Pagi tadi, ahad sekitar jam 8.30 pagi diadakan sedikit gotong-royong membersihkan bangunan baru dan persekitaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) an-Nur, Taman Austral.

Sekolah agama ini terletak berhadapan dengan Surau Riyadhus Solihin dan di belakang premis Siddqi Auto Sdn Bhd.

Ketika ini, pihak sekolah hanya menantikan tiang elektrik dipacak oleh pihak SESB setelah semua peralatan elektrik -kipas, lampu – telah siap sedia dipasang seminggu lalu.

Ketibaan Tuan Hj Rahimin, Pengerusi JK Sekolah

Ketibaan Tuan Hj Rahimin, Pengerusi JK Sekolah

Begitu juga peralatan, meja, kerusi dan lain-lain kelengkapan sudah tersedia sebelum pelajar dan guru berpindah ke bangunan ini.

 

Sekolah Agama Rakyat (SAR) An-Nur bermula pada 2005 hasil usaha beberapa tenaga penting sahabat-sahabat yang memikirkan perlunya sebuah sekolah agama untuk pendidikan anak-anak di kawasan ini.

Antaranya, Tuan Hj Rahimin Mustafa, Ust Zulhazmi Osman, Ust Muhasibi Razali, Tuan Hj Omar Tompang dan beberapa nama lagi, serta mendapat dukungan kuat terutama AJK Surau Riyadhus Solihin.

Sekolah agama yang terdekat dengan kawasan ini antaranya ialah Madrasah Masjid Negeri, Sek Ugama Islam Tg Aru, dan Sek Ugama Islam Sembulan. 

Ketiga-tiga sekolah ini menerima sambutan hebat para ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak mereka mempelajari ilmu-ilmu asas agama sama ada di sebelah pagi atau petang.

Menyedari keperluan itu, dan kesesakan pelajar di sekolah-sekolah agama berdekatan, sahabat-sahabat telah mengikhtiarkan sebuah sekolah agama rakyat untuk menampung bukan sahaja kehendak ibu bapa yang menyedari kepentingan ilmu agama, bahkan juga menyedari bahawa mempelajari ilmu agama seawal usia kanak-kanak adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam.

Sekolah ini berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan sukatan pelajaran juga mengikut sukatan yang disediakan oleh JHEAINS.

Cuma ada beberapa tambahan disediakan oleh pihak sekolah untuk menambahbaik lagi silabus sedia ada seperti bacaan ma’thurat, praktikal solat dan sebagainya. 

Buat masa ini, kelas-kelas pengajian yang diadakan pada 2.30-5.00 petang itu, menggunakan ruang-ruang beranda Surau Riyadhus Solihin. Sehingga kini, terdapat empat kelas darjah satu hingga empat diadakan.

Walaupun bangunan baru sedia diguna tidak lama lagi, ia dijangka belum dapat menampung seluruh pelajar sekolah ini yang dijangka terus bertambah dari masa ke masa, memandangkan kesedaran ibu bapa yang semakin meningkat.

Saya menyampaikan seruan ini, agar tuan-tuan para pembaca sekalian dapat membantu dana pembangunan sekolah agama rakyat an-Nur ini dengan menghulurkan sumbangan ke nombor akaun sekolah agama : Maybank 560214002770.

Semoga Allah membalas jasa tuan-tuan.