Semalam saya mengikuti dari awal kuliah aqidah bersama Ust Hj Muchlish Ali Kasim di Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral. Beliau membawa kitab yang membincangkan Asmaul Husna.

Tetapi ada satu ketika, ust Muchlish melontarkan satu persoalan, yang akhirnya beliau terangkan sendiri.

Katanya, ada satu tabiat di kalangan kita terutama orang Melayu, sikap payah untuk mengaku salah.

Misalnya, jika keretapi tersasar dari relnya, orang tidak disalahkan, tetapi kerana relnya sudah lama, berumur 30 tahun umpamanya. Jika dalam penulisan, tidak diakui kesilapan menulis tetapi yang salah mesin taip atau komputer.

Bukankah salah itu berlaku juga kepada manusia kerana tidak memeriksa rel sudah berusia 30 tahun, atau disemak tulisan itu terlebih dahulu.

Sebenarnya, tabiat ini berlaku antara lain kerana sikap ini sudah ditanam sejak kecil lagi, bahkan dari bayi atau alam kanak-kanak berumur 1-2 tahun.

Contoh. Ketika kecil, apabila si anak cuba bertatih, lalu ia terlanggar kerusi dan kemudian menangis, si ibu  akan segera mendapatkan si kecil lalu memukul kerusi tadi, menyalahkan tiang atau kerusi berkenaan.

“Kerusi ini, dia pula di situ” Kata si ibu membela anaknya. Sedangkan ia memang di situ sedari awal.

Perbuatan ini sebenarnya mengajar sesuatu kepada anak bahawa dia tidak dipersalahkan, tetapi tiang atau kerusi itu yang salah. Perbuatan ini berlaku hampir setiap hari, menyebabkan sikap itu tertanam dalam diri si kecil sehinggalah dia membesar. Yang salah orang lain, dia tidak salah!

Kalaulah kerusi itu tadi boleh membalas…