Untuk program ziarah minggu ke-2 ni, saya datang lambat. Jadi saya tidak dapat melawat banyak pesakit. Sampai di Putatan dari Tuaran sekitar jam 3 petang, terus ke klinik membawa si kecil yang sakit mata dan demam – 40 darjah!

Walaubagaimanapun, di hospital terdapat 8 orang sahabat lain yang datang lebih awal yang diketuai oleh Datuk Safari dan Hj Khairan Untoh.

(Hj Khairan ialah Pengarah SIRIM, Pengerusi Yayasan Amal Sabah, Timbalan Pengerusi Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) dan AJK Induk Masjid Negeri)

Kami bercadang untuk terlebih dahulu menziarahi salah seorang ahli keluarga Hj Khairan yang sedang terlantar sakit, kemudian barulah ke bangunan utama hospital untuk berziarah di sebelah sana pula.

Keluarga Hj Khairan ini bernama pakcik Kaswari Arif, 76 tahun, menghidap darah tinggi dan tinggal di Lahad Datu. Pakcik Kaswari adalah pakcik kepada isteri tuan Hj Khairan.

Minggu lepas, kami berziarah di wad ini juga. Apa yang kami lihat, kebanyakan pesakit yang kami ziarah pada minggu lepas, sudah tiada lagi. Sama ada sudah sihat, kembali ke rumah atau pun dibawa ke wad lain, atau nyawa ditarik oleh Allah SWT.

Sudah begitu ketentuan Allah, apabila tiba di sana, hospital baru saja mengesahkan bahawa pakcik Kaswari telah kembali kerahmatullah beberapa minit sebelum sempat kami ziarahi.

Program ziarah ke bangunan utama dibatalkan, dan beberapa orang dari kalangan kami mengurus penyelenggaraan janazah untuk dihantar ke Lahad Datu. Al-Fatihah.

Firman Allah : “..apabila tiba ajal mereka, tidak dilambatkan atau dipercepatkan walau sesaat”.