Tag Archive: Tazkirah Ramadhan


Antara nasihat-nasihat Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din di dalam tazkirah beliau ialah :

1) Ramadhan adalah anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang beriman. Rasulullah SAW sendiri berdoa dan mengharapkan untuk bertemu Ramadhan sejak daripada bulan Rajab lagi. Maka apabila bertemu dengannya, maka umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh beribadah kerana Ramadhan yang telah berlalu tidak akan sama dengan Ramadhan yang bakal menjelang daripada tahun demi tahun. Penantian daripada Ramadhan ke Ramadhan adalah mukaffirat (penghapusan dosa).

2) Allah SWT akan sentiasa memberikan rahmat dan kasih sayangNya bagi sesiapa yang menyempurnakan segala perintahNya bermula dengan ibadah sahur sehinggalah menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. HambaNya sanggup menahan keinginan dirinya daripada makan dan minum walaupun ia mempunyai makanan dan minuman. Ia menahan diri keranaNya dan makan minum juga keranaNya.

3) al-Quran adalah hidangan Allah SWT. Maka hendaklah kita berusaha mengkhatamkan al-Quran paling sedikit sekali dalam sebulan Ramadhan. Yang sederhana ialah seminggu sekali, atau 10 hari sekali. Jika ada di kalangan mereka mampu lebih daripada itu, misalnya setiap hari maka silakan kerana mengingatkan al-Quran itu adalah hidangan daripada Allah SWT. Pahala dan ganjaran daripada Allah SWT teramatlah besar untuk orang yang membaca al-Quran.

Saya dijemput ketika majlis mereka sudah bermula lewat. Ceramah istiqbal Ramadhan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sepatutnya bermula pada jam 10.30 pagi oleh sahabat saya Ustaz Haji Mohd Syahir Ismail, tetapi ada sedikit salah faham sehingga beliau meminta saya menggantikan pada saat akhir. Saya dimaklumkan pada jam 10.50 pagi, dan saya hadir pada jam 11.15 kerana perlu menyelesaikan urusan di Maahad Tahfiz terlebih dahulu.

Alhamdulillah, nampaknya mereka tetap sabar menanti dan masih berminat menghayati ceramah rojak saya pada pagi itu. Saya menceritakan tentang sikap orang beriman dalam menyambut ketibaan Ramadhan, beberapa pengisian sepanjang Ramadhan terutama ibadah wajib dan sunat seperti solat fardhu, solat sunat, sedekah, tilawah al-Quran, iktikaf dan sebagainya. Saya doakan warga KPLB semuanya berjaya menghayati Ramadhan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.

Ceramah berakhir pada jam 11.50 pagi diikuti dengan jamuan tengahari sebelum bersurai untuk bergerak ke masjid mendengar khutbah dan solat fardhu jumaat.

Selesai program kursus bersama imam dan bilal, saya sempat balik ke rumah sekadar 40 minit, rumah yang saya tidak ziarahi sejak 6 bulan kebelakangan. Maghrib saya diambil orang, untuk mengisi sesi tazkirah menjelang Ramadhan di rumah mereka pula di flat guru SK Pekan Satu WP Labuan. Saya kira ini suatu usaha yang bersungguh daripada pihak tuan rumah untuk keluarga mereka, memahamkan keluarga sendiri tentang ugama, khususnya Ramadhan.

Betul, ada siri-siri ceramah, kuliah dan tazkirah di masjid, surau dan pejabat-pejabat. Tidak semua menjadi ahli masjid dan surau, walaupun ada yang rajin solat berjamaah tetapi liat mendengar pengisian selepas maghrib dan subuh atau masa-masa lain. Ceramah atau tazkirah di rumah walaupun hadirinnya terbatas, ia mempunyai kebaikannya tersendiri. Sesinya lebih akrab dan mereka lebih terbuka untuk bertanya.

Saya kira ini satu pendekatan yang bagus, walaupun tidak baru – kerana ada keluarga-keluarga yang mengadakan kelas al-Quran dan fardhu ain di rumah masing-masing. Jadi para pendakwah yang belum pernah merasai situasi begini, akan merasa kemanisannya dan lebih hampir kepada sasarannya. Terima kasih kepada tuan rumah sekeluarga. Berakhirnya tazkirah, tanya-jawab dan makan-makan sekitar 9.00 malam, saya langsung dihantar ke Lapangan Terbang Labuan dan terbang meninggalkan wilayah ini pada jam 9.30 malam.

 

 

 

Hari ini saya menyelesaikan 15 siri rakaman tazkirah zuhur Ramadhan yang akan disiarkan melalui Sabah FM pada bulan Ramadhan nanti. Menurut penerbit rancangan berkenaan, Puan Rosnani rakaman berkenaan dijadualkan disiarkan selepas azan zuhur dan diulangsiar pada waktu subuh. Nama saya kononnya ditimbulkan oleh sahabat baik saya Ustaz Rahim Yahya selepas beberapa calon tidak bersedia. Asalnya penyampai tazkirah ini bergilir-gilir tetapi nampaknya seperti saya keseorangan saja.

Melakukan rakaman tazkirah, walaupun sebenarnya hanya sekadar 5 minit untuk satu siri, sebenarnya tidak semudah yang dijangka. Biasanya isi kandungan ditulis sebagai panduan, walaupun semasa rakaman ia biasanya ditokok tambah secara spontan supaya gaya penyampaiannya tidak kaku dan tidak kelihatan (kedengaran) dibaca.  Selain itu gaya penyampaian ala Sabahan juga sesekali dibuat supaya pendengar lebih selesa dan mesra. Penulisan dibuat agar tazkirah tidak terkeluar daripada topik yang hendak disampaikan.

Antara tajuk yang akan disiarkan nanti ialah berkaitan kesyukuran terhadap Ramadhan, mengenali Ramadhan, tuntutan solat berjamaah, keutamaan bersedekah, kelebihan waktu sahur, solat tarawih, serta beberapa huraian hadith yang berkaitan dengan Ramadhan. Insya Allah barangkali pada minggu pertama, rakaman kepada 15 siri berikutnya akan diadakan di studio yang sama. Jika sahabat-sahabat sekalian ada idea, bolehlah salurkan lewat blog atau facebook abu nuha. Yang bersesuaian akan kita kongsikan kepada pendengar Sabah FM nanti.

AHLAN RAMADHAN

IMG_8276

Datuk Ismail berkopiah kelabu

Sebenarnya apabila dijemput hadir dan mengisi program dalam majlis mereka sabtu lalu di Wisma MUIS, tidak jelas adakah terdapat tazkirah untuk mereka yang hadir.

Semahunya, saya ingin mengisi program dengan sedikit santapan rohani, bukan semata-mata jasmani dengan jamuan berbuka dan moreh saja.

Saya sendiri hadir kira-kira 10 minit menjelang maghrib, sementara warga SPANS belum begitu ramai. Sesudah maghrib pula mereka merancang makan berat. Fikir saya, bilakah tazkirah akan diadakan.

Ketika makan, banyak yang dibualkan khususnya bersama Pengerusi SPANS Datuk Hj Ismail Ag Besar yang sudah saya kenali sejak zaman sekolah lagi.

Secara umumnya beliau banyak membantu saya khususnya dalam perkhidmatan awam dan juga memberi nasihat dan perangsang dalam mengadakan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan. Beliau juga sering memberi sumbangan dalam bentuk kewangan dan material dalam program yang kami diadakan.

Beliau ada menceritakan kurang senangnya dalam satu majlis berbuka puasa di tempat lain sebelum kami bertemu malam itu, kerana di dalam majlis tersebut tiada tazkirah.

Itu satu peluang baik saya mencari ruang menyampaikan tazkirah.

Beliau juga jujur bercerita tentang keadaan masjid negeri kini serta cabaran-cabaran yang berlaku. Beliau adalah pengerusi JK masjid sejak 4-5 tahun lalu.

Saya tidak berhasrat menceritakan itu semua melainkan beliau mengharapkan pentadbiran masjid bangkit dengan aktiviti yang rancak seperti mana zaman Ust Nahar memimpin dahulu.

Beliau mengakui kesuraman itu kini.

Selesai solat isyak, tarawih dan witir, saya mengambil masa untuk menyampaikan tazkirah selama 10 minit.

Majlis berakhir dengan jamuan moreh sekitar 9.15 malam. Kami turun bersama dan beliau menceritakan beberapa harapannya terhadap saya.

Adalah.

IMG_8241

Pada sebelah petang hingga ke malam, saya bergerak ke Taman Hidupan Liar atau lebih dikenali dengan panggilan zoo Lok Kawi. Tidak jauh dari rumah, sekitar 10 minit sahaja.

Salah satu komponen kawasan ini ialah pejabat Jabatan Perhutanan Kota Kinabalu. Saya pernah ke zoo ini lebih setahun lalu, membawa keluarga melihat haiwan-haiwan liar yang ada.

Kira-kira 40 warga mereka hadir yang datang dari Sipitang, Membakut, Papar dan Kota Kinabalu. Majlis sungkai diadakan di ruang terbuka di balkoni sementara solat dan tazkirah diadakan di bilik mesyuarat mereka yang cantik.

Saya suka dengan susunan program mereka, dimana sebaik berbuka puasa pada 6.20 petang terus disekalikan dengan jamuan berat sehingga pada 6.45 petang didirikan solat maghrib.

Pada jam 7 malam, saya dipelawa mengisi ruang untuk menyampaikan tazkirah sehingga masuk waktu isyak pada 7.30 malam. Saya selesa sekali menyampaikan tazkirah kerana tiada gangguan makan-makan selepas maghrib seperti di kebanyakan tempat.

Tazkirah saya seperti biasa kali ini masih memberi tumpuan tentang pengisian 10 malam terakhir. Tidak lupa saya menyarankan aktiviti tazkirah dan ceramah digiatkan selepas Ramadhan nanti.

Terima kasih Puan Maslinda yang mengatur jemputan dan kehadiran saya, Pak Rahim (Timbalan Pengarah) dan Tuan Hj Ahmad Yusup selaku Pengerusi Badan Kebajikan Islam (BKI).

IMG_8242

IMG_8251

IMG_8262

TAZKIRAH RAMADHAN DI MUIS

 IMG_8200

Ini kali ketiga saya dipanggil memberi tazkirah di sini.

Saya respek dengan pengurusan di sini yang saban minggu mengadakan tazkirah walaupun ketika ramai staf berada di luar. Walaupun sedikit, ia tetap diadakan. Inilah namanya istiqamah.

Kali ini saya beri tumpuan kepada tajuk nuzul al-Quran dan malam al-Qadar, satu malam yang dinanti-nanti oleh orang yang beriman. Manakala orang Islam yang menganggap puasa sekadar  rutin, ia tidak menanti pun saat penting ini.

Yang ditunggu mereka ialah berakhirnya Ramadhan dan tibanya hari raya.

Baiknya Nabi SAW memberikan petunjuk-petunjuk tentang tarikh malam al-Qadar. Mula-mula motivasi Nabi agar kita menghidupkan malam-malam Ramadhan. Kata Nabi SAW, dosa lalu boleh terampun dengannya.

Kemudian Nabi tunjuk lagi 10 malam terakhir yang perlu diberi tumpuan khusus, sehingga baginda berenggang dengan isterinya.

Nabi SAW khususkan lagi kepada malam-malam ganjil, sebelum baginda sebutkan malam 27 Ramadhan.

Mula-mula 30, kemudian 10, berikutnya 5, terakhir 1. Bantuan sudah Nabi hulurkan, hanya kita lagi yang perlu melakukannya.

Terima kasih semua staf Majlis Ugama. Tingkat 5 dan 9 tidaklah terlalu jauh.

IMG_8193

IMG_8196

IMG_8198 

MASJID DUA MENTERI

 IMG_7458

Segan dan berkali-kali saya menolak pelawaan permintaan mereka supaya saya menyampaikan tazkirah di masjid ini selepas solat zuhur. Maklumlah, ini kawasan orang besar.

Segan dan terasa kerdil diri.

Ini Masjid at-Tohiryyah, Kg Sungai Lintang, Yan Kedah, yang terletak di tengah bendang. Inilah kampung asal YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Kg Sungai Lintang pula terletak dalam DUN Sungai Limau, yang rakyatnya berADUNkan YAB Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah.

IMG_7475

Saya turut diperkenalkan kepada Tuan Hj Baharom Hj Ramli (gambar atas), ayahanda kepada Datuk Jamil Khir. Hj Baharom sudah berusia lebih 70 tahun, gagah hadir berjamaah ke masjid selaku bilal dan tok siak di sini.

Dikhabarkan kepada saya bahawa keluarga Hj Baharom ini adalah keluarga PAS. Hj Baharom adalah antara pengasas PAS di sini. Begitulah juga keluarga sebelah mertuanya juga orang kuat PAS juga.

Berat hati untuk bangun berdiri, saya gagahkan juga bercakap sedikit tentang sebuah hadith :

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang lalu. Sesiapa mendirikan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang lalu”.

Puasa adalah ibadah yang tidak nampak dan tidak diketahui orang. Ia bukan seperti solat, yang zahirnya boleh dilihat orang gerak geri pelakunya. Berwudhu’, berdiri, mengangkat tangan untuk takbir, rukuk, sujud, duduk sehingga memberi salam.

Puasa juga bukan seperti berzakat. Kelihatan ia bertemu dengan amil, atau berkunjung ke tempat asnaf. Bahkan jika zakatnya dibayar kepada wakil amil yang dilantik rasmi, bukti bayaran akan diperolehi dengan sehelai resit.

Puasa juga bukan seperti haji. Bakal jamaah haji menabung sekian tahun lamanya, berkursus sebelum berangkat, sehingga di sana berwuquf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar di Mina, bertawaf dan saie di Masjid al-Haram sehingga ia kembali ke tanahair.

Tiada sesiapa mengetahui seseorang itu berpuasa kecuali Allah SWT. Seseorang yang lemah longlai, pucat lesi, letih dan lesu belum tentu itu bukti ia berpuasa.

Justeru puasa mendidik kita tentang keimanan. Iman itu keyakinan di dalam. Jika dia tidak berpuasa sedangkan di hadapan khalayak dia berpura-pura letih kononnya berpuasa, sesungguhnya Allah SWT Maha Tahu hakikat sebenarnya.

Setelah puasa yang fardhu ditunaikan sepanjang siang, agama menuntut kita menegakkan malamnya dengan ibadah sunnat pula. Ada tarawih, witir, zikir dan seumpamanya.

Pengharapan yang betul pula apabila semakin ke hujung Ramadhan, ia semakin giat dan galak. Bukannya semakin lemah dan malas. Kerana tawaran Allah SWT begitu. Semakin Ramadhan ke hujung, ia semakin ke puncak dan tawaranNya pula semakin hebat.

‘Ramadhan awalnya rahmat, pertengahannya keampunanan dan hujungnya bebas dari api neraka”.

Lihat pula praktikal kita. Masjid penuh pada minggu pertama, mulai susut minggu kedua, kurang separuh minggu ketiga, tinggal sebaris minggu terakhir. Ketika itu, masjid dan surau bukan lagi sasaran, tetapi pusat membeli-belah.

Maha Bijak Allah SWT mengadakan malam al-Qadar itu di penghujungnya, bukan di awalnya. Beruntunglah mereka yang mendapatnya.

IMG_7470

IMG_7471

IMG_7473

IMG_7476

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: