Archive for 16 Ogos 2008


Apabila membincangkan ayat-ayat berkenaan tentang kisah Bani Israil, para ulama tafsir mendidik kita bahawa ayat-ayat itu bukan sekadar kisah semata-mata, tetapi mempunyai pengajaran dan sindiran kepada umat Islam, agar jangan meniru perangai-perangai orang Bani Israil yang jelek itu.

Contohnya, kita pernah mendengar kisah berkenaan larangan menangkap ikan pada hari sabtu kepada bangsa Yahudi.

Kebetulan Allah SWT menguji mereka, hari itu ialah hari yang ikan banyak sedangkan hari itu ialah hari yang dikhususkan mereka beribadah.

Mereka membuat dalih dengan tidak menangkap ikan pada hari sabtu, tetapi memasang perangkap pada hari jumaat supaya ikan masuk perangkap mereka menjelang sabtu. Rugi rasanya mereka melepaskan begitu sahaja ikan yang begitu banyak tanpa berbuat sesuatu.

Sebagaimana yang kita baca di dalam al-Baqarah, akhirnya mereka yang terlibat itu menjadi kera yang hina.

Sebagaimana saya sebutkan, ia bukan semata-mata kisah ikan dan bukan semata-mata persoalan hari sabtu. Ia bukannya tiada pengajaran kepada umat Islam.

Kadang-kadang pada hari jumaat, jika saya bersolat di Masjid Negeri, turun dari pejabat sekitar 12.20 tengahari, saya perhatikan ketika itulah ramai orang Islam yang berduyun-duyun masuk ke kawasan bangunan Wisma MUIS dan sibuk untuk makan tengahari.

Sebahagiannya pelajar sekolah dan selebihnya mungkin kakitangan awam dan swasta sama ada yang bertugas di bangunan ini atau dari luar. Kadang-kadang siap pakaian lengkap berbaju melayu.

Seolah-olah waktu azan jumaat itu seperti waktu untuk berbuka puasa pula rasanya. Para pelanggan seolah-olah tidak ada rasa bersalah berada di situ sedangkan sepatutnya mereka berada di masjid yang hanya terletak bersebelahan. 

Begitu juga mereka yang berjualan pula juga tidak merasa bersalah kerana asyik menerima pelanggan sedangkan azan sudah dilaungkan.

Seolah-olah itu adalah tempoh paling untung bagi kedai-kedai mereka. Tidakkah mereka bersubahat membiarkan lelaki-lelaki mukallaf tidak menunaikan solat jumaat, atau setidak-tidaknya membiarkan mereka berada di premis mereka ketika azan sudah dilaungkan.

Bukankah dalam surah Jumuah ditegaskan bahawa apabila azan jumaat dilaungkan, diperintahkan untuk mengingati Allah, segera ke masjid dan meninggalkan urusan perniagaan. Ke mana kita tinggalkan ayat ini?

Patutlah umat Islam jadi lemah, apabila himpunan jumaat yang wajib bagi umat Islam mendengar ucapan dasar mingguan dipandang ringan.

Belum lagi dikira yang waktu sebegitu, ada yang berada di pejabat-pejabat, sambil bermain karom atau dam, atau bersiar-siar di Centre Point, atau tidur di rumah dan sebagainya.

Belum lagi dikira pemandu bas beragama Islam yang berada di jalan raya, pekerja-pekerja di pusat membeli-belah dan sebagainya yang langsung tidak memikirkan solat Jumaat. Kecilkah masalah ini?

Jika begitu, adakah kita faham pengajaran kisah hari sabtu untuk Bani Israil dengan kisah hari Jumaat untuk umat Islam? Minta maaf, mujur Allah tidak menghukum mereka seperti Bani Israil yang melampaui batas itu. Mohon dijauhkan Allah.

Pengajarannya, apabila agama memberi satu arahan, patuh sajalah. Itulah maksud saya.

Demikian kuliah tafsir saya di SPAN pada khamis 7 Ogos lalu.

Saya tidak ingat siapa yang mengajar saya hal ini, tetapi ketika masih sekolah rendah, saya diberitahu bahawa malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah yang ada patung dan anjing.

Bila begitulah saya diberitahu, saya mencari sebuah piala yang pertama kali saya menangi kerana mendapat tempat pertama dalam kelas tadika KEMAS pada tahun 1985. Sebelum itu, saya tidak pernah mendapat apa-apa hadiah.

Saja mencari semula piala itu, yang bagi saya sangat bernilai dan berharga kepada diri saya sendiri. Ia kenangan pertama saya. Saya menjumpainya, lalu saya patahkan patung yang berada di atas piala itu.

Piala itu akhirnya gondol, tetapi masih saya simpan dan abadikan di kampung tanpa patung.

Sebenarnya, hukum menyimpan patung di dalam rumah sangat jelas. Jika patung yang berbentuk makhluk hidup seperti manusia atau binatang, ia dilarang kecuali patung permainan kanak-kanak yang biasanya tidak dimuliakan. Dipeluk, dibuang, dihumban, dipijak dan sebagainya.

Ketika di Mesir dahulu, saya berbincang dengan kawan-kawan, antaranya dengan Ust Bakhtiar Hud yang sekarang berdakwah di Sandakan.

Kata saya, bagaimanalah halnya dengan remaja-remaja perempuan atau anak-anak dara termasuklah siswi-siswi yang kebiasaannya mempunyai patung seperti teddy bear yang dipeluk semasa tidurnya, disusun atur elok di katil ketika ia keluar rumah dan sebagainya?

Ketika persoalan itu kami bincangkan di rumah tanpa sebarang jawapan. Kebetulan, ada kuliah tafaqquh bersama Shaikh Hj Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki di Rumah Terengganu, Hayyu ‘Aasyir, Madinat Nasr.

Kami tidak bertanya kepadanya, tetapi beliau menjawab persoalan itu tanpa kami duga. Katanya dengan sinis, kalau yang empunya anak patung itu merasa dia masih kanak-kanak, tak apalah.

Ertinya, tak bolehlah, sebab bentuk yang diperlakukan oleh anak-anak gadis remaja itu ialah penghormatan, dan memuliakan patung. Dan empunya patung itu pula bukan kanak-kanak.

Hari ini, patung-patung itu ada dalam bermacam bentuk.

Ada tabung berbentuk patung unta atau gajah. Ada piala berbentuk patung orang main badminton, main golf, patung orang pegang mikrofon sebab baru lepas menang pertandingan karaeoke dan sebagainya. Ada beg berbentuk patung binatang.

Kalau dia buat hantaran perkahwinan, duit-duit kertas dibuat dalam bentuk patung binatang. Kenapa tidak dalam bentuk masjid, rehal, rumah atau lain-lain? Kenapa membuat sesuatu yang bakal menyusahkan diri di belakang hari nanti?

Masalah patung ini bukan hanya berlaku di dalam rumah, tetapi juga di pejabat, dalam kereta, dan sebagainya.

Sebab itu, saya kadang-kadang sebut dengan sahabat-sahabat, sesekali elok juga kita berziarah atau mengadakan ceramah, atau berusrah di rumah.

Kalau ada yang tak kena di rumah sahabat kita dalam hal rumahtangga muslim, kita boleh tegur elok.

Inilah namanya persahabatan. Tidak membiarkan sahabat melakukan kesilapan, mungkin ia tidak tahu, atau tidak menyedari kesilapan itu berlaku di dalam rumahnya sendiri. Maka kita tegur dalam suasana ukhuwwah dan persahabatan.

Ini cerita daripada isteri saya.

Di tadika Cina di mana dia bertugas, ada seorang perempuan muda beragama Islam yang selalu menghantar anak buahnya setiap pagi. Pakaiannya elok, menutup aurat.

Perempuan itu bercerita, dia nanti kalau kahwin, dia mau buka tudung. Katanya, rambutnya cantik, panjang, sayang kalau orang tidak tengok kecantikannya.. rugilah kalau ditutup-tutup.

Sungguh tidak disangka impiannya begitu, kata isteri saya.

Kesiannya orang yang berpandangan begini.

Ada sebuah hadith di dalam bab Mujahadah, kitab Riyadhus Solihin susunan Imam Nawawi.

“Apabila seorang hamba mendekatiKu dengan kadar sejengkal, maka Aku akan mendekatinya kadar sehasta. Jika seorang hamba mendekatiKu dengan kadar sehasta, maka Aku akan mendekatinya dengan kadar sedepa. Jika seorang hamba mendekatiKu dengan berjalan, maka Aku mendekatinya dengan berjalan cepat” (HR al-Bukhari)

Di dalam kitab Nuzhatul Muttaqin, syarah kepada Riyadhus Solihin, dijelaskan bahawa walau sedikit kebaikan yang dibuat oleh seorang hamba, Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang besar.

Semakin banyak dan besar kebaikan yang dibuat, lebih banyak dan besar pula ganjaran yang disediakan Allah SWT.

Contoh. Dalam bab membaca al-Quran, satu huruf yang dibaca mendapat kebaikan 10 kali ganda. SATU HURUF.

Bahkan ada huraian daripada Sayyidina Ali, seorang yang membaca al-Quran di dalam solat berdiri, satu huruf mendapat 100 kebaikan. Jika solat duduk, mendapat 50 kebaikan per huruf.

Jika di luar solat, tetapi berwudhu’, satu huruf mendapat 25 kebaikan. Jika tanpa wudhu’, satu huruf 10 kebaikan.

