Saudara yang bersolat di masjid yang selalu dihadiri oleh pembesar dan pemimpin negeri dan negara terutama solat jumaat atau sempena hari-hari kebesaran mungkin pernah melihat keadaan ini. Atau setidak-tidaknya melihat di kaca tv atau gambar dipapar di suratkhabar.

Melihat para pemimpin dan pembesar bersolat dengan setiap seorang mereka mempunyai sejadah yang ruangnya lebih besar dari yang diperlukan. Ajaran siapa ini?

Sedari kecil kita diajar bahawa susunan saf solat berjamaah itu mesti rapat, dan bertemu bahu. Solat berjamaah mengajar kita erti persaudaraan, persamaan dan hubungan erat yang dijalin sesama jamaah yang hadir. Dalam masa yang sama, jika kita renggangkan saf, kita memberi peluang syaitan masuk dan menyelit di ruangan itu.

Bila begitu yang kita fahami, apa ertinya lagi kita masih berkeinginan bersajadah sendirian?

Pada tahun lepas, ketika itu saya masih bertugas di Istana Negeri, mengiringi Tuan Yang Terutama (TYT) ke Sandakan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sabah.

Selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Daerah Sandakan, TYT memanggil beberapa orang, menunjuk-nunjuk ke arah sejadah yang diguna tadi. Saya yang ketika itu sedikit jauh dari kedudukannya, lantas bergegas menghampirinya.

“Kenapa sejadah besar ni? Untuk apa?” Kata Tun.

“Kalau sejadah besar begini, orang tidak mahu rapat sama aku! Sembahyang ni saf mesti rapat!” Tegasnya.

“Malam ni aku mau sejadah ni ditukar! Jangan terlalu besar!” Beberapa pegawai yang ada bersama di situ terpinga-pinga. TYT berlalu, sementara pegawai-pegawai lain pula tunjuk-menunjuk.

Malam itu ada sambutan Maulidur Rasul di masjid yang sama, ada bacaan barzanji, marhaban dan sebagainya, dan sejadah itu saya lihat sudah ditukar yang lain. 

Bukan susah sangat.