Minggu lepas, saya menyampaikan kuliah di sebuah masjid. Ketika itu, saya sedang menghuraikan bait-bait bacaan tasyahhud. Terdapat satu perkataan ‘al-mubaarakat’ di dalam tasyahhud yang selalu kita baca. Lalu saya menceritakan tentang persoalan berkat.

Berkat ini maksudnya tambahan. Ulama’ memberi contoh, jika makanan 3 orang cukup untuk 5-6 orang, itu ertinya ada keberkatan. Tetapi jika makanan untuk 3 orang, tiba-tiba untuk dia seorang tidak cukup, saya katakan ada masalah di situ.

Ketika itulah ada seorang jamaah menunjuk-nunjuk kawan di sebelahnya, mengisyaratkan bahawa kawannya itu memang kuat melantak, pantang melihat makanan terhidang. Perbuatan jamaah itu dilakukannya beberapa kali, supaya saya mengambil perhatian kepadanya. Saya kurang senang perbuatan itu, lalu saya katakan, “tak payah tunjuk.. sendiri mau ingat.

Saya kira kawan di sebelahnya itu walaupun tersenyum, tetapi malu apabila ditunjuk begitu.

Saya lantas membawakan sebuah kisah yang saya dengar dalam kuliah Ust Yusainee Yahya di internet. Rakaman kuliah beliau di Taman Melewar yang saya ‘cd’kan untuk didengar di kereta.

Kisahnya, ketika Sayyidina Umar menyampaikan kuliah, tiba-tiba tercium semerbak seluruh jamaah dengan bau kentut. Khalifah yang turut terhidu, lantas mengarahkan orang yang kentut itu bangun. Siapa yang kentut tadi sila bangun!

Jamaah yang hadir senyap sunyi. Tiada siapa yang sanggup bangun. Malu bah! Siapa tidak kenal dengan ketegasan Khalifah Umar?!

Tiba-tiba Sayyidina Ali bingkas memberi pendapat : “Bukankah baik, kalau khalifah memerintahkan kita semua yang ada di masjid ini bangun mengambil wudhu’?”

Baginda Umar bersetuju dengan pandangan itu. Sayyidina Ali telah menyelamatkan keadaan dan menutup aib saudaranya yang terlepas kentut tadi. Jelas keterbukaan Sayyidina Umar sebagai pemimpin dan kebijaksanaan Sayyidina Ali menegur pimpinan.

Sabda Nabi SAW : “Sesiapa menutup aib seorang Islam, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak..”