Salam.

Ramai yang tahu, khutbah jumaat minggu lepas tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang begitu merasai bahang kehangatannya. Tajuknya : Berhati-hati mendengar khabar berita.

Tapi bak kata sahabat yang baru berpindah ke Kedah, Ust Abdullah Din, katanya : “Tanda khutbah tu berkesan, apabila selepas jumaat ramai yang memperkatakannya”.

Memang benar, tuan imam yang menjadi khatib dihubungi SB jam 1.30 petang. Balik ke pejabat jam 2, pejabat Ketua Menteri meminta teks khutbah hari itu difakskan ke pejabat mereka.

Sebenarnya, khutbah itu saya yang susun. Isunya, ingin menerangkan kepada umat Islam supaya menyelidiki khabar berita yang diterima. Dalilnya dari surah al-Hujurat, ayat 6. Semua maklum apabila sesuatu berita tidak benar, akan menyusahkan orang lain tambahan lagi apabila khabar yang melibatkan maruah orang.

Khabarnya, pejabat pentadbiran menerima panggilan bertalu-talu. Saya tau Pengarah ditekan oleh orang politik yang tidak mau menerima nasihat.

(Sabda Nabi SAW : “Agama itu nasihat”. Kami para sahabat bertanya : “Untuk siapa?” Jawab Nabi : “Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk pemimpin orang Islam dan untuk seluruh rakyatnya”)

Akibatnya, saya diambil tindakan. Saya tidak dibenarkan lagi menulis khutbah dan kebenaran asal pergi ke Kedah untuk menghadiri tilawah kebangsaan ditarik semula.

Keadaan itu menunjukkan Islam diperintah bukan memerintah. Islam terpaksa menurut kehendak orang politik yang rakus. Kalau dia kata bab ni boleh kata, maka kita boleh kata. Kalau dia kata tak boleh, maka kita kena ikut, walaupun Islam kata kena sebut.

(Sabda Nabi : “Katakanlah yang benar sekalipun pahit”)

Saya tahu itu mehnah dan tribulasi. Adat dalam berdakwah, ada suka dan duka. Bukan semua orang boleh terima dakwah kita. Tapi saya juga manusia biasa, bukannya pejuang hebat. Datang juga rasa takut dan bimbang.

Akhirnya saya sedar, sebenarnya tindakan yang dikenakan itu tidak ada apa-apa yang mesti dirisaukan. Kecik punya hal. Lagipun ia menepati sunnah dalam berdakwah – sentiasa diuji.

Dalam masa yang sama, saya yakin dakwah Islam tidak boleh disekat. Bak kata Dato’ Ismail Kamus, dakwah umpama air sungai. Ia akan terus mengalir dan mengalir.

Ya! Saya tidak akan berhenti. Kerja dakwah itu tidak hina di sisi Allah. Ya Allah bantu hambaMu menegakkan agamaMu!