Selepas program khatam di Tabung Haji selesai, saya meluangkan masa di sebelah petang menghadiri seminar ini yang dianjurkan oleh ABIM bersempena Muktamar Sanawi kali 26 di Dewan Kuliah Pusat UMS.

Sebagaimana sambutan yang kurang dalam program Khatam Quran di Tabung Haji pada sebelah pagi, perkara sama juga berlaku di seminar ini.

Saya sempat menghubungi Dr Arsiah bertanyakan kapasiti 2 tingkat dewan berkenaan.

Menurut Dr Arsiah, tingkat bawah saja boleh memuatkan seramai 700 audien dan saya beranggapan di aras atas boleh memuatkan sekitar 300 orang.

Tetapi maklumat yang diterima, program yang sangat baik ini hanya dihadiri sekitar 300 orang. Tidak berbaloi dengan belanja besar dan tokoh-tokoh yang hadir dalam seminar ini.

Petang itu ada dua kertas kerja. Yang pertama disampaikan oleh Hj Ahmad Azzam Abd Rahman, bekas Presiden ABIM. Beliau menyampaikan kertas kerja berkenaan gerak kerja dakwah di rantau BIMP EAGA ini yang dimaklumi antara sasaran gerakan kristianisasi.

Beliau juga berharap kerajaan memberi peluang yang lebih terbuka kepada NGO untuk bergerak dalam ruang masing-masing.

Pembentang seterusnya yang dinanti ramai ialah bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh. Walaupun kini sudah berusia 78 tahun, beliau kelihatan cergas dan cara kritikannya kepada kerajaan tidak ubah seperti Tun Dr Mahathir menghentam Pak Lah.

Dengan tajuk berkenaan tenaga kerja, beliau dengan lantang membantah tindakan pengusiran pendatang tanpa izin (PTI) yang dilihat membawa keuntungan kepada gerakan kristianisasi, kerana lebih 90%  PTI yang terlibat adalah beragama Islam.

Seperti dijangka, Datuk Harris menerima pelbagai soalan daripada audien.

Setinggi tahniah kepada ABIM Sabah dan rakan penganjurnya.