Archive for 4 Ogos 2008


BERAT SAMA DIPIKUL

Jumaat selepas isya’, di Surau Taman Austral diadakan gotong-royong mengupas bawang, halia, dan lain-lain sebagai persediaan menjelang majlis aqiqah mulai pagi sabtu sehingga ke malam.

Ust Azam datang sekeluarga, si kecil Maryam Awatif pun tolong sekali!

Program aqiqah ini adalah yang terakhir sebelum Ramadhan tahun ini menjelang kurang sebulan dari sekarang.

Tetapi program ini bukan satu-satunya diadakan, bahkan sebenarnya saban kali diadakan, kebiasaannya 2-3 bulan sekali, bergantung kepada permintaan ibu-bapa yang ingin mengadakan aqiqah untuk anak-anak mereka.

Orang yang paling sibuk mengatur aqiqah ini tidak lain Ust Mad, dibantu oleh rakan-rakan lain. Ke hulu ke hilir, melengkapkan mana yang kurang, membeli mana yang patut, mempromosi saban hari, menjemput sahabat tanpa jemu.

Aqiqah adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam. Aqiqah dari segi syarak ialah haiwan yang disembelih untuk si bayi sewaktu mencukur rambutnya. Perkataan aqiqah asalnya bermaksud potong, dengan makna rambut yang berada di kepala bayi yang baru dilahirkan dicukur dan dipotong.

Hukumnya sunnat muakkad ke atas wali yang mejaga bayi tersebut.

Waktu diharuskan menyembelih aqiqah ini bermula dengan keluarnya semua tubuh bayi dari dalam perut ibunya. Waktu sunnatnya berterusan sehingga anak itu aqil baligh. Setelah itu, bapanya tidak lagi dituntut melakukannya dan lebih baik dia melakukan untuk dirinya sendiri.

Waktu paling sunnat muakkad ialah melakukan aqiqah pada hari ketujuh kelahiran.

Demikian Allah mensyariatkan aqiqah kerana mengandungi rahsia yang unik dan maslahah yang mendalam. Aqiqah adalah lambang kegembiraan ibu bapa atas kelahiran anaknya.

Melakukan kenduri aqiqah juga memudahkan perisytiharan berita menama dan membinkan anak, serta menyuburkan sifat pemurah sesama masyarakat dan menghindari sifat bakhil.

Dengan itu, ia merapatkan hubungan keluarga, sahabat dan orang miskin yang dijemput hadir bergotong royong dan makan bersama.

Islam adalah agama kasih sayang dan persaudaraan.

Sekitar jam 6.45 pagi, lembu ini selamat disembelih oleh Ust Zulkifli Mustafa dan dibantu oleh tenaga-tenaga kuat seramai 8 orang.

Tugas saya? Hanyalah selaku tukang buat teh susu dan tukang ambil gambar.

Sabda Nabi SAW : “Bayi itu ditebus oleh aqiqahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukurkan rambut di kepalanya”.

Dalam bab mujahadah, kitab Riyadhus Solihin diletakkan satu ayat al-Quran dari sebuah surah yang selalu kita baca :

“Maka, sesiapa yang beramal kebaikan walau seberat zarrah, nescaya dia akan dapat melihat (hasilnya)”.

Kadang-kadang kita selalu mengabaikan persoalan-persoalan kecil dalam kehidupan. Keluar masuk tandas, rumah, masjid, pasar dan sebagainya, jika tahu mana satu kaki yang didahulukan boleh mendatangkan pahala.

Begitu juga dalam soal menyarung dan membuka baju atau seluar, memakai dan menanggalkan kasut atau selipar, semuanya nampak begitu mudah, tetapi berapa ramai yang cermat dalam menjaga soal-soal yang kecil ini?

Dengan memerintahkan soal begitu, bukankah Allah itu Maha Pemurah, hanya dengan mendahulukan kaki kanan masuk ke masjid saja sudah mendatangkan pahala, apatah lagi dalam persoalan-persoalan yang lain?

Begitu juga dalam solat. Mengangkat tangan dengan sesempurnanya ketika takbiratul ihram misalnya, memandang ke arah jari telunjuk ketika mengungkap lafaz tasyahhud, melafazkan amin bersama-sama imam, memandang ke arah tempat sujud, tangan kanan menggenggam pergelangan tangan kiri ketika berdiri, semuanya itu mendatangkan pahala.

Tetapi, walaupun begitu mudah, ramai juga yang cuai dalam perkara begini.

Maka itu, Imam an-Nawawi meletakkan ayat ini di dalam bab mujahadah, bersungguh-sungguh melakukan sesuatu kebaikan, walaupun ia dipandang kecil sahaja.

Soalan : Kalau kita hendak berwudhu’, kita terlebih dahulu menyinsing lengan baju. Mana satu didahulukan, lengan baju sebelah kanan, atau lengan baju sebelah kiri? :))

Rajab, Syaaban, Ramadhan mempunyai satu persamaan. Ketiga-tiga bulan ini dianjurkan kita berpuasa dengan status hukum yang berbeza. Begitulah sebagaimana hadith menceritakan kehidupan baginda yang gemarkan puasa.

Ramadhan adalah bulan mulia. Bulan lain pun mulia juga. Tetapi dalam 12 bulan, hanya Ramadhan disebut dalam al-Quran. Ramadhan adalah bulan turunnya permulaan al-Quran.

Tetapi di dalam sirah dan hadith ada menganjurkan, selain Ramadhan yang wajib kita berpuasa, Nabi sering berpuasa pada bulan Rajab dan lebih lagi pada bulan Syaaban.

Terbalik pula dengan kebanyakan masyarakat kita. Syaaban adalah bulan berabis makan, kerana Ramadhan nanti adalah bulan puasa. Macamlah puasa itu sebulan tak makan sepanjang masa.

Petang Jumaat, saya menerima jemputan ceramah di Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Sabah di KUWASA. Saya lebih becerita bab akhlak orang yang berpuasa.

Antaranya ialah :

1) Lidah dan mulut yang berakhlak.

2) Bersabar jika ditohmah.
3) Perut yang berakhlak. Waktu berbuka bukannya waktu untuk membalas dendam dengan makan yang berlebihan.
4) Anggota tubuh yang berakhlak. Mata, telinga, tangan, kaki dan sebagainya mesti dilatih untuk turut berpuasa.
5) Tidak mengabaikan solat. Solat adalah tiang agama dan tidak boleh ditinggalkan.
6) Menutup aurat. Kewajibannya berlaku apabila seorang keluar dari rumahnya ataupun apabila berhadapan dengan orang yang ajnabi dengannya.
7) Membiasakan amalan mahmudah, menjauhi amalan mazmumah.

“Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dari Sya’ban (kecuali Ramadhan) kerana sesungguhnya baginda telah berpuasa sebulan penuh dimana baginda telah bersabda : “Lakukanlah apa-apa amalan yang mampu kamu lakukan, kerana sesungguhnya Allah tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri merasa jemu”. (HR Bukhari dari Aisyah)

Zaid berkata : Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : Wahai Rasuullah, aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Sya’ban di dalam bulan-bulan lain kecuali Ramadhan. Jawab baginda : Itulah bulan Syaaban, dimana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rajab dan Ramadhan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa”. (HR Ahmad)

1 Ogos bersamaan 28 Rajab selepas solat Jumaat, berlangsung majlis pernikahan Ust Md Hailmi Misbah, junior saya di SMAI Toh Puan Hjh Rahmah dan di Maahad Tahfiz al-Quran.

Hailmi, 26 tahun berasal dari Tuaran, pernah mengajar di Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri, kemudian mulai 1 Jun 2006 menjadi imam Masjid Negeri sebelum ke Bahagian Dakwah, JHEAINS.

Ketika di Masjid Negeri itulah rasanya dia mengenali Cik Norliza Taliyor Abdullah, Pembantu Peribadi kepada Imam Besar Masjid Negeri, Ust Hj Nahar Matamin.

Norliza diambil bekerja oleh Ust Nahar ketika beliau baru menjadi Imam Besar pada Sept 2006. Norliza memeluk Islam pada 27 April 2005.

Ust Hj Imbran Anggun, Pegawai Agama Istana yang juga wali hakim menjalankan akad nikah, manakala Ust Nahar dan Datuk Mokhtar Rapok menjadi saksi pernikahan yang dihadiri hampir 100 orang di dewan solat utama Masjid Negeri. Hanya sekali lafaz qabul diucapkan oleh Hailmi.

Manakala pada ahad, berlangsung kenduri perkahwinan mereka di Kg Bolong, Tuaran.

Besar pahala Hailmi memperisterikan Norliza, seorang muallafah. Semoga Hailmi dapat membimbing isteri ke jalan Islam yang sebenar. Kepada Hailmi dan Norliza, welcome to our club. Semoga berbahagia dunia dan akhirat.

Firman Allah : “Maha Suci Allah, yang menjadikan semuanya berpasang-pasangan, sama ada yang tumbuh dari bumi, dan dari diri kamu sendiri, dan dari apa-apa yang kamu tidak ketahui”.

%d bloggers like this: