Walaupun bertugas dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, di Wisma MUIS, jarang sekali saya berpeluang untuk ronda-ronda di persekitaran bandaraya.

Tetapi bagi yang perasan, kebersihan bandaraya Kota Kinabalu sekarang jauh lebih baik berbanding sebelum dinaik taraf sebagai bandaraya pada awal 2000.

Tambahan lagi sekarang DBKK mengadakan kempen kebersihan, anti kutu sampah dengan mendenda orang yang membuang sampah jika didapati oleh pegawai-pegawai bandaraya.

Malahan orang ramai digesa untuk menghubungi pihak DBKK jika ada orang yang membuang sampah dari kenderaan mereka. Ini adalah satu program yang sangat baik.

Sebenarnya, menjaga kebersihan bukanlah perintah mayor atau DBKK saja. Menjaga kebersihan adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Malahan dalam Islam, kebersihan bukan hanya di luar, bahkan di dalam diri kita juga.

Kenapa jenayah dan maksiat berleluasa? Kerana hati di dalam tidak bersih, dipenuhi sampah sarap, lalu ia dihinggapi oleh lalat dan langau, menyebabkan penyakit membiak dan sebagainya.

Kata Bey Arifin, iman dan aqidah itu umpama akar dan Islam itu umpama pohon. Pokok yang mempunyai akar yang kuat tidak mudah tumbang dengan angin yang bertiup kencang.

Begitulah orang yang teguh aqidahnya, tidak mudah untuk melakukan jenayah dan maksiat kerana ada keyakinan di hatinya bahawa satu hari ia akan diperlihatkan dan dibalas Tuhan.

Hati yang bersih menyebabkan takut kepada Tuhan, benci kepada kufur dan perkara yang melanggar hukum. Oleh itu, jagalah kebersihan diri dan hati.

Firman Allah : “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat”.