Minggu lepas, saya diunjukkan sebuah naskhah al-Quran lama yang berusia sekitar seratus tahun untuk disemak kesahihannya.

Ia dihantar oleh pemiliknya, yang menyimpan naskhah al-Quran ini kepada Muzium Islam Negeri untuk dijual kepada pihak muzium dan dijadikan bahan pameran dan rujukan.

Saya diamanahkan untuk menyemak kesahihan al-Quran tersebut, yang khabarnya berasal dari Bukhara, Uzbekistan.

Dari pemerhatian saya, al-Quran ini lengkap 30 juzu’, hanya terdapat ayat-ayat yang tidak menepati dengan kaedah ilmu rasm Uthmani, kaedah ilmu fawasil dan kaedah ilmu dhobtul Quran.

Ilmu fawasil ialah satu disiplin ilmu al-Quran yang berkaitan dengan tanda akhir satu-satu ayat, di mana naskhah yang saya semak ini, sesetengah hujung ayatnya tidak ditanda sebagai hujung ayat.

Manakala ilmu dhobtul Quran ialah ilmu berkaitan tanda baris seperti fathah, kasrah, dhommah, sukun, dan sebagainya.

Ilmu fawasil ini berperanan untuk menentukan jumlah ayat, dan antara lain berperanan juga untuk menentukan sah atau tidaknya satu-satu khutbah, kerana rukun khutbah mewajibkan sekurang-kurangnya satu ayat dibaca di dalamnya.

Jika khatib tidak cermat membaca ayat al-Quran sehingga tidak sempurna satu ayat, maka khutbah sudah tentu tidak sah.

Ilmu dhobtul Quran lebih jelas lagi. Jika baris salah, sudah tentu ayat yang dibaca juga salah.

Kesimpulannya, naskhah al-Quran itu dicadangkan dibenar untuk dipamer dan dirujuk sebagai bahan sejarah sahaja, tidak boleh dirujuk kaedah penulisannya.

Begitulah nasib al-Quran akhir zaman, sekadar pameran dan bacaan ketika pertandingan. Perintah dan larangan agama di dalam al-Quran semakin lama semakin banyak ditinggalkan.

Jangankan cerita soal hukum pemerintahan, bahkan dalam soal di dalam rumah pun banyak ditinggal orang.

Sabda Nabi SAW : “… Islam hanya tinggal pada nama, al-Quran hanya tinggal pada tulisan, masjid-masjidnya gah tetapi kosong daripada petunjuk..”