-anak dengan pengawasan kami, bebas bermain, memanjat anak-anak tangga, kemudian menggelusur, kemudian berlari semula..

Lepas puas satu jenis permainan, mereka pergi ke arah permainan lain pula.

Berhadapan dengan pantai ini, terdapat enam buah gerai makanan dan minuman.

Kawasan gerai ini dibina sejak 8 tahun lalu. 

Ia dibuka pada waktu siang setiap hari mulai jam 8.30 pagi hingga 7 malam sahaja.

Menurut pemerhatian saya, sasaran pelanggannya ialah mereka yang datang membawa anak-anak bermain di sini, dan juga kepada orang ramai yang mandi-manda di pantai ini.

Malahan petang itu terdapat juga pelancong asing bermandi-manda di sini.

Khabarnya, ia salah satu tempat yang menjadi sasaran termasuk pelancong Jepun, Eropah dan Gurkha yang bekerja di Brunei.

Menurut salah seorang peniaga yang saya temui, dahulu sewa gerai ini sebanyak RM120 sebulan, dan kini dikurangkan kepada RM80 sebulan sahaja.

Pelbagai kuih muih, makanan goreng, soto dengan minuman seperti ABC, air kelapa, jagung dan sebagainya boleh didapati.

LALUAN KE SINI

Dengan menaiki kenderaan sendiri, teksi atau bas, tempat ini ternyata sangat mudah ditemui.

Pantai Pancur Hitam terletak kira-kira 16km dari pusat Bandar Labuan.

Melalui jalan Tun Mustapha, tidak perlu belok kiri atau kanan.

Sepanjang perjalanan, saudara akan dibantu dengan tanda arah destinasi yang dikehendaki.

Pandu saja sehingga bertemu dengan sebuah kampung terakhir bernama Pohon Batu.

Tiba di kampung ini, pemandu perlu belok ke arah kiri dan bergerak beberapa minit sebelum tiba di gerai ini yang berada benar-benar di tepi jalan.

Selamat bersantai.