Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Hikmah, Taman Sempelang, Sembulan memulakan kelasnya seawal 1987 iaitu 11 tahun yang lalu.

Pastinya pelajar-pelajar awal dahulu kini sudah berada di sekolah menengah.

Ketika itu, ia bermula di sebuah bangunan 2 tingkat di Jalan Kebajikan, berhadapan dengan Wisma Kebajikan, di pinggir Taman Sempelang.

Setelah beberapa masalah yang menimpa, kelas PASTI dipindahkan ke Lorong Selunsung E, berhadapan dengan padang taman Sempelang.

Kini terdapat 38 orang pelajar yang berusia 4 hingga 6 tahun dan dibimbing oleh 2 orang guru yang berdedikasi. Cikgu Firusah Juremi dan Cikgu Siti Hawa Md Saud. Kedua-dua mereka berasal dari Tawau.

Firusah menyertai PASTI Tawau pada 1999 dan berhijrah ke Kota Kinabalu mulai 2003. Sementara Siti Hawa adalah guru baru mulai awal tahun ini.

Sejak 2006, rumah yang menempatkan PASTI ini telah dibeli dengan harga RM165 ribu.

Promosi waqaf telah dilancarkan, dan kami masih mengharapkan sumbangan waqaf daripada mereka yang prihatin dengan pembangunan pendidikan Islam.

Di sepanjang kawasan Pantai Barat, kini sudah berbelas PASTI diwujudkan.

Ada di Beaufort, Papar, Kinarut, Putatan, Tg Aru, Likas, Kolombong, Sepanggar, Tuaran, Kota Belud dan Kudat.

PASTI paling bungsu ialah PASTI al-Aqsa di Taman Limauan, Kinarut yang mula beroperasi awal tahun ini.

Belum lagi kita bercerita tentang PASTI di sebelah Pantai Timur, Sandakan dan Tawau yang sememangnya sangat subur dan menjadi pilihan ibu bapa.

Saya yakin dan percaya, PASTI adalah produk yang semakin laku dan diminati oleh ramai ibu bapa kini.

Ia tidak sekadar mengajar ABC dan alif ba ta, bahkan mendidik anak-anak ini cintakan Allah dan RasulNya.

Tidakkah kita teringin melihat anak sekecil 4 tahun, boleh bercakap soal langit dan bumi yang dicipta Allah, mengingatkan kita tentang doa makan ketika kita terlupa membacanya, mendendangkan kita lagu-lagu yang membuatkan kita tunduk kepada Allah SWT.

Membacakan kepada kita surah-surah lazim, al-Fatihah, 3 Qul, malahan surah al-A’la dan surah as-Sajadah.

Mudahnya, pilihlah PASTI di tempat yang kita ingini. Hubungi Ust Muhasibi : 013-8600545 atau Ust Wan Zaidel : 019-8506288.