Tag Archive: Tenom


CIKGU RIZAL HADI ISMAIL

Kami bertemu pada petang ahad di Hospital Queen Elizabeth saat dia menemani ibunya yang ditahan di wad berkenaan. Nampaknya kesihatannya semakin baik  walaupun berat semakin susut daripada 120kg kepada 70kg setelah menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, kini beliau sudah mula mengajar di sekolahnya di Tenom.

Cikgu Rizal dalam sembang kami masih bersemangat dan menunjukkan kepada saya risalah yang dibuat untuk diedarkan kepada jamaah Masjid ar-Rahman Pekan Tenom. Katanya ada risalah mingguan dan ada risalah bulanan. Bahkan beliau mengajak saya untuk menulis sedikit artikel untuk risalah bulanan itu nanti yang bermula pada februari.

Jiwa pendakwahnya masih belum luntur apabila setiap kali selepas rawatan dialisis, beliau terus melakukan ziarah kepada pesakit di Hospital Tenom. Selain itu, beliau juga mula kembali sebagai khatib di masjid dan mengisi program menurut kemampuan beliau. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepadanya.

 

ZIARAH CIKGU RIZAL HADI

IMG_9955

Selesai solat asar qasar di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom, kami menuju ke Hospital Daerah beberapa minit dari situ. Che’gu Jamil memandu, Ust Amir di sebelah sementara saya di belakang.

Perjalanan lebih 2 jam KK-Tenom sebelum itu agak meletihkan khususnya pada permulaan mendaki jalan Kimanis kerana kabus terlalu tebal. Kadar jarak penglihatan hanya dapat dilihat beberapa meter sahaja, tambahan lagi hujan lebat beberapa ketika.

Berhenti solat di masjid dan berehat seketika jelas merenggangkan keletihan kami.

Wad pesakit lelaki di Hospital Tenom yang menempatkan Cikgu Rizal mempunyai 13 katil (kalau tidak salah) dan ada beberapa katil yang kosong tanpa pesakit.

Sehari sebelumnya, Cikgu Rizal dijadualkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tetapi beliau merasa sesak nafas ketika perjalanan baru melepasi pekan, dan van terpaksa berpatah balik.

Kami dikhabarkan van hospital dalam keadaan sedikit uzur selepas kemalangan. Katanya sudah dibaiki tetapi mereka hanya berani membawa sekitar Tenom sahaja.

Jadi van kedua yang lebih kecil digunakan untuk membawa Cikgu Rizal tetapi kelengkapannya agak terhad. Harapnya pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera untuk kemaslahatan pesakit yang memerlukan rawatan di luar Tenom.

Kami hadir dalam keadaan pernafasan Cikgu Rizal sedikit pulih. Semalam dia terpaksa menggunakan alat bantuan kecemasan sepanjang masa.

Kami lega sedikit kerana beliau boleh bercerita walaupun nafas agak tercungap-cungap. Katanya dia masih letih hatta  bergerak ke tandas pun beliau memerlukan bantuan.

Kesempatan sembang itu, kami masih menyarankan beliau agar mengisi masa luangnya dengan membuat blog dan menyumbang idea dan fikrah menurut kemampuannya.

Beliau agak berat bergerak ke sana ke mari, kerana keadaan kaki yang membengkak sehingga ke paha tetapi ideanya tentang program dakwah dan perbandingan agama masih segar dan diperlukan.

Agak teruja sebelum itu kami menyaksikan dalam uzurnya, khidmat beliau masih diperlukan sebagai AJK Masjid Daerah Tenom dan mengetuai Syukbah Ukhuwah dan Pembangunan Ummah sesi 2008-2010 sebagaimana dipaparkan di papan kenyataan masjid.

Sudah 2 minggu beliau ditahan. Bahkan 20 hari terakhir Ramadhan beliau juga menghuni hospital ini. Hanya seminggu ketika raya dibenarkan keluar dan kembali semula pada awal oktober.

Tetapi secara keseluruhan, beliau keluar masuk hospital ini sudah 3 tahun lamanya.

Satu perkara yang jelas saya perhatikan sepanjang keberadaan kami lebih 2 jam di situ sehingga pulang, orang tidak putus-putus menziarahi beliau.