Jadi yang disebut oleh Nabi SAW itu ialah membaca tanpa wudhu’, ganjaran yang paling kurang, tetapi sangat besar sebenarnya. 

Itu pun belum cerita lagi membaca dengan kefahaman, menghafaz, menghurai dan sebagainya.

Takkanlah kita sebagai seorang Islam, hanya memilih keuntungan yang paling sedikit? Sedangkan di sana terdapat pilihan-pilihan lain yang lebih menguntungkan kita.

Allah dan RasulNya sudah menunjukkan, terpulanglah kepada kita.

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Hikmah, Taman Sempelang, Sembulan memulakan kelasnya seawal 1987 iaitu 11 tahun yang lalu.

Pastinya pelajar-pelajar awal dahulu kini sudah berada di sekolah menengah.

Ketika itu, ia bermula di sebuah bangunan 2 tingkat di Jalan Kebajikan, berhadapan dengan Wisma Kebajikan, di pinggir Taman Sempelang.

Setelah beberapa masalah yang menimpa, kelas PASTI dipindahkan ke Lorong Selunsung E, berhadapan dengan padang taman Sempelang.

Kini terdapat 38 orang pelajar yang berusia 4 hingga 6 tahun dan dibimbing oleh 2 orang guru yang berdedikasi. Cikgu Firusah Juremi dan Cikgu Siti Hawa Md Saud. Kedua-dua mereka berasal dari Tawau.

Firusah menyertai PASTI Tawau pada 1999 dan berhijrah ke Kota Kinabalu mulai 2003. Sementara Siti Hawa adalah guru baru mulai awal tahun ini.

Sejak 2006, rumah yang menempatkan PASTI ini telah dibeli dengan harga RM165 ribu.

Promosi waqaf telah dilancarkan, dan kami masih mengharapkan sumbangan waqaf daripada mereka yang prihatin dengan pembangunan pendidikan Islam.

Di sepanjang kawasan Pantai Barat, kini sudah berbelas PASTI diwujudkan.

Ada di Beaufort, Papar, Kinarut, Putatan, Tg Aru, Likas, Kolombong, Sepanggar, Tuaran, Kota Belud dan Kudat.

PASTI paling bungsu ialah PASTI al-Aqsa di Taman Limauan, Kinarut yang mula beroperasi awal tahun ini.

Belum lagi kita bercerita tentang PASTI di sebelah Pantai Timur, Sandakan dan Tawau yang sememangnya sangat subur dan menjadi pilihan ibu bapa.

Saya yakin dan percaya, PASTI adalah produk yang semakin laku dan diminati oleh ramai ibu bapa kini.

Ia tidak sekadar mengajar ABC dan alif ba ta, bahkan mendidik anak-anak ini cintakan Allah dan RasulNya.

Tidakkah kita teringin melihat anak sekecil 4 tahun, boleh bercakap soal langit dan bumi yang dicipta Allah, mengingatkan kita tentang doa makan ketika kita terlupa membacanya, mendendangkan kita lagu-lagu yang membuatkan kita tunduk kepada Allah SWT.

Membacakan kepada kita surah-surah lazim, al-Fatihah, 3 Qul, malahan surah al-A’la dan surah as-Sajadah.

Mudahnya, pilihlah PASTI di tempat yang kita ingini. Hubungi Ust Muhasibi : 013-8600545 atau Ust Wan Zaidel : 019-8506288.

Selesai meletakkan kereta di parkir Likas Plaza, saya singgah sebentar di Farmasi Aslam.

Mungkin saya yang ketinggalan maklumat, rupanya di luar berdekatan dengan farmasi dan Permai Poliklinik, terdapat satu kaunter berkenaan bulan pengampunan letak kereta.

Sambil-sambil melihat terlebih dahulu pelanggan yang tidak putus membuat semakan masing-masing, saya juga mengisi borang yang disediakan untuk kedua-dua kereta.

Saya perhatikan ada yang tunggakan sehingga RM4 ribu, RM 2 ribu dan sebagainya.

Tunggakan yang diberikan diskaun hanyalah resit parking sebelum 31 Mac 2008.

Menurut maklumat, Datuk Mayor menjelaskan ada yang mempunyai tunggakan sebanyak RM33 ribu. Selepas bulan ini, mereka akan mula memburu orang-orang yang gagal membayar caj parking DBKK.

Kereta kelisa saya mempunyai caj sebanyak RM6.82 manakala caj ekses sebanyak RM60.00. Caj ekses ini yang diberikan diskaun sebanyak 95%. Akhirnya saya hanya perlu membayar RM9.82 sahaja.

Cari di mana ada kaunter berkenaan, hanya tulis no plat kereta di borang kecil yang disediakan, petugas di sana akan klik saja jumlah yang perlu dibayar selepas diskaun. Tidak perlu bawa resit lama.

