27 Julai, ahad minggu lepas, Masjid Negeri kembali mengadakan program Ziarah Pesakit yang sebelum ini seringkali diadakan.

Selepas solat asar di Masjid Negeri, 13 orang sahabat yang menyertai program ini, diberikan taklimat oleh urusetia, Chegu Jamil Dayan.

Tidak menunggu lama, kami bergerak ke Wad Perubatan A, tingkat 2 Hospital Queen Eizabeth.

Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, 1 kumpulan diketuai ust Zulkifli Mustafa dan sekumpulan lagi dipimpin Datuk Md Safari Abd Manan.

Saya berada dalam kumpulan kedua. Mungkin kerana sudah lama saya meninggalkan aktiviti ini, rasanya agak kekok untuk memulakan sendiri sapaan kepada pesakit.

Saya mula-mula melihat kesungguhan Datuk Safari membantu mengambil makanan kepada seorang pesakit akibat kemalangan jalanraya.

Kami merapati seorang bekas polis. Beliau begitu mesra menceritakan pengalamannya berkhidmat sebagai anggota keselamatan dalam pelbagai unit.

Saya kira, memberi peluang mereka bercerita, itu sudah merupakan satu bentuk perubatan, kerana menghilangkan stress dan kesunyian di atas katil.

Kami juga merapati seorang bekas pegawai bomba yang merupakan seorang muallaf.

Dia menceritakan dirinya sebagai seorang yang tidak pandai tentang agama Islam dan pernah cuba untuk dimurtadkan satu masa dulu.

Tapi katanya, apa hendak jadi, Islam mesti dipertahankan.

Ada seorang pesakit yang sudah berumur saya agak. Berasal dari Kinarut.

Pakcik ini ditemani oleh isterinya. Bila saya tanya umurnya, dia kata baru 60 tahun, boleh kawin lagi seorang.  Berani juga pakcik ini, bisik hati saya.

Rancak bercerita, dia mengatakan semua orang sakit, semua orang mati, tuhan pun mati. Saya terkejut.

Panjang cerita, rupanya dia seorang pagan. Pagan ertinya atheis, tidak menganut apa-apa agama.

Bermacam-macam jenis manusia kami temui hari itu, sedikit kata-kata mereka yang diziarahi ini, banyak pengalaman dan maklumat yang kami perolehi. Insya Allah, akan datang akan ziarah lagi.

Mudah-mudahan ada manfaatnya.