Sebentar tadi, isnin jam 9.00 malam berlangsung majlis solat hajat dan doa selamat sempena pembukaan Pasar Mini Aslam dan Klinik Aslam di Salut Commercial Centre, berdekatan dengan bulatan Sepanggar dekat Politeknik.

Solat Hajat dan doa selamat ini dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Tuan Hj Nahar Matamin dan dihadiri kira-kira 40 orang sahabat, kenalan, keluarga serta wargakerja Aslam.

Serentak dengan program solat hajat malam ini, Pasar Mini Aslam dibuka dengan rasminya, manakala Klinik Aslam sedang menjalani proses-proses akhir pengubahsuaian.

Pasar Mini Aslam menjual barang-barang runcit harian seperti makanan mentah, alat tulis, makanan dan minuman ringan dan sebagainya.

Pelanggan sasaran ialah warga Politeknik yang tinggal bersebelahan dengan kawasan premis ini, perkampungan di sebelah belakang dan beberapa taman perumahan yang mengelilingi kawasan ini. Kawasan ini juga terletaknya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang menempatkan kilang-kilang yang mempunyai ribuan pekerja.

Pembukaan Pasar Mini Aslam telah mengembangkan lagi sayap perniagaan pemiliknya, Tuan Hj Akriah @ Abu Aslam yang sebelum ini telah mempunyai 5 buah farmasi di Putatan, Likas, Indah Permai, Inanam dan Tuaran; sebuah kedai berasaskan produk halal dan buku-buku agama – Aslam Niaga di Taman Kingfisher; dan klinik Aslam di Inanam.

Mungkin sasaran selepas ini ialah Klinik Bersalin Aslam ataupun Pasaraya Aslam untuk memberi pilihan yang lebih baik kepada pelanggan beragama Islam.

Kami mengucapkan tahniah, semoga rezeki terus dimurahkan Allah, untuk membuka cawangan-cawangan seterusnya, supaya mudah beramal dan menyumbang demi MEMBANGUN BERSAMA ISLAM.