Selalu kita mendengar apabila seseorang berkata : “Saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberi saya … bla bla bla…”

Lebih dahsyat lagi apabila sang artis berkata : “Syukur alhamdulillah di atas pemberianNya, memberikan saya kemenangan award ini, mengurniakan saya bakat berlakon watak pelacur bla.. bla.. bla..”

Syukurkah itu?

Syukur ertinya menggunakan sesuatu nikmat, sesuai dengan kehendak pemberi, iaitu Allah SWT.

Harta yang dikurnia, digunakan dengan cara sesuai dengan kehendak Allah. Isteri dan anak yang diamanah, digunakan dengan cara yang sesuai dengan kehendak Allah. Panca indera yang diberi, digunakan dengan cara yang sesuai dengan kehendak Allah.

Betulkah kata artis itu sambil memegang award di tangan, dengan pakaian menjolok matanya, mengungkap kata syukur kepada Allah atas bakat yang dikurniakan kepadanya? Untuk itukah Allah memberinya bakat dan kebolehan?

Syukurkah itu apabila gaji yang diterima, disalurkan mengundi artis pujaan?

Syukurkah itu apabila lidah yang dikurnia, diguna untuk mengutuk dan menyebar fitnah?

Saya risau itu bukan syukur, tapi kufur.