Apabila membincangkan ayat-ayat berkenaan tentang kisah Bani Israil, para ulama tafsir mendidik kita bahawa ayat-ayat itu bukan sekadar kisah semata-mata, tetapi mempunyai pengajaran dan sindiran kepada umat Islam, agar jangan meniru perangai-perangai orang Bani Israil yang jelek itu.

Contohnya, kita pernah mendengar kisah berkenaan larangan menangkap ikan pada hari sabtu kepada bangsa Yahudi.

Kebetulan Allah SWT menguji mereka, hari itu ialah hari yang ikan banyak sedangkan hari itu ialah hari yang dikhususkan mereka beribadah.

Mereka membuat dalih dengan tidak menangkap ikan pada hari sabtu, tetapi memasang perangkap pada hari jumaat supaya ikan masuk perangkap mereka menjelang sabtu. Rugi rasanya mereka melepaskan begitu sahaja ikan yang begitu banyak tanpa berbuat sesuatu.

Sebagaimana yang kita baca di dalam al-Baqarah, akhirnya mereka yang terlibat itu menjadi kera yang hina.

Sebagaimana saya sebutkan, ia bukan semata-mata kisah ikan dan bukan semata-mata persoalan hari sabtu. Ia bukannya tiada pengajaran kepada umat Islam.

Kadang-kadang pada hari jumaat, jika saya bersolat di Masjid Negeri, turun dari pejabat sekitar 12.20 tengahari, saya perhatikan ketika itulah ramai orang Islam yang berduyun-duyun masuk ke kawasan bangunan Wisma MUIS dan sibuk untuk makan tengahari.

Sebahagiannya pelajar sekolah dan selebihnya mungkin kakitangan awam dan swasta sama ada yang bertugas di bangunan ini atau dari luar. Kadang-kadang siap pakaian lengkap berbaju melayu.

Seolah-olah waktu azan jumaat itu seperti waktu untuk berbuka puasa pula rasanya. Para pelanggan seolah-olah tidak ada rasa bersalah berada di situ sedangkan sepatutnya mereka berada di masjid yang hanya terletak bersebelahan. 

Begitu juga mereka yang berjualan pula juga tidak merasa bersalah kerana asyik menerima pelanggan sedangkan azan sudah dilaungkan.

Seolah-olah itu adalah tempoh paling untung bagi kedai-kedai mereka. Tidakkah mereka bersubahat membiarkan lelaki-lelaki mukallaf tidak menunaikan solat jumaat, atau setidak-tidaknya membiarkan mereka berada di premis mereka ketika azan sudah dilaungkan.

Bukankah dalam surah Jumuah ditegaskan bahawa apabila azan jumaat dilaungkan, diperintahkan untuk mengingati Allah, segera ke masjid dan meninggalkan urusan perniagaan. Ke mana kita tinggalkan ayat ini?

Patutlah umat Islam jadi lemah, apabila himpunan jumaat yang wajib bagi umat Islam mendengar ucapan dasar mingguan dipandang ringan.

Belum lagi dikira yang waktu sebegitu, ada yang berada di pejabat-pejabat, sambil bermain karom atau dam, atau bersiar-siar di Centre Point, atau tidur di rumah dan sebagainya.

Belum lagi dikira pemandu bas beragama Islam yang berada di jalan raya, pekerja-pekerja di pusat membeli-belah dan sebagainya yang langsung tidak memikirkan solat Jumaat. Kecilkah masalah ini?

Jika begitu, adakah kita faham pengajaran kisah hari sabtu untuk Bani Israil dengan kisah hari Jumaat untuk umat Islam? Minta maaf, mujur Allah tidak menghukum mereka seperti Bani Israil yang melampaui batas itu. Mohon dijauhkan Allah.

Pengajarannya, apabila agama memberi satu arahan, patuh sajalah. Itulah maksud saya.

Demikian kuliah tafsir saya di SPAN pada khamis 7 Ogos lalu.