Archive for 19 Ogos 2008


Dari rumah, kami bertolak lambat sedikit, hampir jam 8 pagi.Di sepanjang perjalanan, sukar untuk memintas kenderaan di hadapan kerana lorong sebelah dipenuhi kenderaan berderet untuk masuk ke Kota Kinabalu. Maklumlah hari bekerja. Sesudah melewati Kg Benoni Papar, barulah laluan agak sedikit lengang dan mudah untuk memotong.

Melalui kawasan Membakut, di mana YB Hj Arifin Arif menjadi ADUNnya, saya melihat jam kereta, menunjukkan hampir jam 9 pagi. Mulai sana, pergerakan kembali perlahan. Beberapa kenderaan kampung keluar masuk dan terdapat lori membawa batu yang bergerak perlahan.Selepas melalui jambatan di kampung Kota Klias, Beaufort, laluan hampir lengang.

Dengan jalan lurus, dan saujana mata memandang di kiri dan kanan, pemanduan di laluan ini benar-benar selesa walaupun tetap berhati-hati. Tiba di Menumbok hampir jam 10 pagi, kenderaan lancar bergerak masuk walaupun perlahan. Khabarnya, feri sudah mendarat sejak jam 9.30 pagi. Cuma pergerakan kaunter mengambil pas masuk sedikit perlahan.

Tidak banyak kenderaan penumpang, tetapi lebih separuh lori-lori dan logging yang memenuhkan ruang kenderaan di dalam feri pada perjalanan kali ini. Penumpang juga sederhana ramai, mungkin kerana hari isnin, sudah ramai yang menggunakan khidmatnya pada sabtu dan ahad. Pihak syarikat sudah mengumumkan perjalanan tambahan sempena cuti sekolah dan hari raya akan datang.

Untuk hari raya nanti, pelayaran tambahan Menumbok-Labuan bermula pada 23 September hingga 8 Oktober pada jam 9 malam, manakala perjalanan Labuan-Menumbok pada jam 7 malam. Feri Wawasan Perdana boleh memuatkan sekitar 80 buah kereta untuk setiap perjalanan.

Apabila kenderaan sudah masuk, saudara boleh memilih untuk terus berada di kenderaan masing-masing, atau naik ke atas dan berada dalam dewan tempat duduk. Boleh juga berjalan-jalan sehingga ke kawasan sutuh feri (atas bumbung) untuk menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan. Di dalam dewan yang berhawa dingin ini, pihak pengurusan feri menyediakan tidak kurang 400 kerusi tempat duduk sambil menghidangkan filem-filem untuk menghiburkan penumpang.

Terdapat juga 2 bilik VIP Lounge untuk penumpang yang inginkan suasana lebih privacy dan tenang berehat atau menonton tv. Di dewan ini juga terdapat kaunter jualan makanan dan minuman ringan ringan. Kebiasaannya, kedudukan penumpang agak bertaburan. Ada yang selesa berada di kereta, di dalam dewan menonton tv, di kawasan beranda kapal kiri dan kanan atau berada di kawasan sutuh. Bagi saya pula, ketika musim puncak, lebih selesa berada di kereta, makan-makan dan tidur kerana suasana yang terlalu sesak dengan penumpang.

Untuk menikmati pemandangan indah, lebih strategik dan sesuai jika berada di kawasan sutuh kerana lebih bebas dan puas. Bebas untuk bergerak, mengambil gambar ataupun termenung jauh.

Kita dapat menyaksikan pemandangan laut yang membiru, pergerakan kapal-kapal dan bot-bot laju dan sebagainya.Begitu juga pemandangan pantai dan pulau-pulau di sepanjang perjalanan. Dengan suasana angin yang bertiup, suasana dan pemandangan sebegini sangat mengasyikkan. Dalam banyak perjalanan kali saya ke Labuan menaiki feri ini, banyak juga konvoi atau rombongan yang menggunakan perkhidmatan ini. Kami tiba di Labuan tepat jam 12 tengahari, setelah melalui pelayaran dan berada di dalam feri selama satu jam setengah.

Jika saudara berada di tanah besar Sabah dan ingin ke WP Labuan dengan jalan darat, ada beberapa tips yang perlu diikuti terlebih dahulu.

