Tag Archive: WP Labuan


WANDAN & AZMI (V2)

Makan sudah, suap anak-anak makan pun sudah, mereka puas berlarian di sekeliling dewan. Letih saya menggambar, Nuha pula beraksi dengan kamera babahnya. Banyak juga yang menjadi dan cantik. Ahli keluarga ramai yang datang membantu, jadi kerja-kerja melayan tidaklah berat kerana saya banyak menjadi penonton dan menangkap gambar.

Sesekali Nuha dan Hadi keletihan dan kebosanan, mereka mengajak  saya supaya balik terus ke Kota Kinabalu. “Hish, mana boleh. Kejap lagi pengantin sampai”. Sebenarnya, saya pun keletihan juga.

Tepat jam 1 tengahari, rombongan kedua-dua pengantin tiba di dewan diiringi kumpulan kompang lengkap berbaju biru, sambil dua kumpulan puteri-puteri bunga mendahului di hadapan. Satu kumpulan membawa hantaran pengantin perempuan dan sekumpulan lagi hantaran pengantin lelaki.

WANDAN & AZMI (V1)

Tarikh : 5 Disember 2010

Tempat : Dewan Foochow, WP Labuan.

Anak-anak lega tiba di dewan sekitar jam 11.20 pagi. Meski tetamu sedang berduyun-duyun datang dan menjamu selera, mereka seronok berlarian di dewan yang besar dan luas. Kedua pengantin dijadualkan tiba untuk majlis resepsi pada jam 1 petang.

Siti Wandan Kartini Firdaus, 33 tahun, seorang guru di SMK Sikuati Kudat adalah pangkat anak buah kerana kami bersepupu dengan ibunya, Cikgu Zaharah Hj Md Noor, seorang pesara guru di Kudat. Ibu kepada Cikgu Zaharah merupakan kakak kepada mama kami.

Azmi Ahad, 34 tahun orang Labuan, juga seorang guru dan bertugas di SK Inanam Laut Kota Kinabalu. Seorang di Kudat, seorang di Kota Kinabalu dan disatukan di kampung halaman sendiri di WP Labuan.

Majlis perkahwinan ini begitu meriah. Ia mengumpulkan sebahagian ahli keluarga kami yang ramai dari Kudat, Kota Kinabalu, Brunei dan WP Labuan sendiri dan ada sebahagiannya pula tidak dikenali. Barangkali kesempatan yang sedikit ini memberi ruang untuk bermesra dengan mereka lantaran masing-masing mempunyai kehidupan sendiri dan hidup berjauhan.

SAHRUM & CT VERSI LABUAN

Inilah sebenarnya antara tujuan awal saya pulang ke Labuan. Menghadiri majlis perkahwinan Ustaz Haji Sahrum Samlan dan Ustazah Siti Halimah versi Kg Sungai Bedaun WP Labuan. Majlis pernikahan mereka 26 November lalu di Kg Tawadakan Kota Belud turut saya hadiri.

Alhamdulillah, saat kami tiba sekitar jam 10.30 pagi ramai tetamu sudah memenuhi ruang sekitar rumah keluarga pengantin termasuk beberapa individu yang saya kenali. Keluarga saya tidaklah terlalu rapat dengan keluarga pengantin, tetapi setiap tahun khususnya pada hari raya kami akan sedayanya untuk berziarah ke rumah ini dan keluarga mereka juga pernah beraya di rumah kami.

Tetamu yang ramai membataskan kami tiga beranak untuk duduk lebih lama  di sini, tambahan kami perlu segera berangkat ke resepsi perkahwinan berikutnya. Saya gembira dapat hadir ke majlis ini. Tahniah semoga Allah SWT memberkati kedua-dua pengantin dan keluarga besar mereka. Amin.

SENJA DI PANTAI MANIKAR

Saya menyedari dua anak yang ikut ke kampung kebosanan berada di rumah neneknya. Sunyi kerana tiada sepupu-sepupunya ketika itu. Kami tiba sekitar jam 2.30 petang dan saya suruh Nuha dan Hadi tidur sebentar kerana saya menyedari mereka keletihan dan langsung tidak tidur di sepanjang perjalanan. Janji saya selepas bangun tidur untuk membawa mereka ke taman.

Jam 5.20 petang kami bergerak menaiki kereta ke kawasan pantai di Kg Batu Manikar, tidak sampai 10 minit dari rumah. Mereka berlarian, memanjat permainan dan bergelongsor sementara saya asyik menggambar mereka dan pemandangan indah senja di pantai ini.

Gembiranya anak-anak bermain memuaskan hati mereka walaupun hanya sebentar kerana saya bergegas untuk ke memenuhi undangan kuliah maghrib di masjid kg Layang-Layangan.


TERIMA KASIH SEMUANYA

Meriah hari raya aidil fitri keluarga Haji Othman Mahali tahun ini. Semua anak menantu dan 18 cucu berkumpul di kampung Lubok Temiang, WP Labuan. Ia jarang berlaku pada 1 Syawal. Biasanya, ada saja yang tidak ada, kerana giliran balik kampung yang tidak mengena. Kalau ada yang balik pun, sudah lewat daripada 1 Syawal, tarikh yang lebih bermakna dalam konteks keluarga besar kami.

Ada enam beradik (tidak termasuk 2 yang meninggal dunia ketika kecil), lima daripada kami sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai zuriat masing-masing.  Hanya menanti saat adik bungsu yang masih sendirian walau umur sudah menjangkau 25 tahun. Kami yang lain mendirikan rumahtangga antara umur 22 dan 32 tahun. Anak-anak kami baru berjumlah 18 orang berumur antara 1 hingga 17 tahun. Insya Allah akan bertambah.

Kami berkongsi keputusan untuk mengadakan rumah terbuka pada raya ketiga lalu. Masing-masing membeli keperluan makan minum dan mengundang tetamu masing-masing. Saya membawa empat ekor ayam yang siap disembelih yang dipelihara sendiri dari KK dan juga 36 botol air mangga dari kilang minuman Shoffee di Lok Kawi. Kerusi dan khemah ditempah dari balai raya kampung.

Hasilnya, sekitar seribu orang tetamu hadir ke rumah. Berita dari dapur, barang makanan seperti ayam dan lain-lain dibeli dan dimasak dua kali  lagi kerana tetamu yang sangat memberangsangkan. Separuh daripada yang hadir adalah sanak saudara dari Johor, Brunei, Sipitang, Kota Kinabalu dan Labuan. Tapi itu pun hanya sebahagian sanak saudara saja yang hadir. Belum semua.

Kehadiran keluarga pakcik kami Halidon Mahali atau nama manjanya Awang dari Johor sudah tentu paling mengesankan. Anak sudah besar-besar, malahan kami tidak mengenalinya pun. Rezekinya ada di Pasir Gudang sejak 20 tahun lalu. Ada yang tidak pernah bertemunya sepanjang tempoh itu, walaupun beliau pernah balik 10 tahun lalu.

Selain sanak saudara jauh dan dekat, kehadiran ahli parlimen YB Datuk Yussuf Mahal dan rombongan juga memeriahkan suasana. Memang rumah kami tidak pernah sunyi dengan kunjungan ahli parlimen Labuan setiap kali hari raya. Sebelum Datuk Yussuf, ahli parlimen terdahulu seperti Datuk Abdul Muluk dan Datuk Suhaili juga pernah ke sini. Kami berbesar hati dengan kunjungan mereka.

Begitu juga rakan-rakan niaga, aktivis Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA), AJK Masjid al-Muzakkirullah, penduduk kampung,  sahabat dan rakan setiap ahli keluarga kami yang hadir, semuanya menyumbang kemeriahan sambutan hari raya kali ini di rumah kami. Terima kasih.

Koleksi foto oleh Abu Nuha & Azri Onn.

SUNGKAI 30 RAMADHAN

Sungkai (berbuka puasa) 30 Syawal menjadi kenangan manis keluarga besar Haji Othman Mahali di Kg Lubok Temiang baru-baru ini. Semua anak cucu, ipar duai dan menantu hadir bersama-sama berbuka puasa. Apatah lagi tahun ini semua anak-anak berhari raya di sini. Meriah sekali.

Selain bersungkai, ada majlis ringkas untuk anak-anak. Kebetulan anakanda Nur Anisa Nabila binti Azri Onn, menyambut ulangtahun ke-8  di rumah. Tambah gamat lagi dengan sesi cabutan bertuah untuk semua ahli keluarga. Ada yang dapat hadiah coklat, air minuman dan macam-macam lagi. Yang penting semuanya dapat dan menjadi kegembiraan bersama kami.