Kami mendoakan keselamatan beliau, juga berdoa agar isterinya Puan Aisyah bersama anak-anak bersabar atas ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah bersama 0rang yang sabar.

Pada 19 Oktober, Cikgu Rizal akan menyambut ulangtahun ke-41. Semoga dipanjangkan umur dan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT.

DOAKAN RIZAL

IMG_4276

Dua kali pernah saya bercerita dalam blog ini tentang beliau.

Cikgu Rizal Hadi Hj Ismail, orang Tenom. Penerima Anugerah Khalid al-Walid 2004 daripada Kerajaan Negeri Sabah kepada pendakwah muda yang berpotensi kepada masyarakat.

Ada beberapa SMS yang masuk ke telefon bimbit semalam.

Beliau yang sedang menderita penyakit buah pinggang dan kencing manis, khabarnya keadaan beliau semakin kronik. Kaki sehingga ke paha semakin membengkak.

Semalam, beliau dijadualkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut. Khabarnya, dalam perjalanan baru beberapa kilometer melepasi Pekan Tenom, Cikgu Rizal sesak nafas.

Mereka berpatah balik ke hospital kerana bimbangkan dengan risiko yang tidak diingini. Kini beliau berada di Hospital Tenom dengan menggunakan bantuan oksigen sepenuh masa. Keadaan agak kritikal ketika ini.

Insya Allah petang ini, saya akan ke Tenom untuk berziarah.

Kepada pembaca blog ini, tolong luangkan masa 10 saat untuk mendoakan kesihatan beliau pulih seperti sediakala.

IMG_4300
Malam minggu, Masjid ar-Rahman Pekan Tenom dilimpahi umat Islam. Ada yang mengatakan ramainya mengatasi kehadiran solat Jumaat.
Malam itu ada ceramah oleh Tuan Hj Ayub Abd Rahman dengan tajuk : “Mengapa Saya Memilih Islam”.
Seminggu sebelum itu, saya sekali lagi memberitahu kawan-kawan di JHEAINS Tenom agar melakukan promosi secara luar biasa dan bersungguh. Saya mengatakan, jika kehadiran kurang daripada setengah ruang dewan masjid, kita gagal.

Alhamdulillah, kehadiran sangat memberangsangkan. Bukan setakat di ruang utama, kaum ibu juga memenuhi ruang tingkat atas untuk melihat lebih jelas lagi wajah penceramah.

IMG_4282

IMG_4286

Gambar audien yang saya paparkan ini diambil ketika ceramah baru bermula selepas isyak, sedangkan kehadiran terus bertambah sehingga majlis berakhir pada 10 malam.

Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat. JHEAINS, Pejabat Pendidikan Daerah, JK Masjid dan seluruh mereka yang bekerjasama menjayakan program ini. Saya mendapat tahu, maklumat melalui SMS juga giat disebarkan.

Sekali lagi, alhamdulillah.

Malam itu, seorang anak muda berusia 15 tahun kembali kepada Islam dengan mengucap syahadah di hadapan lebih 600 orang yang hadir, setelah sebelum itu dibawa oleh ibunya keluar Islam sebelum itu.

IMG_4295

Adik Bryan Pencer Paul (gambar) adalah pelajar tingkatan 2 di SMK Tenom. Sejak setahun lalu lagi Bryan ingin memeluk Islam tetapi tertangguh sehingga malam itu. Bryan adalah anak pertama daripada 5 beradik.

Apabila kedua orang tuanya bercerai pada 2006, ibunya kembali ke agama asal iaitu Roman Catholic (RC). Bryan yang berada dalam darjah 6 ketika itu, berada dalam jagaan ibunya dan dipaksa keluar agama Islam.

Alhamdulillah, kini Bryan kembali ke pangkuan bapanya yang memang beragama Islam bersama ibu barunya (gambar bawah). Kini seorang lagi adiknya belum memeluk Islam dan masih bersama ibu kandung di dalam agama RC.

IMG_4329

IMG_4338

Apa yang saya perhatikan, acapkali juga kehadiran Hj Ayub ke Sabah, ada saja orang yang memeluk Islam.

Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada beliau dengan kepetahannya berpidato secara santai tetapi memikat hadirin, sehingga menjadi asbab individu tertarik kepada Islam.

Ustaz Kamarool Azhar, guru di SM St Anthony juga orang kuat PPD, orang belakang tabir bagi menjayakan program sepanjang kami berada di Tenom.

Ustaz Kamarool Azhar, guru di SM St Anthony juga orang kuat PPD, orang belakang tabir bagi menjayakan program sepanjang kami berada di Tenom.

LAGI CIKGU RIZAL HADI TENOM

IMG_4348Dalam kesihatannya yang kurang mengizinkan itu, kehadiran kami ke rumah Cikgu Rizal Hadi membuatkan kami melihat beliau seolah-olah lupa terhadap sakitnya itu.

Seperti ketika sihatnya, beliau tetap bersemangat bercerita tentang penglibatannya dalam program kemasyarakatan. Ramai mengakui, apabila Cikgu Rizal terlantar sakit, semua terasa kehilangannya.

Beliau sering memimpin program-program yang bersifat merakyat. Ziarah pesakit di hospital Tenom, mengendalikan janazah, bantuan ke pelusuk perkampungan bukan Islam, mengimarah masjid dan sebagainya.

Apabila kami singgah di rumahnya, dia bercerita lagi. Soal perdebatan dan perbincangannya dengan ramai orang tentang Islam dan Kristian yang juga sangat diminatinya. Dia teruja benar dengan Hj Ayub Abd Rahman yang sudi ke rumahnya.

Sekali lagi, seperti yang pernah saya sarankan kepadanya agar beliau memulakan tulisannya melalui tinta blog. Hendak ke sekolah bertugas semula saya memahami keuzurannya bergerak. Rasanya untuk mengisi ruang masanya dengan berdakwah melalui blog, kami sangat menyokong.

IMG_4346

Setelah singgah pada waktu petang, malam itu kami datang lagi.

Cikgu Rizal menghadiahkan Hj Ayub sebuah buku berbahasa Inggeris bertajuk : The X-Rated Bible, tulisan Ben Edward Akerley. Katanya, Hj Ayub mungkin lebih memerlukan buku itu sebagai bahan dakwah.

Cuma ada sedikit kerisauan apabila beliau gemar berprogram secara sendirian, atau one man show. Jika beliau membaca artikel ini, saya mencadangkan agar beliau menyertai mana-mana jamaah yang ada di Tenom untuk menguatkan dirinya sendiri dalam menjalankan aktiviti dakwah.

Apapun kami mendoakan kesihatan beliau dan kembali ke arena dakwah seperti dahulu.

Pada hari sabtu, Chegu Jamil pula hadir seterusnya menemani Tuan Hj Ayub Abd Rahman untuk mengisi beberapa program Pemantapan Aqidah Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Tenom.

Ceramah beliau sememangnya dinanti-nanti oleh para peserta setelah terdahulu mereka diberitahu kehadiran Hj Ayub yang berpengalaman sebagai bekas paderi besar.

Seperti biasa, Tuan Hj Ayub akan menceritakan pengalaman ketika bertugas sebagai paderi, sejarah berhijrah kepada agama Islam dan seterusnya kewajiban umat Islam menjaga aqidah mereka.

IMG_4226

IMG_4243

IMG_4221

IMG_4217

IMG_4234

IMG_4240

IMG_4249

IMG_4254

IMG_4212

PROGRAM PEMANTAPAN AQIDAH DI TENOM

IMG_4159Dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dibawah kepimpinan Cikgu Ajmal Jumah sebagai teraju utamanya, kami daripada Persatuan Ulama Malaysia (Cawangan Sabah) hadir ke Tenom mulai petang jumaat lalu untuk membantu mengisi program berkenaan di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom.

Ust Khidir bergerak solo lebih awal sejurus solat Jumaat sementara saya bersama Ust Amir Hamzah, Ustazah Dahlia dan Saifuddin Mansur seorang pelajar Sabah yang sedang bercuti dari Syria, bertolak sekitar 6 petang dari Taman Lok Kawi Baru Sabindo, setelah saya menghabiskan kuliah di Giat MARA Inanam.

Alhamdulillah, berkat pengalaman sekali berkereta ke Tenom sebulan lalu, dengan izin Allah kami tiba di Masjid ar-Rahman tepat jam 8 malam.

IMG_4155

IMG_4158Ust Khidir mengambil ruang menyampaikan taklimat kepada 70 peserta yang terdiri daripada 5 buah sekolah menengah di daerah Tenom ini.

Saya sendiri seperti biasa mengambil slot ‘Asas Islam dan al-Quran’ pada 9.00 malam dan berakhir sejam kemudian. Alhamdulillah, nampaknya para peserta berumur 16-18 tahun itu memberi kerjasama dan respon yang sangat baik.

IMG_4166

Pada sabtu pula, Ust Khidir dan Ust Amir Hamzah mengambil slot masing-masing tentang mukjizat al-Quran, sejarah Kristian dan bible serta beberapa tajuk lain.

Dalam kesempatan ini, saya suka mengucapkan penghargaan tidak terhingga, khususnya kepada PPD Cikgu Ajmal dan Ustaz Kamarool Azhar, orang Terengganu yang sudah 12 tahun menabur bakti di Tenom. 

Tidak ketinggalan para ustaz dan ustazah yang membantu dalam slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) sepanjang program ini berlangsung.

Saya tidak mengingati nama mereka khususnya yang bertugas di Tenom itu, tetapi Allah SWT pasti mengetahui nama mereka satu persatu dan akan memberikan ganjaran sewajarnya.

IMG_4206

IMG_4197

IMG_4188

IMG_4179Kepada para peserta yang menunjukkan kerjasama yang baik, – seperti yang kami katakan di dalam program itu – kami berharap ada perubahan diri dan sikap masing-masing, terutama dalam soal mempertahankan Islam yang ada di dalam diri masing-masing.

Kasihilah Islam, sayangi Allah dan RasulNya, jadikan al-Quran di hadapan kita, Insya Allah kehidupan kita akan mendapat limpahan kasih dan rahmat Allah SWT.

IMG_4167

IMG_4173

IMG_4174Bagi pihak sahabat-sahabat rombongan dari Kota Kinabalu,  saya mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kesungguhan mereka yang terlibat kesemuanya, sama ada secara langsung atau tidak, kecil atau besar sumbangan, sesungguhnya mereka telah mengendalikan program ini dengan begitu baik sekali.

IMAM RIDHWAN & UMAR INNONG

IMG_3067Sepanjang keberadaan di Tenom pada jumaat hingga pagi ahad lalu, saya banyak terhutang budi kepada ramai pihak khususnya kepada 2 orang ini.

Jadual pergerakan saya banyak diatur oleh imam muda ini. Ridhwan Kadim yang berasal dari Kg Laba, Kota Klias Beaufort ini baru berumur 29 tahun, dan bertugas sebagai imam qaryah Kg Lagud, Tenom sejak 2 tahun lalu.

Allah SWT mentakdirkan Ridhwan berumahtangga dengan orang Tenom, Siti Juwairiyah Abdullah namanya. Siti bukan sebarang Siti, dia memeluk Islam pada 1999 dan kemudiannya belajar di PERKIM sehingga dipertemukan dengan Ridhwan di bumi Selangor.

Setelah kembali ke Sabah, Ustazah Siti menabur bakti bersama JHEAINS Tenom sebagai Pembantu Rendah Dakwah, lebih dahulu daripada suaminya. Secara jujur saya melihat keikhlasan mereka khususnya dalam menggerakkan aktiviti dakwah di kampung-kampung yang terdapat saudara baru bersama pendakwah-pendakwah lain.

Ketibaan saya di Masjid Pekan Tenom tempohari disambut oleh Ridhwan, walaupun saya difahamkan dia punya acara lain. Kebanyakan program ceramah saya turut dihadiri oleh beliau dan dia memperkenalkan saya kepada hadirin.

Saya doakan keluarga Ridhwan bersama isteri dan anak-anak mereka sentiasa sukses dan terus aktif dalam menyebarkan dakwah terutamanya di daerah Tenom.

***

IMG_3054Seorang lagi teman baru saya ialah adik Umar bin Innong bin Ahmad.

Saya hanya bertemu dan taaruf ringkas dengannya sekali di Bank Islam Wisma MUIS sebulan lalu dan ketika itulah saya mengesahkan akan ke Tenom kepadanya. Kami bertukar nombor telefon dan berjanji akan menghubunginya di Tenom kemudiannya.

Walaupun baru sekali bertemu, kepercayaan saya kepada pelajar SMAI TPHR sangat tinggi. Apabila tiba di Tenom minggu lalu, Umarlah antara yang saya hubungi.

Saya mohon dia menemankan saya dalam pergerakan ke mana-mana masjid dan surau, juga teman sembang di hotel tempat saya menginap. Alhamdulillah dia bersetuju.

Sepanjang program, dia menjadi pembantu dan teman setia saya. Membantu mengangkat dan mengedar taqwim solat keluaran JHEAINS yang saya bawa ke Tenom buat umat Islam, serta menunjukkan jalan menuju ke masjid-masjid dan surau di mana jadual saya berprogram.

Umar, berumur 20 tahun adalah pemuda berbangsa bajau suluk. 2003-2005 dia bersekolah di SMAI Tambunan dan kemudiannya menyambung ke SMAI TPHR pada 2006-2008. Dalam peperiksaan STAM lalu, Umar memperolehi 5 jayyid dan 5 jayyid jiddan.

Dia ada meluahkan harapan tingginya untuk menyambung pelajaran ke Mesir pada tahun ini. Urusan awalnya sudah diatur dengan Ust Hj Safri – guru SMAI TPHR. 

Mengisi ruang sebelum berangkat ke Mesir (insya Allah), dia kini mengajar di SAN Pekan Tenom, dan sesekali diminta naik menjadi imam di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom.

Alhamdulillah, sepanjang tengahari jumaat sehingga pagi ahad, saya menemui kenalan dan sahabat yang baik. Kepada Imam Ridhwan dan Umar, saya ucapkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga.

Semoga pertemuan dan perpisahan itu benar-benar kerana Allah SWT. Amin.

TAMU AHAD TENOM

Sebelum pulang, saya singgah sekejap di tamu pekan Tenom. Adalah sedikit sayur dan buah dibawa balik buat ole-ole ke Kota Kinabalu.

IMG_3135

IMG_3136

IMG_3138

IMG_3143

IMG_3126Ceramah terakhir dalam siri Jaulah Dakwah Fardiyyah ialah tazkirah subuh di Masjid Syeikh Abdullah Ladang Sapong. Lokasinya kira-kira 18km dari Pekan Tenom ke arah Kemabong – Sipitang.

Sekali lagi saya terlambat tiba kerana perut meragam.

Walaubagaimanapun, jamaah yang hadir setia menanti apabila dimaklumkan yang hadir ini dari Kota Kinabalu. Malah saya dimaklumkan, mereka beriktikaf di masjid sejak Isyak dan tidur di masjid untuk menanti subuh dan kuliah saya sesudah itu.

Masjid Syeikh Abdullah ini mula diasaskan pada 1976. Saya ada juga menanyakan kepada mereka siapa Syeikh Abdullah ini. Rupanya ia bukanlah tokoh mana-mana kampung atau daerah. Ia hanya kebiasaan mereka menamakan masjid dengan nama sebegitu.

Tazkirah terakhir ini saya fokuskan masalah aqidah, khususnya ayat daripada surah Yasin :

“Pada hari ini, Kami kunci mulut mereka; tangan mereka bercakap-cakap dengan kami dan kaki mereka pula menjadi saksi atas apa yang telah mereka lakukan (di dunia dahulu)”.

Daripada perbualan saya dengan imam Abd Rahim Ahmad selepas ceramah – kerana ada sesi bersarapan selepas ceramah -, saya merasakan mereka benar-benar terasa kekurangan tenaga pendakwah dan aktiviti ceramah khususnya.

Di kawasan ladang kelapa sawit itu, ada lebih kurang 40 keluarga muslim tidak termasuk pekerja ladang dari Indonesia kerana mereka sering bertukar setiap 2 tahun. Sementara bagi keseluruhan kawasan Sapong ada kira-kira 500 orang Islam.

Di sini majoritinya beragama kristian SIB dengan nisbah 3 orang kristian bagi setiap muslim. Imam Abd Rahim sehingga menghantar saya pulang ke kereta, berkali-kali memohon saya hadir lagi atau mengikhtiarkan penceramah datang ke sana.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,870 other followers