Rasa-rasanya, kalau ada hutang tu, baiklah dibayar.

Sahabat-sahabat yang berkelapangan elok juga menghubungi dan menziarahi Che’gu Jamil di rumahnya.

Setelah saya, Ust Amir Hamzah, cikgu Hashim dan cikgu Nasirin berziarah ke sana pada petang rabu, katanya keadaan matanya sudah semakin baik.

Tetapi, apabila dia datang ke Hospital Queen Elizabeth pagi semalam (jumaat), doktor pula mengatakan luka di matanya semakin membesar, walaupun Che’gu Jamil sendiri tidak merasa sakit. Mungkin langgar pantang la tu agaknya.

Doktor seramai tiga orang yang memeriksanya mencadangkan Che’gu Jamil masuk wad, tetapi beliau enggan dan berjanji akan datang pagi ini ke HQE.

Saya dihubunginya pagi semalam selepas pemeriksaan itu untuk menghantar dia pulang bersama isterinya, kerana sebelah matanya sudah ditampal

Isterinya walaupun boleh memandu kebetulan tengah sakit gigi yang amat, dan saya langsung membawa mereka ke klinik gigi Dr Rashid di Likas Plaza.

Tolong doakan dia, beri dia semangat.

Minggu lepas, saya teringat untuk menulis hal ini dan kerana hambatan urusan lain, saya terlupa kembali. Ia tentang kisah di Mesir lagi.

Ketika tinggal di Mansoura mulai Disember 2002 selepas berkahwin, kami mula berkawan dengan sahabat-sahabat yang sudah berkeluarga. Kira level sudah lainlah..

Di Mansoura, kalau tidak salah terdapat lebih 700 pelajar Malaysia dan daripada itu hanya kira-kira 100 orang pelajar lelaki, dan terdapat mungkin sekitar 40-50 pasangan.

Bagi pelajar Sabah, ketika itu terdapat kira-kira hanya belasan orang dan hanya seorang lelaki yang belajar di Universiti al-Azhar, Mansoura. Selain itu, pada zaman kami itu, terdapat lima pasangan pelajar Sabah yang tinggal di sini.

Selain saya dan isteri, ialah Hj Md Iqbal Said dan Norhayati Patra, Ust Rosdi dan Noraini Ahmad; Md Khasbi Ekin (Allahyarham) dan Nurul Faridah; dan kemudian disertai oleh Hj Mustakim Maisar dan Noranimah Abd Ghani.

Yang ingin saya ceritakan sebenarnya ialah tentang keluarga yang paling kami rapat iaitu Iqbal dan Yati. Iqbal berasal dari Perak dan Yati dari Bongawan. Mereka berkahwin pada tahun yang sama kami berkahwin iaitu pada 2002. Cuma mereka pada bulan Ogos dan kami bulan Oktober.

Setelah anak pertama kami lahir pada 3 Ogos 2003, Iqbal dan Yati yang sedang sarat menunggu hari juga sempat berziarah ke rumah kami. Tidak jauh, hanya sekitar 10 minit berjalan kaki.

Masih dalam kesibukan mengurus anak dan isteri, pada 6 Ogos 2003, iaitu 3 hari kemudian, Yati pula bersalin. Isteri belum dapat berkunjung, hanya saya segera datang membantu apa yang patut.

Sebenarnya, tiada apa juga mau dibantu. Kebanyakkannya kerja-kerja orang perempuan saja. Hanya sekadar berkongsi kegembiraan bersama-sama Iqbal kerana kami sama-sama baru bergelar bapa.

Balqis dan Nuha bertemu pada 13 Okt 2007, hari raya pertama di Bongawan selepas berpisah sejak Jun 2004

Anak saya diberi nama Nuha Wafiyyah dan anak Iqbal diberi nama Nur Batrisya Balqis. Kedua-duanya puteri.

Seminggu kemudian, kami membuat majlis kenduri kesyukuran bersama-sama di rumah Iqbal, upacara mencukur rambut sampai gondol dan tahnik. Majlis ini dipimpin oleh Ust Sya’bani yang berasal dari Melaka.

Sejak itu, dengan sahabat-sahabat lain yang sudah berkeluarga, hubungan persahabatan dan kekeluargaan semakin rapat dan kami berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing.

Alhamdulillah, hubungan itu masih terpelihara sehingga sekarang. Iqbal sekeluarga sudah kembali ke tanahair setahun lepas dan menetap di Taman Chandan Desa, Simpang Pulai di Perak.

Nuha sudah ada tiga adik, dan Balqis sudah ada dua adik. Lawan.. jangan nda lawan. Kasi ramai pengundi.

%d bloggers like this: