Dari rumah, kami bertolak lambat sedikit, hampir jam 8 pagi.Di sepanjang perjalanan, sukar untuk memintas kenderaan di hadapan kerana lorong sebelah dipenuhi kenderaan berderet untuk masuk ke Kota Kinabalu. Maklumlah hari bekerja. Sesudah melewati Kg Benoni Papar, barulah laluan agak sedikit lengang dan mudah untuk memotong.

Melalui kawasan Membakut, di mana YB Hj Arifin Arif menjadi ADUNnya, saya melihat jam kereta, menunjukkan hampir jam 9 pagi. Mulai sana, pergerakan kembali perlahan. Beberapa kenderaan kampung keluar masuk dan terdapat lori membawa batu yang bergerak perlahan.Selepas melalui jambatan di kampung Kota Klias, Beaufort, laluan hampir lengang.

Dengan jalan lurus, dan saujana mata memandang di kiri dan kanan, pemanduan di laluan ini benar-benar selesa walaupun tetap berhati-hati. Tiba di Menumbok hampir jam 10 pagi, kenderaan lancar bergerak masuk walaupun perlahan. Khabarnya, feri sudah mendarat sejak jam 9.30 pagi. Cuma pergerakan kaunter mengambil pas masuk sedikit perlahan.

Tidak banyak kenderaan penumpang, tetapi lebih separuh lori-lori dan logging yang memenuhkan ruang kenderaan di dalam feri pada perjalanan kali ini. Penumpang juga sederhana ramai, mungkin kerana hari isnin, sudah ramai yang menggunakan khidmatnya pada sabtu dan ahad. Pihak syarikat sudah mengumumkan perjalanan tambahan sempena cuti sekolah dan hari raya akan datang.

Untuk hari raya nanti, pelayaran tambahan Menumbok-Labuan bermula pada 23 September hingga 8 Oktober pada jam 9 malam, manakala perjalanan Labuan-Menumbok pada jam 7 malam. Feri Wawasan Perdana boleh memuatkan sekitar 80 buah kereta untuk setiap perjalanan.

Apabila kenderaan sudah masuk, saudara boleh memilih untuk terus berada di kenderaan masing-masing, atau naik ke atas dan berada dalam dewan tempat duduk. Boleh juga berjalan-jalan sehingga ke kawasan sutuh feri (atas bumbung) untuk menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan. Di dalam dewan yang berhawa dingin ini, pihak pengurusan feri menyediakan tidak kurang 400 kerusi tempat duduk sambil menghidangkan filem-filem untuk menghiburkan penumpang.

Terdapat juga 2 bilik VIP Lounge untuk penumpang yang inginkan suasana lebih privacy dan tenang berehat atau menonton tv. Di dewan ini juga terdapat kaunter jualan makanan dan minuman ringan ringan. Kebiasaannya, kedudukan penumpang agak bertaburan. Ada yang selesa berada di kereta, di dalam dewan menonton tv, di kawasan beranda kapal kiri dan kanan atau berada di kawasan sutuh. Bagi saya pula, ketika musim puncak, lebih selesa berada di kereta, makan-makan dan tidur kerana suasana yang terlalu sesak dengan penumpang.

Untuk menikmati pemandangan indah, lebih strategik dan sesuai jika berada di kawasan sutuh kerana lebih bebas dan puas. Bebas untuk bergerak, mengambil gambar ataupun termenung jauh.

Kita dapat menyaksikan pemandangan laut yang membiru, pergerakan kapal-kapal dan bot-bot laju dan sebagainya.Begitu juga pemandangan pantai dan pulau-pulau di sepanjang perjalanan. Dengan suasana angin yang bertiup, suasana dan pemandangan sebegini sangat mengasyikkan. Dalam banyak perjalanan kali saya ke Labuan menaiki feri ini, banyak juga konvoi atau rombongan yang menggunakan perkhidmatan ini. Kami tiba di Labuan tepat jam 12 tengahari, setelah melalui pelayaran dan berada di dalam feri selama satu jam setengah.

Advertisements