SETULUS KASIH


Cucu sudah ada 18 orang. Sembilan di WP Labuan dan sembilan lagi di Kota Kinabalu. Paling besar umur 17 tahun, yang kecil umur setahun. Yang hadir cucu-cucu di Labuan saja dalam kenduri kesyukuran semalam.

Selamat menyambut ulangtahun ke-63 daripada anak-anak dan cucu di Lok Kawi Putatan, buat bonda @ nenek yang dikasihi – Halimah binti Abdul Jalil di WP Labuan.

Semoga dilanjutkan usia, diberikan kesihatan yang baik dan ketenangan dalam hidup bersama keluarga.

***

Saat saya mengikat tali pertunangan pada 3 Ogos 2002, mama masih hadir ke Kota Kinabalu bersama-sama meraikan saat bersejarah kami. Mamalah yang menyarungkan cincin ke jari tunangan saya.

Dua bulan setengah kemudian, kami disatukan. Ketika itu mama tidak dapat lagi hadir kerana diserang penyakit angin ahmar yang membuatkan sebahagian tubuhya tidak berfungsi.

Tapi saya yakin mama mendoakan kebahagiaan kami.

8 tahun berlalu, penyakit itu masih ada walaupun mama semakin pulih dan boleh berjalan perlahan-lahan di rumah walaupun kalau tinggal sendirian.

Beliau boleh turun naik tangga, memasak dan lain-lain. Tidak tahan berdiri lama dan lebih suka mengengsot kalau tempat dituju hanya sekitar beberapa meter.

Cuma kata-katanya agak sukar difahami akibat stroke berkenaan. Namun  biar begitu, perjalanan masa, pengalaman hidup, kedewasaan mengajar kami anak beranak, adik beradik semakin mengasihi mama.

Saya masih mengajar anak-anak agar sentiasa menghubungi nenek di kampung,  sekurang-kurangnya seminggu sekali. Biar mereka kenal keturunan, keluarga dan asal usul mereka dari kampung.

Alhamdulillah, teknologi yang ada merapatkan kasih sayang kami walaupun  zahirnya jarak dan tempat kami berjauhan.

MENGAKU SALAH

KOTA KINABALU, 9 Mac — Bekas Anggota Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan pindaan menipu sebuah bank bagi tujuan permohonan pinjaman perumahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah memberitahu Hakim Duncan Sikodol bahawa pertuduhan dipinda kepada Seksyen 109 (1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi satu lagi tuduhan, Hakim Sikodol melepaskan dan membebaskan Suhaili daripada tuduhan memberi maklumat palsu dalam satu akuan bersumpah pada 1995 selepas Fariza memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah.

Pada 14 April tahun lepas, Suhaili mengaku tidak bersalah membuat kenyataan palsu itu kepada Mohd Naser Mohd Noor, seorang Jaksa Pendamai, berhubung pendaftaran syarikatnya, Saraequity Sdn Bhd, pada 3 Ogos 1995.

Pada 13 April tahun lepas pula, Suhaili, 48, bekas Pengerusi Perbadanan Labuan sehingga 31 Mac tahun lepas, mengaku tidak bersalah kerana menipu dengan menggunakan kad pengenalan yang bukan miliknya untuk menjadi penjamin dalam permohonan pinjaman itu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan rotan dan juga boleh dikenakan denda.

Suhaili, yang diwakili peguam Rakbir Singh, dituduh menipu pengurus bank Malayan Banking Berhad, Ismail Jantan, di cawangan Kota Kinabalu tanpa memaklumkan bank berkenaan bahawa beliau muflis pada 3 April 1996 dalam permohonan pinjaman perumahan syarikatnya, Saraequity Sdn Bhd, sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 untuk membeli satu unit apartmen di Api-Api Centre di sini.

Fariza memberitahu mahkamah bahawa Suhaili diisytihar muflis melalui perintah mahkamah pada 3 April 1993 dan dilepaskan daripada kebankrapan pada 9 Mei 1997, lebih setahun selepas permohonan pinjaman itu diluluskan oleh bank berkenaan.

Sikodol menetapkan esok untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman.

Suhaili sepatutnya dibicarakan selama seminggu mulai hari ini tetapi pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan pindaan terhadap pertuduhan itu yang membawa hukuman yang lebih ringan. — Bernama

KEHILANGAN

1) Ust Bungsu Aziz dan Puan Ofelia kehilangan cahayamata sulung lelaki pada 28 Mac di Kota Kinabalu. Bayi berumur 6 bulan dan hidup selama 3 jam.

2) Sdr Nor Fitri Abdullah dan isteri, yang kini berada di Perlis memperolehi anak kembar tiga. Salah seorangnya meninggal dunia beberapa hari lalu. Mudah-mudahan yang dua lagi sihat dan selamat.

3) Tuan Hj Sunarto Sipin dan keluarga di Kg Lubok Temiang WP Labuan kehilangan anak sulung mereka Nasyriq, berumur sekitar 27 tahun yang kemalangan pagi tadi. Saya terbayang wajahnya kerana dia pemuda yang rajin ke masjid di kampung.

4) Ust Mahari Abu Bakar dan Puan Nurain Lim kehilangan cahayamata kedua semalam. Puan Ain Lim khabarnya bersalin bayi berumur 6 bulan.

Maklumat akan dikemaskini.

HARI WILAYAH PERSEKUTUAN

WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bercuti hari ini menyambut hari Wilayah Persekutuan setiap 1 Februari.

Sebagai penduduk yang membesar di WP Labuan sejak berumur 2 tahun dan bersekolah rendah di sana, ada sesuatu yang sepatutnya difikirkan oleh umat Islam di WP Labuan tentang perkembangan Islam dan yang berkait dengannya.

Pertama

Daripada segi prasarana, memang agak kehadapan. Masjid dan surau rasanya semuanya ada penghawa dingin. Demikian penelitian saya apabila setiap kali pulang ke sana, berziarah dan mengisi program di masjid dan surau.

Yang patutnya diikhtiarkan ialah agar umat Islam cintakan masjid dan surau, rajin mengimarahkannya setiap masa. Itulah yang membimbangkan saya berkenaan masjid dan surau di WP Labuan secara umumnya.

Satu ketika saya pernah hadir di sebuah masjid untuk mengisi slot ceramah maghrib-isyak dengan kehadiran 3 orang termasuk saya.

Kini kalau datang berceramah, saya suka sekali menekankan agar pengajian seperti aqidah, feqah, tasawuf, hadith, tafsir, sirah dan seumpamanya ditekankan di masjid surau. Bukannya setakat belajar marhaban dan barzanji sahaja.

Kedua

Setahun lalu, sempena hari wilayah ini juga saya pernah menulis agar usaha-usaha mewujudkan sekolah aliran arab seperti SMA Toh Puan Hajjah Rahmah ditekankan secara bersungguh-sungguh.

Labuan melalui usaha murni Jabatan Agama Islam WP Labuan (JAWI) mempunyai banyak Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI), tetapi ia habis di situ. Untuk menyambung ke KK di Toh Puan atau di Papar, berapa sangatlah kouta yang diberikan kerana anak Sabah sendiri sangat memerlukan.

Saya mengetahui perjuangan orang-orang lama baik di JAWI atau Jabatan Pelajaran dan masyarakat awam sudah bertahun-tahun mendesak sekolah agama aliran arab ini diwujudkan.

Semua tahu kepentingan sekolah agama sebegini diperjuangkan.

Ketiga

Pusat maksiat yang semakin subur di WP Labuan. Kelab malam, pusat karaoke, premis urut berlambak menjadi perhatian masyarakat. Tambahan lagi status sebagai bebas cukai, arak dan rokok masih murah berbanding di tempat lain.

Pegawai di Perbadanan Labuan sudah tentu boleh memberikan statistik jumlah premis berkenaan di WP Labuan.

Kehadiran premis seumpama itu berkait dengan budaya berhibur di kalangan masyarakat. Asal saja ada sambutan tertentu, mesti ada artis sekian-sekian.

Seseorang pernah bercerita, sambutan acara keagamaan di WP Labuan begitu suram. Dewan tidak penuh dan banyak kerusi daripada orang.

Semoga Allah SWT selamatkan WP Labuan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers