Sesekali, saya juga mengikuti perkembangan dunia hiburan. Paling tidak membaca bintang popular berita minggu atau menonton melodi TV3 pada tengahari ahad jika berkelapangan. Kadang-kadang ada bahan menarik yang boleh dibawa dalam ceramah atau kuliah-kuliah.

Maklumat-maklumat sebegitu boleh menarik perhatian audien yang kebiasaannya tidak lekang dengan dunia artis dan hiburan. Ketika itu kita boleh menjelaskan hukum atau permasalahan semasa yang berlaku dalam masyarakat.

2 minggu lepas kalau tidak salah, ada seorang pelakon baru bercerai setelah hanya berkahwin sekitar 2 tahun. Yang kasihannya, perceraian berlaku dalam keadaan si pelakon berbadan dua, baru 3 bulan katanya.

Menurut hukum Islam, talak itu jatuh dan iddahnya ialah sehingga ia bersalin.

Di dalam buku-buku fekah, antaranya di dalam fiqhul manhaji menjelaskan, perempuan yang diceraikan ketika hamil layak semasa iddahnya menerima semua nafkah suami seperti makanan, pakaian dan sebagainya, dan dia wajib mendapat tempat tinggal. Sebaiknya ialah tempat tinggal beliau ketika talak dijatuhkan jika sesuai dengannya dan tidak ada halangan syarie. 

Selain itu dia dilarang meninggalkan rumahnya tanpa sebarang urusan yang syarie. Ertinya boleh keluar rumah untuk urusan kerja (yang halal) atau membeli keperluan rumah. Wallahu a’lam.

Firman Allah : “Dan perempuan-perempuan yang mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya”.

About these ads