Tag Archive: Telaga Biru Sdn Bhd


MELUKIS SYURGA

 

Buku yang baru dibaca :

novel melukis syurga

Penulis : A. Ubaidillah Alias 

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM20.00

Abdul Khair telah dididik oleh Puan Kalthom dengan kehidupan beragama semenjak bapanya meninggal dunia. Dia seorang yang taat dan warak. Namun sebagai anak muda, Khair juga menyemai harapan untuk menikahi gadis idamannya.

Gadis yang dimaksudkan ialah Raihan, seorang kawan karib semenjak kecil dan juga merupakan anak kepada Ustaz Solahuddin. Hampir sahaja Khair dan Raihan ditunangkan, namun kerana Raihan perlu melanjutkan pengajian ke Timur Tengah maka pertunangan mereka ditangguhkan.

Tanpa diduga, sebaik Raihan ke Timur Tengah Khair terpaksa menerima sepupunya Sabariah sebagai isteri atas perintah ibunya. Khair akur dengan takdir dan berusaha menjadi seorang suami yang baik. Sejurus Raihan pulang, dia tidak mengerti kenapa Khair menolak cintanya? Dia berusaha mencari jawapan. Dia masih berharap cintanya akan kembali bertaut.

Ketika itu, Daniel seorang anak orang kaya cuba melamarnya. Raihan semakin keliru. Wajarkah dia melepaskan Khair dan menerima Daniel, sedangkan hatinya masih kuat berharap kepada Khair?

ANGGUK GELENG

Buku yang baru dibaca :

angguk geleng

Penulis : Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga: RM 22.00

Manusia tidak suka digesa apalagi dipaksa. Alpanya tidak boleh dikejutkan dengan kasar. Egonya tidak boleh diterjah dengan bersemuka. Manusia suka dipujuk, dibelai dan diajak kepada kebaikan dengan lunak dan kasih sayang.

Biar dia tidak sedar betapa hati, fikiran dan emosinya “diundang” ke daerah kebaikan menerusi pendekatan yang mudah, ceria malah tidak menekan. Inilah eksplorasi yang penuh aspirasi di sebalik pembikinan buku ini. Jangan ada tekanan. Usah ada yang rasa dipersendakan. Buku ini, insya-Allah akan menyebabkan kita rasa bersalah tanpa terasa dipersalahkan.

Buku ini wajar dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat kerana memaparkan kisah-kisah yang dapat memberi kesedaran jiwa dan minda; paparan kisah dalam keadaan yang bersahaja tetapi mampu membuat kita mengangguk–mengiyakan kebenaran; paparan kisah yang mampu menyentak kotak fikiran sehingga kita menggeleng – mengakui kita sebahagian daripada kisah yang dipersembahkan, dan menyajikan kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan seharian.

Penulis : Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga: RM 26.00

Buku “Himpunan Kisah Benar tapi Pelik” ini disusun berdasarkan kitab-kitab sejarah yang muktabar, yang merekodkan peristiwa-peristiwa luar biasa yang sangat memberikan rasa kekaguman dan keinsafan kepada diri yang membaca. Perkara-perkara ‘benar tapi pelik’ yang didatangkan oleh para nabi dengan izin Allah SWT menjadi al-bayyinat dan al-ayat, iaitu tanda-tanda kebenaran dakwah yang diperjuangkan oleh mereka serta menjadi bukti-bukti kebesaran Allah.

Antara keistimewaan dan kelebihan buku ini ialah ia mengajak masyarakat menggunakan akal secara optimum dalam mengkaji dan merenung kebesaran Allah SWT. Ia juga memasakkan keteguhan iman dan takwa kepada Allah SWT melalui kisah-kisah yang menakjubkan. Selain itu, ia memotivasikan orang ramai agar beriman dan beramal soleh supaya mendapat nusrah (pertolongan) dan karamah (kemulian) di sisi Allah SWT, juga turut menunjukkan tauladan, panduan dan pedoman berguna selaku hamba Allah SWT sehingga benar-benar menjadi insan yang berakhlak dan beriman.

Ia juga sebagai satu usaha menghidupkan kembali khazanah ilmu tulisan ulama silam yang semakin pupus ditelan zaman dan sesuai dijadikan sebagai santapan rohani, renungan sebelum tidur atau sebagai koleksi peribadi mahupun cenderahati agar kita sama-sama dapat mengkoreksi diri.

Penulis : Ustaz Umar Mohammad Noor

Penerbit : Telaga Biru

Harga : RM20.00

Buku Rasul mulia, umat mulia, akhlak mulia ini merupakan himpunan kisah dan riwayat hidup para ulama yang sangat kaya dengan pelbagai ilmu dan hikmah yang dapat diambil pengajaran daripadanya. Setiap ulasan diiringi dengan pelbagai nukilan daripada al-Quran, as-Sunnah dan ucapan para ulama, lalu mengaitkannya dengan realiti kehidupan kita pada hari ini.

Kita dapat berkenalan, berziarah, dan belajar daripada ulama-ulama ini. Satu kaedah pendidikan akhlak yang menarik dan mudah terpaut di hati. Tetapkan fokus, mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan. Jadikan buku ini sebagai bacaan dalam perjalanan, hadiah buat teman dan keluarga atau dijadikan bahan nasihat dalam usrah anda. Mudah-mudahan setelah itu, kita dapat mengamalkan akhlak mereka dan menghidupkannya dalam kehidupan ini.

DENYUT KASIH MEDIK

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Dr Farhan Hadi Mohd Taib

Harga : RM23.00 / RM25.00

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Denyut Kasih Medik merupakan sebuah kisah perjuangan seorang doktor muda mengaplikasikan syariat di hospital ketika bergelar doktor pelatih (houseman). Ia juga kisah masyarakat kerana menyentuh isu-isu perubatan dalam kehidupan masyarakat.

Bukan itu sahaja, ia kisah seorang pemuda yang hidupnya sarat impian dan cita-cita. Lebih menarik, ia bukan hanya menyentuh fiqh perubatan, bahkan turut menyelitkan fiqh wanita dan fiqh cinta.

Nantikan satu kisah indah yang sungguh membina, Denyut Kasih Medik.

***

Saya bersetuju dengan ulasan Dr Basil Towil, Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Serdang yang mencadangkan agar novel ini dijadikan rujukan bagi para doktor, staf hospital dan pelajar perubatan dalam konteks memahami cara aplikasi syariat di hospital.

Bahkan bagi saya, orang awam juga sama ada lelaki dan perempuan, tua atau muda wajar membacanya kerana ia turut menceritakan tentang pelaksanaan syariat ketika sedang sakit.

Antara isu-isu yang menarik perhatian saya ialah solat ketika sakit; penggunaan ubat yang mengandungi lemak babi (clexane); solat jama’ atau qadha bagi pegawai perubatan yang terlibat dalam operasi pembedahan; merancang kehamilan; misteri air selusuh dan lain-lain.

Menariknya novel ini mengandung unsur aqidah, syariat dan akhlak yang luhur serta turut memuatkan info-info fiqh yang penting, tips kesihatan, hadith dan nota kaki bagi istilah-istilah perubatan dan agama yang perlu kepada huraian dan maksud.

Tetapi dialog yang paling menarik perhatian saya ialah ketika watak Dr Muslih diarahkan berpindah ke Kota Sabak tanpa kompromi oleh Timbalan Pengarah Hospital. Dr Muslih :

“Dr Rujiah, sekarang doktor mempunyai kedudukan dan kuasa. Doktor boleh buat keputusan sesuka hati tanpa memikirkan orang lain. Tapi ingat, di akhirat nanti semua pangkat ini akan hilang. Kami semua akan menuntut keadilan kelak. Allah Maha Adil!”

Banyak sangat hendak dikomen, saya sarankan agar saudara beli dan baca novel ini sehingga habis! Di Kota Kinabalu, dapatkan novel ini di Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher, Likas Kota Kinabalu.

MASJID ITU HIDUPKU

Buku yang baru dibaca :

“Tidaklah seorang yang bermastautin (di mana-mana) masjid, kemudian dia disibukkan oleh sesuatu urusan atau satu keuzuran (sehingga dia terpaksa meninggalkan masjid itu), kemudiannya dia kembali kepada apa yang sebelumnya (yakni kembali berada di masjid) melainkan Allah akan tersenyum kepadanya, sebagaimana tersenyumnya ahli satu keluarga yang telah lama terpisah dengan seseorang apabila dia pulang kepada mereka”. (Riwayat Ibn Khuzaimah)

Bab 1 : Suasana di Masjid Nabawi

Bab 2 : Cahaya Hidayah

Bab 3 : Masjid, Taqwa dan Kita

Bab 4 : Masjid, Iman dan Hidayah

Bab 5 : Masjid dan Kemurnian Iman-Yakin

Bab 6 : Masjid dan Cinta

Bab 7 : Masjid dan Rahmat

Bab 8 : Masjid dan Jihad

Bab 9 : Masjid dan Perlindungan daripada Syaitan

Bab 10 : Masjid dan Senyuman Kerinduan Allah

Bab 11 : Lumayannya Beriktikaf di Masjid

Bab 12 : Gagasan Memakmurkan Masjid 24 Jam

Bab 13 : Pancaran Cahaya Hidayah

***

Penulis : Mohd Gunawan Che Ab Aziz

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga : RM19.90 / RM21.90 (Sabah/Sarawak)

 

Tiga minggu lalu, kami selesai membaca kitab hadith 40 di Masjid Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas. Dua minggu berehat, kami menyambung semula dengan sebuah buku baru.

Saya pilih buku Indahnya Hidup Bersyariat susunan Dato’ Hj Ismail Kamus ini setelah tuan pengerusi JK Masjid meminta saya menyambung kuliah dengan menumpukan soal fardhu ain.

Saya memberi tempoh kepada jamaah di sana agar dapat memiliki buku berkenaan di pasaran. Ust Zahazan Mohammad pernah menjelaskan kepada kami tempohari bahawa buku ini merupakan keluaran yang paling laris dalam Telaga Biru Sdn Bhd.

Alhamdulillah, semalam kuliah sudah bersambung dengan tajuk pertama berkait tentang kelahiran.

Saya melihat sudah ramai memiliki dan membawa buku ini dalam kuliah berkenaan. Mudah-mudahan Allah membantu saya dan kami dalam mempelajari ilmu yang terkandung di dalamnya.

MAJALAH SOLUSI ISU 15

Dapatkan Majalah Solusi isu ke-15 di Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher Likas sementara stok masih ada.

Saya memberanikan diri untuk membaca sebuah lagi koleksi kitab hadith, Syamail Muhammadiah SAW susunan Imam at-Tirmizi yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu versi Indonesia.

Buku ini dijadikan rujukan dan bacaan bersama kami dalam kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan setiap isnin malam selasa, selepas solat maghrib bermula isnin lalu.

Syamail Muhammad SAW ialah himpunan hadis oleh Imam al-Tirmizi tentang Rasulullah SAW dalam aspek kehidupan Baginda iaitu :

1) Fizikal seperti tanda kenabian, rambut, pakaian, pedang serban, tempat tidur dan lain-lain;

2) Perilaku seperti cara berjalan, duduk, makan dan minum, jenis makanan dan sebagainya;

3) Ibadah seperti wudhuk, doa, wangi-wangian, solat Dhuha, puasa, membaca al-Quran dan ibadah lainnya;

4) Akhlak seperti berbicara, ketawa, bergurau, bersyair, bersifat tawaduk, rasa malu dan tangisan;

5) Kehidupan baginda seperti nama-nama gelaran Rasulullah, penghidupan baginda, kewafatan, warisan dan mimpi melihat Rasulullah.

Tujuan saya hanya satu. Melihat agar masyarakat mengenali baginda SAW melalui hadith-hadith sebagaimana yang diceritakan oleh para sahabat baginda tentang keperibadiannya yang sangat mulia.

Ramai orang kenal artis sana sini, seperti penyanyi, pelakon, pelawak, juga atlit pelbagai bidang sukan seluruh dunia. Tapi ramai lagi termasuk saya belum mengenali Rasulullah SAW sebenar-benarnya.

Buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd ini ada dijual di pasaran dengan harga RM45.00 (Semenanjung) dan RM47 sahaja (Sabah Sarawak). Dapatkan di Pustaka Aslam, Kingfisher Plaza Likas.

WASIAT LUQMAN AL-HAKIM

Buku yang sudah dibaca :

Wasiat Luqman al-Hakim kepadanya ini adalah berdasarkan himpunan ayat al-Quran ayat 12-19 surah Luqman. Penyusun telah membuat huraian bagi setiap satu pesanan-pesanan berkenaan.

Selain itu dilampirkan juga koleksi nasihat dan kata-kata hikmah Luqman al-Hakim yang dipetik-petik dari kitab-kitab tafsir.

Berdasarkan riwayat yang ma’thur Luqman al-Hakim berasal dari daerah Nobiy yang terletak di Sudan, bahagian selatan Mesir.

Ibnu Kathir berkata :

“Berpandukan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ tentang kebijaksanaan Luqman adalah seperti berikut :

1) Luqman adalah lelaki yang cekal dengan kebenaran;

2) Pendiam, banyak bertafakkur dan berpandangan jauh;

3) Tidak pernah tidur di siang hari;

4) Tidak pernah meludah, tidak berkahak;

5) Tidak membuang air dan air kecil;

6) Tidak pernah mandi;

7) Tidak bermasam muka dan tidak ketawa;

8) Tidak mengulangi kata-katanya melainkan orang lain yang akan mengulanginya;

9) Pernah berkahwin dan memiliki beberapa orang cahayamata namun kesemuanya menemui ajal tetapi Luqman tidak menangisi kematian itu;

10) Beliau juga mendampingi sultan dan pemerintah untuk melihat keadaan mereka dan mengambil iktibar.

Antara wasiat Luqman al-Hakim :

“Wahai anakku, pilihlah majlis-majlis di hadapan matamu. Sekiranya majlis itu merupakan majlis yang mengingati Allah maka duduklah bersama mereka.

Sekiranya kamu seorang alim, nescaya orang lain akan memanfaatkan ilmumu; sekiranya kamu bodoh nescaya mereka akan mengajarmu.

Sekiranya Allah melihat dengan pandangan rahmatNya pada majlis tersebut maka kamu akan turut sama menikmatinya.

Wahai anakku, janganlah kamu duduk pada majlis yang tidak mengingati Allah.

Sekiranya kamu seorang yang alim, nescaya mereka tidak akan memanfaatkan ilmumu; sekiranya kamu bodoh nescaya mereka akan menambah kebodohanmu.

Sekiranya Allah melihat mereka dengan kemurkaan, kamu akan menerima bahananya”

Penulis : Ustaz Ahmad Hasan Mohd. Nazam

Penerbit : Telaga Biru Sdn. Bhd.

Harga : RM20.00 (Semenanjung Malaysia) / RM22.00 (Sabah & Sarawak)

Dapatkan buku berkenaan di Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher Likas Kota Kinabalu. (Lihat gambar di sisi kanan untuk alamat penuh)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: