Selepas dari Surau Austral, di majlis penyembelihan aqiqah, saya bergegas ke Dewan Kinabalu, Tabung Haji di Sembulan.

Ada majlis khatam al-Quran 15 pelajar Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat (MTQQ) Negeri Sabah sesi 2006/2007.

Sedih juga, apabila tidak ramai yang hadir ke majlis yang sangat mulia begini.

Semua kita tahu kelebihan menghadiri majlis khatam al-Quran yang dinaungi oleh malaikat.

Kalau bukan kerana ramai pelajar SMA Toh Puan Hajjah Rahmah yang hadir, tentu lebih lagi nampak kosongnya. Ibubapa pun ramai yang tidak hadir.

Pun begitu, majlis tetap meriah dengan kehadiran Ust Md Sidik Ag Adi, Timbalan Pengarah JHEAINS mewakili Tuan Pengarah yang tidak dapat hadir.

Selepas acara khatam al-Quran dan persembahan nasyid, majlis dipersembahkan dengan persembahan multimedia.

Tayangan itu mengembalikan nostalgia ke zaman permulaan penubuhan Maahad Tahfiz…

Ketika kami berada dalam tingkatan 3 di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah pada 1994, diwar-warkan penubuhan MTQQ awal tahun hadapan. Ketika itu, saya ingat lagi, abang Norali Ag Damit, Ketua Pelajar masuk ke kelas kami untuk mengambil nama pelajar yang berminat.

Syaratnya hanya pelajar lelaki dan berumur 15 tahun. Ketika itu hanya 20 orang diperlukan untuk pengambilan awal. Nampaknya tidak ada seorang pun yang berminat. Saya sendiri pun tidak ada hati ketika itu untuk masuk ke MTQQ.

Sehingga satu hari pernah saya dipanggil dan dipujuk oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim yang ketika itu guru penolong kanan di SMAI Toh Puan Hjh Rahmah. Katanya, bapa saya hendak sangat saya masuk menjadi hafiz al-Quran.

Saya belum berminat lagi. Bapa saya dan Ust Muchlish berkawan rapat sejak awal tahun 80an, kerana pernah tinggal berjiran di Sipitang waktu itu.

Ketika di asrama, kalau tidak silap hujung sesi 1994 atau awal sesi 1995 Ust Hamdani Omar yang ketika itu pengawas asrama (kini Pengetua di SMAI Papar),menerangkan kelebihan menghafaz al-Quran dari pandangan agama dan keperluan dunia.

Entah semena-mena, ramai pula yang berebut. Lebih 20 orang, sedangkan borang hanya 8 keping.

Hujung Januari 1995, kalau tidak salah 27 Januari 1995, diadakan temuduga di bilik mesyuarat Masjid Negeri Sabah. Antara penemuduganya ialah (Datuk) Hj Asmali Bachi, Timbalan Imam Besar Masjid Negeri ketika itu.

Pada hari itu hanya 14 orang yang hadir untuk temuduga berbanding lebih 20 orang yang mengisi borang dahulu. Calon yang hadir 12 orang dari SMAI Toh Puan Hjh Rahmah dan 2 lagi dari SMKA Ranau. Pendeknya, semua yang hadir hari itu diterima masuk kerana calon yang hadir kurang 20 orang.

Tetapi perkembangannya terlalu perlahan ketika itu. Majlis silaturrahim hanya diadakan pada 12 Jun 1995, dirasmikan oleh Tuan Hj Uda Sulai, Setiausaha MUIS dan pengisiannya dibuat oleh Ust Hj Md Iyen Atim dan Datuk Hj Moktar Rapok.

Kelas pengajiannya bermula pada keesokkan harinya, iaitu 13 Jun 1995 di bilik kuliah Masjid Negeri. Hari pertamanya, Ust Asmali Bachi hanya inginkan kami menghafaz ayat 1-5 surah al-Baqarah.

Antara guru-guru awalnya ialah (Datuk) Hj Asmali Bachi selaku pengetua, Ust Pajuddin Nordin, Ust Zaidi Edward, kedua-dua guru tasmi’ al-Quran dan Ust Abu Bakar Omar mengajar Ulumul Quran dan Feqah.

Kemudian, dibantu / diganti pula oleh Ust Hj Muchlish Ali Kassim dan Ust Ghazali Sulaiman.

Oleh kerana kami baru tingkatan 4 ketika itu dan perlu mengambil sijil 4 thanawi, kelas pengajian diadakan sebelah petang dan waktu pagi pula kami bersekolah di SMAI Toh Puan Hjh Rahmah.

Pada mulanya kami tinggal di asrama SMAI Toh Puan Hjh Rahmah sehingga akhir tahun, manakala mulai 1996 kami tinggal di rumah James Bond no 007, quarters kakitangan MUIS, berhadapan dengan sekolah.

Pelajar awalnya pula hanya seramai 8 orang. Berkurang lagi berbanding 14 orang yang lulus temuduga sebelum ini.

Menghargai nilai persahabatan yang masih terjalin hingga sekarang, saya catatkan kesemua nama-nama mereka, pelajar-pelajar terawal MTQQ.

Ust Rahim Yahya Abd Rahman – asal Kg Padang Bongawan, sekarang Penolong Pegawai Tadbir Agama Tawau. Ust Hj Zamrul Md Aslie – asal Kg Himbaan Ranau, sekarang bertugas di Pusat Latihan Dakwah Keningau. Ust Hj Yakob Hj Jilun – asal kg Pintas, Beaufort sekarang guru di Beaufort. Ust Md Hafidz Ahmad – asal Kg Pimping Membakut, sekarang Penolong Pegawai Tadbir Agama Sipitang. Ust Razali Abd Rahman – asal Kg Pikat Bongawan, sekarang Imam Masjid Pekan Bongawan. Md Nadzri Mustakim – asal Johor, sekarang bertugas JAKIM. Ust Kamaronnizam Mat Isa – asal Sg Tiang Kedah, sekarang bertugas sebagai guru agama di sebuah sekolah Sook.

Alhamdulillah, MTQQ kini sudah berusia 13 tahun dan sudah lebih 50 orang rasanya lulusan MTQQ.

Dari kiri : Saya, Nadzri, Zamrul, Rahim, Hafidz, Razali dan Kamaronnizam. Yakob tiada dalam gambar. Gambar ini diambil pada tahun 1996 iaitu 12 tahun lalu berlatar SMAI Toh Puan Hjh Rahmah dan di sebelah kanan saya yang tidak kelihatan ialah Quarters Kakitangan MUIS yang kami tinggal di sana.