Ada sebuah hadith di dalam bab Mujahadah, kitab Riyadhus Solihin susunan Imam Nawawi.

“Apabila seorang hamba mendekatiKu dengan kadar sejengkal, maka Aku akan mendekatinya kadar sehasta. Jika seorang hamba mendekatiKu dengan kadar sehasta, maka Aku akan mendekatinya dengan kadar sedepa. Jika seorang hamba mendekatiKu dengan berjalan, maka Aku mendekatinya dengan berjalan cepat” (HR al-Bukhari)

Di dalam kitab Nuzhatul Muttaqin, syarah kepada Riyadhus Solihin, dijelaskan bahawa walau sedikit kebaikan yang dibuat oleh seorang hamba, Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang besar.

Semakin banyak dan besar kebaikan yang dibuat, lebih banyak dan besar pula ganjaran yang disediakan Allah SWT.

Contoh. Dalam bab membaca al-Quran, satu huruf yang dibaca mendapat kebaikan 10 kali ganda. SATU HURUF.

Bahkan ada huraian daripada Sayyidina Ali, seorang yang membaca al-Quran di dalam solat berdiri, satu huruf mendapat 100 kebaikan. Jika solat duduk, mendapat 50 kebaikan per huruf.

Jika di luar solat, tetapi berwudhu’, satu huruf mendapat 25 kebaikan. Jika tanpa wudhu’, satu huruf 10 kebaikan.

Jadi yang disebut oleh Nabi SAW itu ialah membaca tanpa wudhu’, ganjaran yang paling kurang, tetapi sangat besar sebenarnya. 

Itu pun belum cerita lagi membaca dengan kefahaman, menghafaz, menghurai dan sebagainya.

Takkanlah kita sebagai seorang Islam, hanya memilih keuntungan yang paling sedikit? Sedangkan di sana terdapat pilihan-pilihan lain yang lebih menguntungkan kita.

Allah dan RasulNya sudah menunjukkan, terpulanglah kepada kita.