Archive for 18 Ogos 2008


MULA BERCUTI

Sempena cuti sekolah mulai hari ini, saya turut bercuti selama seminggu dan sebentar lagi akan mula bertolak ke Labuan sekitar jam 7.30 pagi ini.

Perjalanan ke Menumbok, Kuala Penyu memakan masa sekitar 2 jam dan feri yang membawa kereta akan belayar ke seberang pulau selama satu setengah jam, jika menurut jadualnya pada jam 10.30 pagi.

Insya Allah, dari Labuan saya akan terus menulis dan up-date blog Abu Nuha Corner ini.

Ketika mata rakyat Malaysia tertumpu di depan TV, menonton penuh harapan Lee Chong Wei bertarung di gelanggang, saya pula bersama isteri, dan dua anak meluangkan masa menziarahi sahabat yang baru bergelar ayah dan ibu muda, Encik Ahmad Tariq dan Puan Hawwa.

Memikirkan ziarah lagi penting berbanding teriak-teriak di hadapan TV menyokong Lee Chong Wei, saya gagahkan juga diri. Tapi itu bukan bermakna saya tidak harapkan negara mencipta sejarah emas.

Saya yakin benar Chong Wei dia tidak dengar pun jeritan saya di rumah. Dia pula bermain di Beijing, bukannya bermain badminton di depan laman rumah, saya tinggalkan tv ketika pertarungan baru bermula. Chong Wei bukan tau pun.

Pun begitu saya berharap ada ulasan selari di radio, tapi tiada supaya saya boleh menjerit di kereta. Hehehe.

Alhamdulillah, sebagai seorang umat baginda, syukur tidak terhingga, dengan  bertambahnya  seorang lagi ummat Nabi Muhammad SAW.

Puan Hawwa selamat melahirkan puteri comel seberat 2.9kg di Klinik Specialist Damai petang jumaat lalu.

Ketika tiba sekitar 9.30 malam ini, pasangan muda romantik ini ditemani oleh kedua-dua mertua Tariq yang tiba dari Johor, melihat cucu kesayangan di bumi Sabah.

Saya melihat beberapa gelagat sahabat dan kenalan apabila kita bercerita soal penglibatan mereka dalam harakah Islamiyyah ini dan kaitannya dengan alam rumahtangga.

Bukan tujuan membuka aib, tetapi sebagai pengajaran buat diri saya sendiri, sedangkan hakikatnya kita tidak tahu penghujung perjuangan diri kita sendiri.

Ada yang bersemangat dengan aktiviti sana-sini berapi-api dengan darah muda ketika zaman kampus, tetapi layu dan kecut apabila sudah berada di alam kerjaya. Terikat dengan akujanji, peraturan perintah am dan sebagainya.

Ada pula yang gagah berjuang ke sana ke mari ketika masih bujang, tetapi apabila masuk gerbang perkahwinan, batang hidung sudah tidak kelihatan lagi. Isteri takut tinggal seorang.

Dulu, program berhari-hari tiada masalah, sekarang surau di sebelah pun tidak disinggah.

Ada yang ketika masih berdua, belum punya anak, boleh tahan lagi. Muncul juga dalam program jamaah. Lahir anak seorang demi seorang, akhirnya tidak kelihatan lagi.

Inilah yang kita selalu sebut ‘al-mutasaqitun’ atau – orang-orang yang gugur – di tengah jalan dakwah. Atau juga dengan istilah ‘futur’.

Oleh itu Islam mengajar kita sikap istiqamah yang sememangnya mudah disebut tetapi payah melaksanakannya. Termasuklah saya.

Saya harap Tariq tidak begitu, dan saya tidak fikir pun dia begitu. Semoga isteri dan anak yang menjadi penyejuk hati dan matanya tambah meneguhkan dirinya dalam berjuang.

Sedang-sedang menulis ini, di hadapan saya tv Astro Prima filem Musang Berjanggut, menonton sebabak dialognya : Puspa Wangi punya pasal, kicap pun kicaplah!.

Biarlah anak dan isteri itu menjadi jambatan kita ke syurga. Itulah impian saya, dan kita semua.

Kepada Tariq dan Hawwa semoga menjadi ibu bapa mithali. Sebelum masuk Ramadhan 2 minggu lagi, Tariq sudah pun berpuasa… besar pahalanya. Orang lain puasa sebulan, dia puasa dua bulan.

(Sementara ada beberapa hari sebelum seminggu ini, tolong bisik-bisik, atau sms dengan Tariq nama puteri sulung mereka. Mana tau cadangan diterima).

%d bloggers like this: