Ada sesuatu yang menarik perhatian kami apabila berkunjung ke wad 525 Sabah Medical Centre (SMC) pada petang selasa semalam.

Saya dihubungi dua kali oleh Tuan Hj Hamir Zahari dari Petronas Methanol Labuan (PML) yang juga setiausaha Masjid Jamek Layang-Layangan Labuan, berkenaan seorang sahabat sekerja mereka yang tiba-tiba jatuh strok.

Oleh kerana Hj Hamir melayari blog ini dan membaca artikel berkenaan ziarah pesakit, beliau lantas menghubungi saya menceritakan perihal sahabat mereka yang ditimpa musibah ini. Dia mewakili sahabat-sahabat Petronas Labuan mohon saya menziarahi sahabat mereka ini.

Tidak ada cerita yang pasti punca dan bagaimana kejadian itu berlaku. Terdapat beberapa versi yang kami perolehi. Tetapi buat masa ini, itu tidaklah terlalu penting buat kami.

Nor Muhammad Abdullah, atau nama asalnya Ajay Kumar Patel, berumur sekitar 46-47 tahun, memeluk Islam sekitar lebih setahun lalu. (Bekas) isteri dan dua anaknya berada di India, masih dalam agama Hindu.

Khabarnya, apabila dia memeluk Islam, isterinya tidak bersetuju dan kembali ke India. Walaubagaimanapun Muhammad tetap konsisten dengan agama Islam yang dipeluknya.

Di SMC, dia hanya ditemani oleh abangnya yang beragama Hindu. Mereka hanya tiga beradik, seorang  adiknya berada di Amerika. Demikian menurut penjelasan abangnya.

Ada sedikit kegusaran di hati kami apabila melihat Muhammad hanya ditemani oleh abangnya yang beragama Hindu itu.

Walaupun kami tidak mempertikaikan ikatan adik-beradik mereka berdua, mereka tetap berlainan agama.

Kami berharap kakitangan yang beragama Islam di sana dapat memastikan kebajikan Muhammad dari segi keperluan agamanya tidak diabaikan.

Kami bertiga – Cikgu Jamil dan Datuk Safari tiba di wad berkenaan pada jam 4.45 petang. Muhammad menghidapi strok lebih seminggu lalu.

Saya risau pada mulanya, melihat badan Muhammad yang tegap besar, dan kelihatan bengis. Harap-harap ziarah itu hanya dalam tempoh 15 minit, bagi saya itu sudah cukup lama.

Tetapi Allah mencampakkan perasaan kasih ke dalam hati kami buat saudara seagama kami itu.

Muhammad yang terbaring, didekati di sebelah kanannya oleh Datuk Safari dan Cikgu Jamil, sementara saya berada di sebelah kiri.

Tangan dan kaki kanan Muhammad kelihatan kuat, tetapi di sebelah kiri langsung tidak menunjukkan reaksi.

Ia langsung tidak boleh bercakap, tetapi boleh mendengar dan memahami apa yang kami cakapkan kepadanya.

Dengan tangan kanannya, Muhammad menepuk poket yang berada di sebelah kiri baju Cikgu Jamil. Cikgu Jamil membalas dengan menyapa badan Muhammad. Begitu jugalah perlakuan Muhammad terhadap Datuk Safari.

Tidak lama, Cikgu Jamil menyedari mungkin Muhammad menunjuk ke arah buku dan kertas yang berada di poket baju mereka.

Mungkin dia hendak menulis dan memberitahu sesuatu. Kami mencarikan kertas dan pen untuk dia menulis.

Satu persatu ditulis dan kami baca. Mula-mula ditulisnya dengan tulisan rumi, alif lam lam ha. ALLAH. Kemudian, ditulisnya pula kalimah Allah  itu dengan tulisan jawi berkali-kali.

Kami mengajar dan mengingatkannya supaya menyebut kalimah tauhid. LAA ILAHA ILLALLAH. Atau sekurang-kurangnya lafaz ALLAH, ALLAH, ALLAH.

Kemudian, Muhammad mengisyarat hendak menulis lagi.

Dia menulis : SAYA TERNAMPAK”. Kemudian di bawah perkataan itu dia melakar bentuk kotak, ditulis kalimah ALLAH di atasnya, dan ditulis di dalam kotak itu : NOR MUHAMMAD ABDULLAH.

Diam-diam saya cuba memahami apa yang cuba dimaksudkannya.

Ziarah kami berakhir hampir sejam selepas itu. Kami akhiri dengan doa dan janji akan datang lagi.

Saya sendiri tidak pernah mengunjungi pesakit yang cara interaksi kami melalui tulisan. Ada beberapa perkataan lain yang kami tidak fahami, mungkin dia cuba memberitahu sesuatu.

Di kereta, saya memberikan pendapat. Mungkin yang dimaksudkan dengan lukisan kotak itu ialah, ia mungkin bermimpi melihat dirinya sendiri di dalam keranda janazah atau di dalam lubang kubur. Rupanya Datuk Safari dan Cikgu Jamil berfikir benda yang sama.

Kalau dia yang baru memeluk Islam sekitar setahun lebih, tetapi mampu mengingat Allah ketika sakitnya, entah bagaimana pula kita nanti.

Saudara yang membaca artikel ini, jika berada di sekitar Kota Kinabalu, harap dapat menziarahi Nor Muhammad. Jika saudara berada jauh, jangan lupa doakan dia agar pulih kembali dan dapat mempertahankan Islam yang berada di hatinya.

Tunjukkan ukhuwwah Islam kita. Walaupun dia bukan kenalan atau kawan kita, tapi dia saudara seaqidah kita. Tolonglah!

Sabda Nabi SAW : “..dan Allah pasti menolong hambaNya selama hambaNya itu menolong saudaranya..”.