Rajab, Syaaban, Ramadhan mempunyai satu persamaan. Ketiga-tiga bulan ini dianjurkan kita berpuasa dengan status hukum yang berbeza. Begitulah sebagaimana hadith menceritakan kehidupan baginda yang gemarkan puasa.
Ramadhan adalah bulan mulia. Bulan lain pun mulia juga. Tetapi dalam 12 bulan, hanya Ramadhan disebut dalam al-Quran. Ramadhan adalah bulan turunnya permulaan al-Quran.
Tetapi di dalam sirah dan hadith ada menganjurkan, selain Ramadhan yang wajib kita berpuasa, Nabi sering berpuasa pada bulan Rajab dan lebih lagi pada bulan Syaaban.
Terbalik pula dengan kebanyakan masyarakat kita. Syaaban adalah bulan berabis makan, kerana Ramadhan nanti adalah bulan puasa. Macamlah puasa itu sebulan tak makan sepanjang masa.
Petang Jumaat, saya menerima jemputan ceramah di Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Sabah di KUWASA. Saya lebih becerita bab akhlak orang yang berpuasa.
Antaranya ialah :
1) Lidah dan mulut yang berakhlak.
2) Bersabar jika ditohmah.
3) Perut yang berakhlak. Waktu berbuka bukannya waktu untuk membalas dendam dengan makan yang berlebihan.
4) Anggota tubuh yang berakhlak. Mata, telinga, tangan, kaki dan sebagainya mesti dilatih untuk turut berpuasa.
5) Tidak mengabaikan solat. Solat adalah tiang agama dan tidak boleh ditinggalkan.
6) Menutup aurat. Kewajibannya berlaku apabila seorang keluar dari rumahnya ataupun apabila berhadapan dengan orang yang ajnabi dengannya.
7) Membiasakan amalan mahmudah, menjauhi amalan mazmumah.
“Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dari Sya’ban (kecuali Ramadhan) kerana sesungguhnya baginda telah berpuasa sebulan penuh dimana baginda telah bersabda : “Lakukanlah apa-apa amalan yang mampu kamu lakukan, kerana sesungguhnya Allah tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri merasa jemu”. (HR Bukhari dari Aisyah)
Zaid berkata : Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : Wahai Rasuullah, aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Sya’ban di dalam bulan-bulan lain kecuali Ramadhan. Jawab baginda : Itulah bulan Syaaban, dimana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rajab dan Ramadhan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa”. (HR Ahmad)