Bagi kebanyakan kita, kurma hanya menjadi makanan pembukaan ketika berbuka / sungkai pada bulan Ramadhan. Selain itu, kurma tidak menjadi pilihan.

Bahkan kalau seseorang berpuasa bukan dalam bulan Ramadhan pun, kadang-kadang tidak dimula dengan kurma.

Sebenarnya, ada lagi waktu-waktu yang dituntutkan memakan kurma, walaupun yang paling benar, kurma mempunyai khasiat yang mewajarkan ia dimakan pada bila-bila masa.

Antaranya ketika melakukan ibadah tahnik kepada bayi yang baru lahir, ibu yang mengandung dan sebagainya.

Rasulullah SAW biasa memakan kurma dengan keju, atau dengan roti, dan kadang-kadang memakannya begitu saja.

Kurma dapat  menguatkan hati, melancarkan buang air besar, menyembuhkan radang kerongkong dan sebagainya. Jika terbiasa memakannya dengan cara dikunyah dan ditelan, boleh mengering dan melemahkan cacing dalam tubuh, bahkan mengurangi dan membanterasnya sama sekali.

Kurma adalah buah, makanan, ubat, minuman sekaligus gula-gula.

Demikianlah sebahagian khasiat kurma yang saya petik daripada kitab at-Tibbun Nabawi yang disusun oleh Imam Ibnul Qayyim al-Jauzi. Perubatan mengikut sunnah, bukan saja berkesan tetapi mengandungi unsur barakah dan memantapkan iman dan keyakinan kepada Allah SWT.

Oleh itu, kurma wajar sekali tidak hanya dimakan pada bulan Ramadhan, bahkan pada masa-masa yang lain juga.

Dalam bahasa Arab, perkataan tamar, balah dan ruthob merujuk kepada buah yang sama iaitu kurma tetapi terdapat sedikit perbezaan.

Ruthob ialah kurma basah, balah ialah kurma mentah atau muda dan tamar merujuk kepada kurma masak dan kering.

Kisah di dalam al-Quran menceritakan Maryam, Ibu Nabi Isa AS  yang diperintahkan memakan kurma merujuk kepada kurma ruthob. Rujuk surah Maryam ayat 25.

Walaubagaimanapun, bagi meraikan kebiasaan masyarakat kita yang memakan kurma hanya pada pembukaan sungkai, suka saya membantu promosi dan mewar-warkan jualan kurma SAJAD yang boleh didapati di ASLAM NIAGA, KINGFISHER pada harga RM108.00 satu kartun (12 kotak) atau RM12.00 sekotak.

Sekadar membantu.

Sabda Nabi SAW : “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma pada waktu pagi, pada hari itu ia tidak akan terkena racun ataupun sihir”.