Archive for 17 Ogos 2008


Kadang-kadang keadaan orang sakit boleh jadi gurauan. Mujur Che’gu Jamil tidak melenting dengan gurauan kami. Che’gu Jamil orang baik.

Petang tadi sekitar jam 5, saya mengajak Cikgu Hashim menziarahi Che’gu Jamil di rumahnya.

Che’gu Jamil masih lagi sakit mata, dan mata sebelah kanannya itu masih lagi bertampal walaupun doktor yang memeriksa mengatakan perkembangannya sangat positif.

Luka yang lebar sebelum ini sudah semakin mengecil. Demikian khabar doktor yang jelas menggembirakan kami semua.

Sakit-sakit begitu, kami sempat berbincang bermacam perkara dalam tempoh sejam di sana.

Isu jualan buku Hj Nicholas & Ust Abdullah Din yang mendapat sambutan, Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah pada Ramadhan nanti, program ziarah hospital juga Ramadhan, tidak lupa juga situasi adik Syafiqa yang kami bimbangkan.

Rupanya sebelum kehadiran kami itu, isteri Che’gu Jamil sempat menyediakan mee sup

Kebetulan saya  tidak sempat makan tengahari,  sementara Cikgu Hashim pula  menanti waktu berbuka. Rezeki, rezeki.

Teringat ketika kami mula-mula sampai tadi, Cikgu Hashim melihat muka Che’gu Jamil.

Katanya tak ubah seperti Jamil lakonan P.Ramlee dalam filem Madu Tiga. Ingat lagi babak mata Jamil yang bertampal, sekejap mata kanan, sekejap mata kiri.

Cuma Che’gu Jamil masih beristeri seorang, sementara Jamil P.Ramlee itu beristeri tiga. hehehe..

Jamiilll!! Ooh Jamiill..!!! Jerit isteri tua.

Hujung minggu sebegini, ramai kalangan kita menerima jemputan perkahwinan. Begitu juga saya semalam menerima satu jemputan di Dewan Kinabalu, Tabung Haji. 

Manakala hari ini ada satu jemputan lagi di Kg Rugading Tuaran. Perkahwinan anak perempuan C/Insp Abdul Lamat Hj Taman, Ketua Pegawai Keselamatan (CSO) Istana Negeri.

Tuan Lamat adalah teman sebilik, teman sepejabat dan teman sembang ketika bertugas di Istana Negeri dulu. Saya mula bertugas pada 6 Nov 2006, manakala Tuan Lamat masuk seminggu kemudian.

Walaubagaimanapun, saya berhalangan ke sana dan hanya berkirim salam dan berkirim sedikit ‘sampul berisi’ melalui Juruiring (ADC) TYT, DSP Hj Abd Latif Hj Ibrahim yang singgah ke rumah sekejap tadi.

Semoga semuanya selamat dan berbahagia dengan pasangan dan keluarga baru masing-masing.

Bercerita soal majlis pernikahan, kadang-kadang saya terkenang, apabila menyaksikan khutbah nikah disampaikan, saya lihat ia kebanyakannya kurang berkesan.

Maksud saya, isi khutbah, cara penyampaian dan sikap hadirin. Penyampaiannya tidak bersungguh, asal baca, tidak menyentuh perasaan dan hati pendengar, kadang-kadang isi tidak mantap dan sebagainya.

Ada juga saya memerhatikan jurunikah seperti tidak bersedia, dan masih tidak lancar dengan teks mereka walaupun mereka hampir setiap minggu menyampaikan teks yang sama.

Manakala hadirin tidak memberikan tumpuan kepada khutbah yang disampaikan, bersembang, ketawa-ketawa. Dibimbangi hilang keberkatan dalam majlis yang begitu baik.

Yang didapur sibuk dengan hidangannya, manakala pengantinnya berdebar menghafal akad nikah sebentar lagi. Akhirnya, tuan imam pun asal baca saja.

Menurut tafsir al-Azhar tulisan Allahyarham Pak HAMKA, melalui ayat 6-7 surah al-Baqarah, ada dua punca orang kafir menolak Islam berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Pertamanya, mereka beranggapan jika mereka memeluk Islam, segala kelebihan, pangkat jawatan, kedudukan dan semua kepentingan mereka akan terjejas.

Mana tidaknya, bagi yang berjawatan, Islam mengajar semua penganutnya adalah sama melainkan dengan taqwa. Tiada kelebihan antara pemimpin dan rakyat.

Bagi yang berniaga ketika itu, Islam melarang riba, penindasan, jual beli patung dan sebagainya. Sudah tentu peraturan itu menggugat masa depan perniagaan mereka.

Keduanya, kekafiran mereka kerana dengkinya mereka kepada Nabi Muhammad SAW, terutama kepada Bani Israil yang mempertikaikan kenapa nabi terakhir itu datang dari bangsa Arab? Bukan dari bangsa mereka?

Siapa kita untuk mempertikaikan keputusan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Begitulah yang berlaku sepanjang zaman, penolakan terhadap Islam akan berlaku dan mereka merasa tersiksa dengan Islam yang berkembang, tidak dapat disekat kemaraannya.

Oleh itu, jangan kita menjadi orang Islam yang hanya rajin membaca al-Quran, tetapi menolak ajaran al-Quran; atau menerima sebahagian dan menolak sebahagian, mengikut kepentingan dan kepala otak sendiri.

Kuliah Tafsir di Surau Petronas 8 Ogos 2008

%d bloggers like this: