Archive for 13 Ogos 2008


Minggu lepas, saya diunjukkan sebuah naskhah al-Quran lama yang berusia sekitar seratus tahun untuk disemak kesahihannya.

Ia dihantar oleh pemiliknya, yang menyimpan naskhah al-Quran ini kepada Muzium Islam Negeri untuk dijual kepada pihak muzium dan dijadikan bahan pameran dan rujukan.

Saya diamanahkan untuk menyemak kesahihan al-Quran tersebut, yang khabarnya berasal dari Bukhara, Uzbekistan.

Dari pemerhatian saya, al-Quran ini lengkap 30 juzu’, hanya terdapat ayat-ayat yang tidak menepati dengan kaedah ilmu rasm Uthmani, kaedah ilmu fawasil dan kaedah ilmu dhobtul Quran.

Ilmu fawasil ialah satu disiplin ilmu al-Quran yang berkaitan dengan tanda akhir satu-satu ayat, di mana naskhah yang saya semak ini, sesetengah hujung ayatnya tidak ditanda sebagai hujung ayat.

Manakala ilmu dhobtul Quran ialah ilmu berkaitan tanda baris seperti fathah, kasrah, dhommah, sukun, dan sebagainya.

Ilmu fawasil ini berperanan untuk menentukan jumlah ayat, dan antara lain berperanan juga untuk menentukan sah atau tidaknya satu-satu khutbah, kerana rukun khutbah mewajibkan sekurang-kurangnya satu ayat dibaca di dalamnya.

Jika khatib tidak cermat membaca ayat al-Quran sehingga tidak sempurna satu ayat, maka khutbah sudah tentu tidak sah.

Ilmu dhobtul Quran lebih jelas lagi. Jika baris salah, sudah tentu ayat yang dibaca juga salah.

Kesimpulannya, naskhah al-Quran itu dicadangkan dibenar untuk dipamer dan dirujuk sebagai bahan sejarah sahaja, tidak boleh dirujuk kaedah penulisannya.

Begitulah nasib al-Quran akhir zaman, sekadar pameran dan bacaan ketika pertandingan. Perintah dan larangan agama di dalam al-Quran semakin lama semakin banyak ditinggalkan.

Jangankan cerita soal hukum pemerintahan, bahkan dalam soal di dalam rumah pun banyak ditinggal orang.

Sabda Nabi SAW : “… Islam hanya tinggal pada nama, al-Quran hanya tinggal pada tulisan, masjid-masjidnya gah tetapi kosong daripada petunjuk..”

Sejak belajar di ma’ahad dulu iaitu sekitar 1995, hari-hari saya dan kawan-kawan banyak dipenuhi dengan kerja-kerja membaca dan menghafaz al-Quran. Kami diajar menghafaz dalam bermacam suasana dan keadaan.

Ketika duduk, berdiri, berjalan, baring, ketika orang ramai, ketika sendirian, suasana bising dan sunyi, serta bermacam lagi.

Rupanya tunjuk ajar yang diturunkan oleh (Datuk) Ust Hj Asmali Bachi itu mendidik kami terutama diri saya sendiri membiasakan diri dengan berwudhu’. Amalan ini terbiasa hingga sekarang. Terasa kurang diri apabila tidak berwudhu’.

Oleh itu apabila hendak solat, atau hendak membaca al-Quran saya langsung solat atau membaca al-Quran tanpa perlu kembali ke bilik air, kecualilah kalau kebetulan wudhu’ sudah batal. Kita juga diajar kelebihan membaca al-Quran ketika berwudhu’ berbanding membaca al-Quran tanpa wudhu’.

Semalam, ketika sedang memeriksa dan menyelidik sebuah buku tentang solat, saya terbaca kisah yang menarik ini.

Ada satu kisah. Satu ketika, Junaid al-Baghdadi sakit mata dan doktor mengingatkannya : Jika kamu mahu matamu cepat sembuh, jangan sampai terkena air.

Ketika doktor keluar, Junaid berwudhu lalu solat kemudian tidur. Setelah ia bangun, matanya yang sakit sembuh serta merta.

Kemudian ketika doktor datang kembali menjenguknya, ia melihat mata Junaid telah sembuh. Doktor bertanya : “Apa yang kamu lakukan?” Kata Junaid : “Aku berwudhu’ lalu solat”.

Doktor itu adalah seorang Kristian, dengan petunjuk Allah ia segera beriman dan berkata : “Ini adalah ubat dari Allah yang Maha Pencipta, bukan ubat dari makhluk. Akulah yang sakit mata, Junaid adalah doktornya.

Sahabat kami, Cikgu Jamil, ahli usrah dan sahabat bible, mengalami sakit mata sejak hampir seminggu ini. 3 hari lepas, doktor pakar mengesahkan ada pendarahan dan menyebabkan sebelah mata terpaksa ditampal.

Semoga Cikgu Jamil yang tengah sakit mata cepat sembuh, dan kembali menyambung kerja-kerja dakwahnya…

Sabda Nabi SAW : “Sesiapa yang berwudhu’ padahal ia masih dalam keadaan suci (berwudhu’), dicatat untuknya sepuluh kebaikan”.

%d bloggers like this: