Saya tidak ingat siapa yang mengajar saya hal ini, tetapi ketika masih sekolah rendah, saya diberitahu bahawa malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah yang ada patung dan anjing.

Bila begitulah saya diberitahu, saya mencari sebuah piala yang pertama kali saya menangi kerana mendapat tempat pertama dalam kelas tadika KEMAS pada tahun 1985. Sebelum itu, saya tidak pernah mendapat apa-apa hadiah.

Saja mencari semula piala itu, yang bagi saya sangat bernilai dan berharga kepada diri saya sendiri. Ia kenangan pertama saya. Saya menjumpainya, lalu saya patahkan patung yang berada di atas piala itu.

Piala itu akhirnya gondol, tetapi masih saya simpan dan abadikan di kampung tanpa patung.

Sebenarnya, hukum menyimpan patung di dalam rumah sangat jelas. Jika patung yang berbentuk makhluk hidup seperti manusia atau binatang, ia dilarang kecuali patung permainan kanak-kanak yang biasanya tidak dimuliakan. Dipeluk, dibuang, dihumban, dipijak dan sebagainya.

Ketika di Mesir dahulu, saya berbincang dengan kawan-kawan, antaranya dengan Ust Bakhtiar Hud yang sekarang berdakwah di Sandakan.

Kata saya, bagaimanalah halnya dengan remaja-remaja perempuan atau anak-anak dara termasuklah siswi-siswi yang kebiasaannya mempunyai patung seperti teddy bear yang dipeluk semasa tidurnya, disusun atur elok di katil ketika ia keluar rumah dan sebagainya?

Ketika persoalan itu kami bincangkan di rumah tanpa sebarang jawapan. Kebetulan, ada kuliah tafaqquh bersama Shaikh Hj Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki di Rumah Terengganu, Hayyu ‘Aasyir, Madinat Nasr.

Kami tidak bertanya kepadanya, tetapi beliau menjawab persoalan itu tanpa kami duga. Katanya dengan sinis, kalau yang empunya anak patung itu merasa dia masih kanak-kanak, tak apalah.

Ertinya, tak bolehlah, sebab bentuk yang diperlakukan oleh anak-anak gadis remaja itu ialah penghormatan, dan memuliakan patung. Dan empunya patung itu pula bukan kanak-kanak.

Hari ini, patung-patung itu ada dalam bermacam bentuk.

Ada tabung berbentuk patung unta atau gajah. Ada piala berbentuk patung orang main badminton, main golf, patung orang pegang mikrofon sebab baru lepas menang pertandingan karaeoke dan sebagainya. Ada beg berbentuk patung binatang.

Kalau dia buat hantaran perkahwinan, duit-duit kertas dibuat dalam bentuk patung binatang. Kenapa tidak dalam bentuk masjid, rehal, rumah atau lain-lain? Kenapa membuat sesuatu yang bakal menyusahkan diri di belakang hari nanti?

Masalah patung ini bukan hanya berlaku di dalam rumah, tetapi juga di pejabat, dalam kereta, dan sebagainya.

Sebab itu, saya kadang-kadang sebut dengan sahabat-sahabat, sesekali elok juga kita berziarah atau mengadakan ceramah, atau berusrah di rumah.

Kalau ada yang tak kena di rumah sahabat kita dalam hal rumahtangga muslim, kita boleh tegur elok.

Inilah namanya persahabatan. Tidak membiarkan sahabat melakukan kesilapan, mungkin ia tidak tahu, atau tidak menyedari kesilapan itu berlaku di dalam rumahnya sendiri. Maka kita tegur dalam suasana ukhuwwah dan persahabatan.