Jika saudara berhasrat menaiki bot laju, saudara tidak perlu terikat dengan masa ketibaan di pekan Menumbok.

Perkhidmatan bot laju disediakan antara Menumbok-Labuan-Menumbok seawal jam 7 pagi hingga jam 5 petang dengan kadar RM15.00, dengan kapasiti penumpang seramai 12-15 orang selama lebih kurang setengah jam perjalanan.

Saudara boleh meninggalkan kenderaan di kawasan-kawasan berdekatan, di  perkarangan rumah penduduk dengan kadar sewa antara RM5 hingga RM10 ringgit sehari.

RM5.00 adalah tempat parking tidak berbumbung, manakala RM10.00 untuk parking berbumbung.

Tetapi jika berhasrat membawa kenderaan ke Labuan, adalah lebih baik saudara membeli tiket  seminggu dua lebih awal terutama jika perjalanan itu pada waktu atau musim puncak, seperti cuti sekolah dan hari perayaan.

Caranya ialah dengan menghubungi pejabat feri wawasan perdana (Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd) di Menumbok 087-831333, atau di Labuan 087-41333, 087-419333 (Fax).

Tanya kekosongan feri pada tarikh yang dikehendaki dan bank-in sejumlah wang ke akaun bank mereka. Saya tiada menyimpan no akaun mereka, dan boleh dihubungi melalui no telefon di atas.

Atau jika saudara punya kenalan atau keluarga di sebelah Menumbok atau Labuan, bolehlah meminta mereka belikan terlebih dahulu tiket berkenaan.

Perlu diingat, pengurusan feri tidak menerima sebarang booking tanpa apa-apa bayaran.

Kadar bayaran untuk sebuah kereta ialah RM40.00 sahaja dan cukai Jabatan Pelabuhan & Dermaga sebanyak RM14.00.

Yang penting, bayaran untuk kereta sebanyak RM40.00 dibayar awal, manakala bayaran cukai Jabatan Pelabuhan & Dermaga boleh dibayar sesudah mendapat boarding pass di Menumbok nanti.

Jika saudara membawa keluarga atau sahabat, bayaran untuk tiket ialah sebanyak RM5.00 seorang. Tidak ada bayaran untuk pemandu kenderaan dan kanak-kanak di bawah 3 tahun.

Waktu perjalananan dari Menumbok ke Labuan ialah pada jam 10.30 pagi dan 4.30 petang, manakala dari Labuan ke Menumbok ialah pada jam 7.30 pagi dan 1.30 petang.

Sebaik-baiknya saudara tiba di kawasan terminal Menumbok sejam sebelum perjalananan.

Ertinya jika memilih perjalanan 10.30 pagi, sebaik-baiknya tiba di sana jam 9.30 pagi atau lebih awal untuk urusan mendapatkan pas masuk, bayaran cukai Jabatan Laut dan tiket penumpang.

Tambahan lagi jika pelayaran pada musim puncak, jika saudara tiba lewat, kereta akan beratur panjang dan saudara akan berjalan kaki jauh selama 10-15 minit dengan cuaca panas terik menuju ke kaunter tiket yang penuh dengan ramai orang.

KK-MENUMBOK

Jika dari Kota Kinabalu, perjalanan saudara akan melalui Daerah Putatan, Kinarut, Papar, Kimanis, Bongawan dan Membakut.

Perjalanan KK-Membakut memakan masa tidak kurang sejam, manakala kira-kira 15 minit dari Membakut, sebelum tiba di Pekan Beaufort, saudara akan bertemu dengan simpang kanan by pass yang agak baru sebelum bertemu lagi satu simpang tiga.

Dari sana saudara akan belok kanan lagi dan memandu selama 20-25 minit sebelum tiba di simpang tiga. Kanan ke arah Pekan Kuala Penyu dan ke kiri ke arah Menumbok.

Perjalanan ke Menumbok dari sini mengambil masa juga antara 20-25 minit sebelum tiba di bulatan pekan Menumbok.

Laluan untuk ke feri Menumbok-Labuan berada di kiri saudara.

Selamat jalan dan selamat berkunjung ke WP Labuan, Pulau Mutiara Laut China Selatan.

%d bloggers like this: