Sekitar tengahari ahad 3 Ogos, kami sekeluarga meluangkan masa ke Kg Bolong Tuaran, menghadiri kenduri perkahwinan Ust Md Hailmi Misbah dan Puan Norliza Taliyor Abdullah.

Kami tiba sekitar jam 1.15 tengahari. Majlis perkahwinan ini menemukan ramai kakitangan JHEAINS, para guru dan bekas pelajar SMAI Toh Puan Hjh Rahmah, siswa-siswi Maahad Tahfiz dan graduan universiti al-Azhar. Macam pesta alumni pula rasanya.

Walaupun tiba lewat, dan ramai juga yang diceritakan telah pulang, tetapi ramai juga yang masih ada dan baru datang.

Kami tiba ketika pengantin baru keluar bersanding. Sama hensem dan sama cun. Saya lihat air mata Hailmi bergenang. Hailmi adalah anak sulung dan kalau tidak salah, sejak di tingkatan 6 dia sudah kehilangan bapanya.

Jadi sudah tentu hari yang bersejarah bagi diri dan keluarganya ini sedikit terasa kurang seri, apabila ketua keluarga yang dikasihi tiada di sisi.

Hailmi pernah menyambung pelajaran seketika di Insaniah, Kedah tetapi tidak lama kembali ke Sabah, kerana keluarganya memerlukannya di sisi sebagai ketua keluarga.

Sejak itu, Hailmi menyambung pelajaran di Maahad Tahfiz Sabah yang kelasnya terletak di Sembulan ketika itu. Ketika dia di tahun akhir maahad, saya kembali dari Mesir dan sempat mengajarnya sekitar setahun dalam subjek Sirah Nabawi.

Berbanding kawan-kawannya yang lain, Hailmi adalah seorang yang sangat baik, tidak banyak bercakap dan mudah menerima teguran dan bimbingan. Kawan-kawan dan para guru sangat senang kepadanya.

Mengenangkan akhlak dan bakatnya yang baik, ketika saya bertugas di Masjid Negeri dahulu, saya mencadangkan agar dia diambil sebagai imam rawatib.

Tidak sedikit jamaah yang memuji kebolehannya ketika usianya masih muda, manakala di pihak wargakerja Masjid Negeri dan Syukbah Dakwah, dia seorang yang mudah diatur dan diajak berbincang, sedia untuk belajar dan menerima nasihat.

Mulai Sept 2007, Hailmi mengikuti kelas Pengajian Jarak Jauh (PJJ), Sarjana Muda Pengajian Islam UKM yang diadakan setiap hujung minggu di Kota Kinabalu dan sejak 1 April 2008 lalu, Hailmi ditarik ke Bahagian Dakwah JHEAINS.

Saya mendoakan agar Hailmi dan isteri berjaya dalam kerjaya, keluarga dan kehidupannya.

—-

Ketika pengantin di dalam rumah asyik bergambar, di luar rumah itu saya melihat satu tarian yang mereka namakan tarian manok topokon yang dikatakan berasal dari Indonesia.

Penari dari kalangan hadirin – mungkin dari kalangan penduduk di sini, bercampur lelaki dan perempuan, membuat bulatan dan menari ke hadapan dan ke belakang dalam bulatan berkenaan.

Inilah kejahilan masyarakat, mencampur aduk antara ibadat dan adat.