Jumaat selepas isya’, di Surau Taman Austral diadakan gotong-royong mengupas bawang, halia, dan lain-lain sebagai persediaan menjelang majlis aqiqah mulai pagi sabtu sehingga ke malam.
Ust Azam datang sekeluarga, si kecil Maryam Awatif pun tolong sekali!
Program aqiqah ini adalah yang terakhir sebelum Ramadhan tahun ini menjelang kurang sebulan dari sekarang.
Tetapi program ini bukan satu-satunya diadakan, bahkan sebenarnya saban kali diadakan, kebiasaannya 2-3 bulan sekali, bergantung kepada permintaan ibu-bapa yang ingin mengadakan aqiqah untuk anak-anak mereka.
Orang yang paling sibuk mengatur aqiqah ini tidak lain Ust Mad, dibantu oleh rakan-rakan lain. Ke hulu ke hilir, melengkapkan mana yang kurang, membeli mana yang patut, mempromosi saban hari, menjemput sahabat tanpa jemu.
Aqiqah adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam. Aqiqah dari segi syarak ialah haiwan yang disembelih untuk si bayi sewaktu mencukur rambutnya. Perkataan aqiqah asalnya bermaksud potong, dengan makna rambut yang berada di kepala bayi yang baru dilahirkan dicukur dan dipotong.
Hukumnya sunnat muakkad ke atas wali yang mejaga bayi tersebut.
Waktu diharuskan menyembelih aqiqah ini bermula dengan keluarnya semua tubuh bayi dari dalam perut ibunya. Waktu sunnatnya berterusan sehingga anak itu aqil baligh. Setelah itu, bapanya tidak lagi dituntut melakukannya dan lebih baik dia melakukan untuk dirinya sendiri.
Waktu paling sunnat muakkad ialah melakukan aqiqah pada hari ketujuh kelahiran.
Demikian Allah mensyariatkan aqiqah kerana mengandungi rahsia yang unik dan maslahah yang mendalam. Aqiqah adalah lambang kegembiraan ibu bapa atas kelahiran anaknya.
Melakukan kenduri aqiqah juga memudahkan perisytiharan berita menama dan membinkan anak, serta menyuburkan sifat pemurah sesama masyarakat dan menghindari sifat bakhil.
Dengan itu, ia merapatkan hubungan keluarga, sahabat dan orang miskin yang dijemput hadir bergotong royong dan makan bersama.
Islam adalah agama kasih sayang dan persaudaraan.
Sekitar jam 6.45 pagi, lembu ini selamat disembelih oleh Ust Zulkifli Mustafa dan dibantu oleh tenaga-tenaga kuat seramai 8 orang.
Tugas saya? Hanyalah selaku tukang buat teh susu dan tukang ambil gambar.
Sabda Nabi SAW : “Bayi itu ditebus oleh aqiqahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukurkan rambut di kepalanya”.